04 Mei 2012

Akronim PAS Tepat



Sebutan dan Ejaan Akronim UMNO

Soalan

Bukankah akronim yang betul bagi Parti Islam Se-Malaysia ialah PIS?

Jawapan
Nama asal Parti Islam Se-Malaysia ialah Parti Islam Se-Malaya. Parti itu ditubuhkan pada 23 Ogos 1951. Tegasnya parti itu ditubuhkan sebelum negara kita merdeka.

Pada masa itu tulisan Jawi masih menjadi tulisan utama bahasa Melayu. Pengguna utama tulisan Jawi ialah golongan agama dan pasti termasuklah jawatankuasa penaja dan ahli-ahli Parti Islam Se-Malaya. Nama parti itu pun menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Akronim parti itu dalam tulisan Jawi ialah pa-alif-sin. Sesudah Malaysia terbentuk, perkataan Se-Malaya digantikan dengan perkataan Se-Malaysia. Huruf Jawi pertama “Se-Malaya” dan “Se-Malaysia” sama, iaitu sin. Tegasnya akronim pa-alif-sin kekal. Sememangnya sejak dahulu hingga kini akronim yang sah bagi parti itu dalam tulisan Jawi ialah pa-alif-sin. Dalam tulisan Rumi akronim itu ialah PAS. Oleh hal yang demikian, anggapan bahawa akronim parti itu ialah PIS tidak berasas.

Sebagai tambahan, bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi sejak akhir abad ketiga belas. Mulai abad keempat belas, penggunaan tulisan Jawi semakin meluas. Tulisan Jawi menjadi tulisan rasmi Kesultanan Melayu, termasuk Kerajaan Melayu Melaka.

Sistem ejaan Jawi berkembang dari semasa ke semasa. Pada tahun 1950-an, iaitu sesudah mengalami perkembangan lebih enam abad, sistem ejaan Jawi sudah mantap. Pada masa itu sistem ejaan Rumi, khususnya sistem Ejaan Wilkinson yang usianya kurang seabad, belum utuh. Jadi memanglah bijak dan berjati diri apabila orang pada zaman itu memilih untuk menggunakan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Tiada ulasan: