09 Mei 2012

Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di PBAKL


Antara ruang pameran di Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) 2012 yang mendapat perhatian istimewa saya termasuklah ruang pameran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Dua kali saya ke PBAKL, dua kali juga saya berlama-lamaan di ruang pameran MAPIM. Saya membaca hampir semua tajuk buku dan membelek berpuluh-puluh buah buku tetapi saya hanya mampu membeli sebuah buku. Hajat hati, saya hendak membeli sekurang-kurangnya lima buah buku yang sudah saya imbas hal-hal penting seperti blurb, kandungan dan pendahuluannya. Apakan daya, harga buku MAPIM umumnya mahal dan saya tidak memaksa diri untuk membeli sesuatu yang di luar kemampuan saya. Walau bagaimanapun, saya tidaklah terkilan sangat kerana beberapa buah buku yang dipamerkan itu sudah berada di rak buku saya.

MAPIM yang ditubuhkan pada tahun 1997, kini mempunyai 27 anggota yang terdiri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbit institut pengajian tinggi awan (IPTA), institut penyelidikan dan agensi kerajaan. Antara IPTA yang menganggotai MAPIM termasuklah Penerbit Universiti Malaya (UM), Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Penerbit Universiti Putera Malaysia.

Ruang pameran MAPIM dapatlah dikatakan luas apabila dibandingkan dengan kebanyakan ruang pameran peserta PBAKL. Dalam kelompok buku akademik bahasa Melayu, pada persepsi saya, ruang pameran MAPIM bukan sahaja luas bahkan mempunyai buku akademik terbanyak. Secara keseluruhan pula, ruang pameran beberapa penerbit buku popular dan buku agama jauh lebih luas berbanding dengan ruang yang dimiliki oleh MAPIM. Jumlah buku-buku popular, termasuk novel, dan buku agama dapatlah dianggap sebagai menenggelamkan jumlah buku terbitan MAPIM. Namun saya berasa struktur binaan ruang pameran MAPIM indah, kukuh dan mempunyai daya tarikan yang luar biasa kepada pencinta buku-buku akademik.

Secara keseluruhan, saya berada di ruang pameran MAPIM hampir dua jam. Dalam tempoh itu saya berasa aman membaca tajuk demi tajuk, menyelak halaman demi halaman, membaca blurb dan sebagainya. Tiada sesiapa yang menolak atau menghimpit saya seperti ketika saya berada di laluan buku popular dan agama. Saya berasa bangga kerana, rasanya, lebih kurang sembilan puluh peratus buku terbitan MAPIM berbahasa Melayu, penulisannya Melayu dan pengunjungnya pun Melayu.

Saya berasa bertambah bangga apabila mendapati pengunjung yang membelek-belek buku di kiri kanan saya ialah profesor yang memang saya kenal atau pensyarah IPTA yang pernah saya lihat gambar mereka di mana-mana. Antara pengunjung yang saya kenal ialah Profesor Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan ahli Jawatankuasa Pelaksana MAPIM. Beliau ialah pensyarah saya semasa saya belajar di USM pada akhir tahun tujuh puluhan. Kami berbual pendek tentang buku MAPIM.

Saya beranggapan buku terbitan anggota-anggota MAPIM yang terpamer di PBAKL amat sedikit. Mungkin jumlah buku yang dipamerkan itu masih sedikit jikalau dibandingkan dengan jumlah buku yang pernah diterbitkan oleh hanya tiga buah universiti di negara kita, termasuk UM dan UKM. Sekiranya 27 anggota MAPIM mempamerkan terbitan mereka sebanyak-banyak yang mungkin, pasti ruang pameran yang diperlukan sekurang-kurangnya seluas sebuah dewan di Putera Word Trade Centre (PWTC) itu. Ada kemungkinan faktor ruang inilah yang mendorong Penerbit UM memiliki ruang pameran sendiri di PBAKL.

Buku-buku yang dipamerkan itu kebanyakannya dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan dan agama Islam. Hanya sedikit buku dalam bidang sains sosial dan amat sedikit buku dalam bidang linguistik yang menjadi minat saya. Saya beruntung kerana sebuah buku yang saya beli itu mengandungi bahan yang sangat saya perlukan. Buku itu ialah Aspek Nahu Praktis Bahasa Melayu suntingan Zaharani Ahmad terbitan Penerbit UKM, cetakan kedua, tahun 2008. Antara bab yang sempat saya baca ketika berada dalam komuter dalam perjalanan pulang ialah “Data Korpus dan Praktis”, “Pangkalan Data Korpus DBP: Perancangan, Pembinaan dan Pemanfaatan” dan “Kata Ganti Nama Ia dan Ianya". Saya terkilan kerana ada beberapa buah buku terbitan Penerbit UPSI dan UMS yang saya idam-idamkan tidak terdapat di ruang pameran itu.

Dalam Buletin MAPIM keluaran Disember 2011, ketua editor buletin itu, Dr. Hazilah Hassan menulis, “… maka menjadi satu keutamaan, iaitu setiap karya yang diterbitkan oleh ahli MAPIM perlu disebarkan dan dipasarkan kepada khalayaknya. Dalam hal ini, PBAKL merupakan saluran dan persada pemasaran yang praktikal dalam rangka MAPIM menyerlah imej, citra dan hasil penerbitannya.” Saya menyokong pandangan ini. MAPIM perlu menempah ruang pameran lebih luas dalam PBAKL tahun 2013, sekurang-kurangnya lima kali lebih luas daripada ruang pameran MAPIM tahun ini.

Tiada ulasan: