31 Ogos 2011

Tok Awang Belum Merdeka














….

apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk

apabila orang
melepaskan merpati
aku tabur padi

orang lain
telah merdeka
aku belum

….

Inilah perlakuan Tok Awang dalam sajak “Songsang” karya A Latiff Mohidin. Sajak ini termuat dalam antologi sajak persendiriannya, Wayang Pak Dalang (1977).

Hari ini ada imbasan Tok Awang kembali. Ketika orang melaungkan kata “merdeka”, dia bersedih. Katanya, "Penguasa bangsaku menjual agama sejak merdeka. Mereka menerima dan terus mempertahankan perlembagaan penjajah!" 

Lalu Tok Awang membaca sajak Borneo Menggugat yang ditulis di Seremban pada bulan April tahun 2003. Dua bait terakhir sajak itu dibacanya berulang-ulang.

….

Sahabatku, sedarkah kalian
para penguasa tanah syahadah sekarang
telah sengaja mengantikkan al-Qur’an dan Sunnah
kitab suci yang selalu mereka belek-belek
demokrasi, sekularisme, materialisme dan yang terbaharu globalisasi,
zikir yang selalu mereka wirid-wiridkan
modenisasi, pembangunan, kemewahan dan kebebasan tanpa sempadan
matlamat akhir mereka, tidak lain tidak bukan
bagaimana mengekalkan dinasti mereka hingga ke akhir zaman

Natijahnya,
sebahagian besar penguasa tanah syahadah ini,
telah lama secara terselubung, memproklamirkan diri mereka sebagai
dajal-dajal kecil, tapi
kadang kala dajal-dajal kecil ini
jauh lebih gila dan buas daripada induknya.

Dalam fikiran Tok Awang beberapa perkara bersesak-sesak. Antaranya termasuklah lagu kebangsaan yang dikatakan disadur, bendera negara yang dikenal pasti terkeluar daripada ciri bendera negara-negara di Nusantara dan martabat bahasa kebangsaan yang diperlekeh oleh penguasa sendiri.

Tok Awang berkata lagi, "Saudaraku, A Latiff Mohidin dan Borneo Menggugat, benarkah aku belum merdeka?"

Tiada ulasan: