01 Jun 2012

Pemegang Jawatan Utama Persatuan Linguistik Malaysia Kekal


Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin
Bangi, 1 Jun 2012. Tiga orang pemegang jawatan utama Ahli Majlis Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) sesi 2010-2011 mengekalkan jawatan masing-masing bagi sesi 2012-2013. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kekal sebagai Presiden, Encik Kamal Shukri Abdullah Sani dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kekal sebagai Timbalan Presiden dan Puan Hajah Zaiton Ismail dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kekal sebagai Setiausaha Kehormat.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan PLM Kali Ke-35 di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, UKM pagi tadi. Antara ahli bahasa yang terpilih sebagai Ahli Majlis PLM bagi sesi 2012-2013 termasuklah Dr. Zaitul Azma Zainon Hamzah dari Universiti Putera Malaysia, Encik Rusmadi Baharuddin dari DBP dan Dr. Mardian Shah Omar dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Sebelum mesyuarat agung itu berlangsung, dua orang anggota PLM membentangkan laporan kajian. Dr. Mardian Shah Omar dari UNITEN membentangkan laporan kajian “Analisis Spektrografik: Satu Kes Dua Urutan dalam Kata Unggulan Bahasa Melayu”. Dre. Junaini binti Kasdan dari DBP pula membentangkan laporan kajian “Pengaruh Sosiokognitif Remaja terhadap Penguasaan Bahasa Melayu”.

PLM ditubuhkan pada tahun 1977 untuk menggalakkan pengkajian terhadap bahasa dan masalah-masalah bahasa di negara ini dan mengeratkan hubungan antara pengkaji dan peminat bahasa. Sejak ditubuhkan, PLM sudah melaksanakan pelbagai kegiatan yang meliputi penyelidikan, penerbitan, pertemuan ilmiah, perundingan dan kursus. Tokoh bahasa yang pernah menjadi Presiden PLM ialah Profesor Emeritus Dr. Asmah Haji Omar, Dr. Farid M. Onn, Profesor Emeritus Dr. Nik Safiah Karim an Dr. Haji Awang Sariyan.

Tiada ulasan: