18 Mac 2012

Perihal Menangis

Bayi menangis, “Wek wek wek!” Murid sekolah rendah menangis. Remaja sekolah menengah menangis. Mahasiswa menangis. Adik, kakak, abang, ayah, ibu, atuk, nenek dan moyang menangis. Pendeknya, semua orang pernah menangis. Bahkan, ketika remaja saya pernah melihat air mata lembu saya meleleh. Perlakuan lembu itu saya anggap sebagai menangis.

Kini, sesudah melakukan renungan, ada kemungkinan lembu saya itu berasa gembira. Lembu saya itu, Putih namanya, gembira kerana seorang budak lelaki yang berseluar pendek tanpa baju menghidangkan rumput muda dan menyediakan air garam. Budak yang selekeh itu juga menyediakan unggun yang dapat mengurangkan keghairahan nyamuk dan agas; dan bagi menghangatkan suhu kandang yang terletak di sebuah kampung yang amat dingin pada waktu malam kerana kampung itu baru diteroka dan masih dikelilingi oleh hutan rimba.

Kini, apabila saya fikir-fikirkan, mungkin juga air mata yang meleleh itu menunjukkan Putih bersedih. Ada kemungkinan Putih berasa sedih apabila melihat saya masih merapikan unggun walaupun senja sudah lama bertandang. Jikalau Putih berkebolehan untuk berkata-kata, ibu lembu itu menegur saya, “Sudahlah itu, wahai anak tuanku! Nanti Maghrib habis pula!”

Sesungguhnya, perbuatan menangis itu banyak keadaannya. Keadaan itu dapat dilihat dari pelbagai sudut seperti sebab berlakunya, kelantangannya dan natijahnya. Secara umum, perbuatan menangis menatijahkan kelegaan. Orang yang menangis berasa lega sesudah selesai menangis. Dalam keadaan tertentu, orang yang melihat si penangis juga berasa lega. Dalam situasi yang lain, seusai dua atau beberapa orang bertangis-tangisan, mereka berasa puas kerana perbuatan itu menunjukkan keakraban, ukhuwah atau simpati.

Hari ini saya membaca catatan dalam Facebook seorang rakan. Catatan itu terdapat dalam jalur ulasan di bawah kisah “Menangislah Selagi Berair Mata” karya saya yang dikongsi oleh rakan itu. Catatan itu berbunyi, “Jangan selalu menangis, nanti rezeki lari.”

Saya terkedu apabila membaca catatan itu. Saya bercadang untuk meminta pencatat mengemukakan nas. Nas aqli saya terima. Nas naqli tentulah terbaik. Namun, sesudah berfikir beberapa lama, cadangan itu saya batalkan. Pembatalan itu beralasan.

Alasannya, Facebook ialah laman sosial. Semasa bersosial, orang melahirkan perasaan. Adakalanya orang melahirkan fikiran juga. Sama ada yang mereka lahirkan itu perasaan atau fikiran, sifatnya segera atau spontan. Tegasnya penglahiran itu mereka lakukan tanpa berfikir panjang. Penglahiran segera tanpa berfikir panjang itu menggunakan bahasa yang ringkas dan bersahaja, atau pendeknya bahasa pertuturan.

Penglahiran bentuk bahasa pertuturan dalam Facebook memperlihatkan beberapa tanda. Antara tanda itu termasuklah ayat tanpa subjek atau predikat, kosa kata harian, singkatan dan deretan titik atau elipsis yang tidak baku. Lazimnya bentuk bahasa pertuturan itu dibumbui oleh gurau senda, lawak jenaka dan usik sindir. Tanda lain termasuklah ungkapan seperti “ha ha”, “he he”, “hi hi”, “hu hu”, “keh keh keh”, “ahaks!” dan “wakaka”. Bahasa pertuturan itu mempunyai ciri bahasa basahan atau bahasa rojak.

