Bertabah, bergigih, bergagah? |
Kita biasa menggunakan kata terbitan berimbuhan ber- yang kata dasarnya ialah kata adjektif. Contohnya ialah berjimat, berkasih dan bersuka. Pembentukan perkataan-perkataan ini dapat kita ringkaskan sebagai ber- + kata adjektif. Perkataan-perkataan ini dapat juga berdiri sebagai gabungan kata, iaitu berjimat cermat, berkasih sayang dan bersuka ria. Perkataan dan ayat contoh diberikan dalam lampiran 1.
Simpulan bahasa yang bermula dengan kata adjektif juga menerima imbuhan ber-. Contohnya ialah berkecil hati, bermasam muka dan berlapang dada. Pembentukan perkataan-perkataan ini dapat kita ringkaskan sebagai ber- + simpulan bahasa. Senarai perkataan contoh diberikan dalam lampiran 2.
Ada sejumlah perkataan lagi seperti bertabah jarang-jarang kita temukan. Bahkan ada kemungkinan inilah kali pertama kita mengetahui perkataan bertabah. Tabah ialah kata adjektif dan menepati susunan ber- + kata adjektif. Pembentukan perkataan ini memang mengikut peraturan pembentukan perkataan bahasa Melayu. Ahmad, rakan saya berkata, penggunaan perkataan itu sebagai sepatah perkataan (menunggal) terasa janggal.
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4) ada perkataan bertabah. Kewujudannya beriringan dengan perkataan lain, bukan secara menunggal. Hal ini membenarkan pandangan Ahmad bahawa kewujudan bertabah secara menunggal belum lazim atau janggal. Oleh itu KD4 tidak memberikan ayat contoh. Namun, Ahmad biasa menemukan penggunaan perkataan itu secara menunggal dalam tulisan golongan remaja.
Persoalannya, adakah kita pernah menemukan kewujudan perkataan bertabah secara menunggal? Saya belum pernah menemukannya. Jadi, saya bertanya Google sama ada frasa “bertabah menghadapi dugaan” pernah digunakan atau tidak. Kata Google, frasa ini pernah digunakan sebanyak 177 kali. Antara penggunanya trmasuklah sebuah blog. Ayatnya ialah “Kami juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan harap bertabah menghadapi dugaan Allah”. Dalam ayat ini bertabah ertinya bersabar.
Sebagai kesimpulannya, saya menerima kehadiran bertabah secara menunggal dalam bahasa kebangsaan kita. Alasan saya, bentuk ber- + kata adjektif memang wujud dan kewujudan bentuk itu menepati peraturan pembentukan perkataan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, penggunaan bentuk yang terasa janggal kerana belum lazim itu hendaklah mengandungi makna yang jelas seperti dalam ayat contoh yang di atas.
Soalan: Adakah tuan/puan bersedia untuk menerima perkataan “bergigih”, “berhijau”, “bercomot” dan sebagainya?
Lampiran 1
Perkataan dan ayat contoh ber + kata adjektif:1. berjimat cermat Berjimat cermat pada zaman inflasi ialah satu langkah yang bijak. (KD4)
2. berkasih sayang Kamu tidak dinamakan beriman sehingga kamu berkasih sayang. (KD4)
3. berkuat Ibunyalah yang berkuat benar menyuruh ia pergi. (KD4)
4. berlemah lembut Nabi Muhammad adalah seorang yang berhati mulia dan berlemah lembut.
5. bersejuk Kenapa ayah dibenarkan bangun pada pagi hari untuk ke tandas sedangkan ia tidak tahan bersejuk? (KD4)
6. bersuka ria Kebudayaan itu adalah suatu yang serius, bukan sekadar riuh-rendah bersuka ria. (KD4)
7. bersusah payah Si ibu sanggup bersusah payah untuk membesarkan anak-anaknya. (KP2)
8. bertekun Selepas itu, Pasteur bertekun dalam kerjanya dan berjaya mendapat ubat bagi beberapa jenis penyakit. (KP2)
Lampiran 2
Perkataan contoh ber + simpulan bahasa (kata adjektif + kata nama): 1. berbaik sangka
2. berburuk sangka
3. berduka hati
4. bergirang hati, bersuka hati, beriang hati
5. berkecil hati, berjauh hati
6. berkeras hati, berkeras kepala
7. berlapang dada,
8. bermanis mulut
9. bermasam muka
10. bermerah muka
11. bermurah hati
12. berputih mata, berputih tulang
13. bersedih hati, bersusah hati, berhiba hati, bermuram durja
14. bertabah hati, berteguh hati, bertenang hati, bersabar hati
15. berteguh janji
KP2 = Kamus Pelajar Edisi Kedua
Tiada ulasan:
Catat Ulasan