Saya memahami akan kemungkinan catatan dalam Facebook hanya borak atau gurau senda. Catatan itu tidak bermaksud untuk memperlekeh mesej yang serius. Oleh hal yang demikian, kita, khususnya saya, tidak boleh berkecil hati apabila membaca catatan santai itu. Tambahan pula catatan itu mungkin ada kebenarannya apabila dilihat dari satu sudut dan palsu atau bertaraf lagha apabila dilihat dari sudut yang lain.

Catatan “Jangan selalu menangis, nanti rezeki lari” boleh sahaja saya abaikan. Namun, ada manfaatnya perkara ini dibincangkan. Manfaat yang pasti adalah untuk diri saya, iaitu saya dapat meneruskan latihan bagi melahirkan fikiran dan perasaan melalui tulisan pendek seperti ini untuk blog dan Facebook. Saya harap-harapkan sahaja tulisan ini bermanfaat juga untuk mereka yang sudi membacanya.

Jadi dalam satu jalur ulasan saya mengetengahkan catatan seperti yang di bawah:

Dalam kitab "Tarjamah Riadhus Shalihin I" oleh Salim Bahreisy terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Hadis pada halaman 53 dan 54 itu agak panjang dan kurang sesuai disalin di sini. Saya petik ulasannya sahaja seperti yang berikut:

"Hadis ini memberikan pengertian bahawa sekadar keluar air mata dalam kematian tidak apa-apa, tetapi yang dilarang ialah menangis dengan suara keras; juga keluar air mata di luar kekuasaan manusia, yang pasti Allah tidak akan menuntut sesuatu yang di luar kekuasaan. Juga keluar air mata itu tidak menyalahi kesabaran."

Persoalannya, benarkah rezeki menjauh daripada orang yang selalu menangis?

Ulasan ini mendapat sambutan seorang rakan. Rakan saya itu menyatakan, rezeki memang jauh daripada orang yang asyik menangis dan tidak berbuat apa-apa. Saya menghargai pandangannya. Saya menyatakan bahawa saya mula menyelami pendapat si pencatat. Cuma dia silap konteks apabila dikaitkan dengan kisah “Menangislah Selagi Berair Mata”.

Perbincangan itu mendorong saya untuk menyemak firman Allah. Saya mendapati ada beberapa ayat al-Quran yang dalam terjemahannya ada perkataan menangis. Antara ayat itu termasuklah ayat ke-58 dalam surah Maryam, ayat ke-43 dalam surah Al-Najm dan ayat ke-109 dalam surah al-Israk. Sebagai contoh, saya salin ayat ke-58 dalam surah Maryam:

Allah berfirman, maksudnya, “Mereka itulah sebahagian daripada nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka daripada keturunan Nabi Adam, dan daripada keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan daripada keturunan Nabi Ibrahim, dan (daripada keturunan) Israel, dan mereka itu adalah daripada orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) al-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

Ayat ke-16 dalam surah Yusuf pula berbunyi, maksudnya, “Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.” Dalam hal ini tangisan saudara-saudara Nabi Yusuf itu berupa helah atau lakonan.

Selain hadis yang saya nyatakan di atas, saya menjangka ada hadis lain yang (mafhumnya) mengandungi perkataan menangis. Oleh sebab saya kurang arif tentang hal ini dan berasa sukar untuk melakukan rujukan, saya berharap ada ustaz/ustazah sudi mengemukakan hadis yang berkenaan.

Sebagai penutup catatan santai ini, terimalah serangkap pantun yang saya petik daripada lagu “Dodoi Buai Anak”:

Asalnya kain jadi pakaian,
Ditiup angin jatuh ke lumpur;
Biar menangis dalam buaian,
Jangan menangis di dalam kubur.

1 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Unsur beracun yang terhasil apabila kita ketakutan tersingkir melalui tangisan.

Rongga badan, urat dada dan bahu kita bergoncang ketika kita menangis. Degupan jantung kencang. Itu sejenis senaman. Apabila tangisan reda dan berhenti, goncangan tubuh dan degupan jantung pun normal kembali. Kita berasa lega dan tenang.