18 Oktober 2012

Skuter Pecut Hijau (Edisi Kedua)

Sabah Tempat Bermain


Sebulan selepas Nordin pindah ke rumah Cikgu Said Bakar, saya pula berpindah ke sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Padang. Rumah di tepi jalan raya menuju ke Kampung Kuala itu kira-kira sekilometer dari sekolah. Saya menyewa aras bawah. Aras atas digunakan oleh tuan rumah tetapi dia tidak tinggal di situ. Dia dan isterinya datang sekali-sekala. Adakalanya mereka bermalam di aras atas itu.

Aras bawah berlantai simen. Ruang yang berdinding ialah bilik tidur, dapur dan stor. Ruang yang tidak berdinding luas. Ruang itu saya namakan dataran skuter kerana di situlah tempat saya meletakkan skuter pecut hijau. Dari dataran skuter itu saya menikmati pemandangan bendang, rumah-rumah kampung di kejauhan, paya nipah dan pepohon yang menghijau.

Talib kerap mengunjungi saya di dataran skuter. Dia berketurunan Melayu Brunei, mengajar di Kinarut, sudah beristeri dan mempunyai beberapa orang anak. Dia menyewa aras bawah rumah dua tingkat juga di belakang rumah saya. Penyewa aras atas ialah Ustaz Hasbi Sain dan isterinya, Ustazah Markonah. Mereka sesekolah dengan saya, baru berkahwin dan belum mempunyai anak. Sekali-sekala Ustaz Hasbi singgah di dataran skuter.

Saya menyedari bahawa Talib yang masih muda dan berbadan tegap itu meminati skuter saya. Hal itu dapat saya kesan kerana ketika kami berborak dia duduk di atas skuter itu seolah-olah sedang memandu. Pada ketika yang lain, dia cuba menghidupkan enjin. Percubaannya tentulah tidak berjaya. Saya masuk ke dalam bilik, mengambil kunci dan menghulurkan kunci itu kepadanya. Apabila enjin skuter hidup, dia terus memandu uji skuter itu di jalan raya.

Dia memuji-muji skuter saya. Antara lain dia berkata, “Baik lajaknya, Isa!”

“Tentulah,” kata saya bangga. Saya menambah, “Ini skuter pecut!”

Talib tidak mempunyai kenderaan. Dia ke sekolah menaiki van sewa. Pada suatu malam, dia meminta saya menghantarnya ke rumah bapanya di Kampung Surati, kira-kira tiga kilometer dari rumah kami. Saya menunaikan permintaannya. Pada malam yang lain, dia hendak ke Surati lagi. Saya memberitahunya bahawa saya perlu menggunakan masa untuk persediaan peperiksaan STP. Saya membenarkan dia memandu skuter itu. Hal itu berulang. Persahabatan kami bertabah erat.

Pada suatu petang Sabtu, Talib datang. Dia berkata, “Isa, mari kita pergi ke Pulau Dinawan esok!”

“Naik apa?”

Dia menjawab, “Naik skuter kamu sampai di Kinarut. Dari sana kita menaiki bot ke pulau.”

Keesokannya, sesudah menyimpan skuter di halaman rumah seorang pak cik, kami ke tambatan Sungai Kinarut. Kemudian kami menaiki bot menuju ke Pulau Dinawan. Jurumudi bot itu seorang pak cik kenalan Talib.

Dari muara Sungai Kinarut, Pulau Dinawan kelihatan seolah-olah tiga buah pulau yang berderetan. Apabila bot kami semakin menghampirinya, jelaslah bahawa pulau itu terdiri daripada tiga buah bukit yang diselimuti hutan hijau. Bukit yang di tengah rendah tetapi besar. Bukit yang di kanan kecil tetapi tinggi. Bukit kecil dan tinggi itu disambungkan oleh segenting dengan bukit besar. Di hadapan segenting itu ialah teluk. Bukit yang di kiri lebih kecil, lebih rendah dan kelihatan terpisah dari bukit besar apabila air pasang.

Perjalanan ke pulau itu mengambil masa setengah jam. Kami mendarat di pantai teluk yang berhadapan dengan beberapa buah rumah nelayan. Pasir pantai itu putih, bersih, halus dan lembut. Sepanjang pantai dan gigi air tidak kelihatan buangan kilang seperti kertas, plastik dan perca, kendatipun secebis cuma. Keratan ranting dan carikan daun amat sedikit apabila dibandingkan dengan hutan hijau yang menyelubungi pulau.

Pak cik dan Talib menuju ke sebuah rumah. Saya bermohon agar mereka membiarkan saya bersendirian. Saya mahu menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi sepuas hati. Saya berdiri di atas pasir basah di gigi air. Gumpalan awal tebal melindungi saya daripada sinar lembut suria pagi. Saya melihat ke sana ke sini berulang kali. Angin yang bertiup perlahan. Riak air berlarian menuju ke pantai dan menggulingkan diri di pasir bagai barisan anak kucing berbulu putih berguling-guling di atas permaidani. Larian dan gulingan air itu menghasilkan irama merdu.

Air yang teramat jernih membolehkan saya melihat dasar laut yang kebanyakannya berpasir putih. Di beberapa bahagian kelihatan batu-batu kecil dan tumpukan karang yang berselang-seli dengan batu-batu besar. Ikan karang yang berwarna-warni jelas kelihatan berenang-renang. Kebanyakan ikan itu berenang ke sana ke ari secara berkumpulan. Apabila saya masuk ke dalam air hingga ke paras lutut, ikan-ikan itu tidak bebar bahkan terus berenang perlahan-lahan bagaikan tidak menyedari kehadiran saya. Di kejauhan, air laut membiru dan berkilat-kilat keperakan.

Talib datang. Dia mengajak saya ke rumah pak cik. Baru saya sedar bahawa saya sudah begitu lama menyendiri di pantai teluk itu. Baru saya sedar bahawa saya sudah sampai ke suatu hujung pantai yang bertebing batu, berada di bawah pepohon yang rendang dan kembali ke tempat pendaratan bot.

“Menyesal datang ke sini?” Talib mengusik saya.

Saya membalas, “Alhamdulillah. Inilah pemandangan terindah di pulau yang pernah saya lihat. Terima kasih, Talib. Jikalau kauajak saya ke sini lagi, pasti saya sudi tetapi biarlah selepas saya selesai mengambil peperiksaan STP.”

Hidangan orang pulau itu sungguh enak. Dalam perjalanan pulang, iaitu ketika bot menuju ke muara Sungai Kinarut, saya masih mengingat kenakan masakan dan keindahan pulau mereka. Ketika saya memandu skuter pecut menuju ke Papar, saya tertanya-tanya pula, mengapakah tiada seorang pun budak, apatah lagi gadis, berjalan-jalan atau duduk-duduk di pantai? Di manakah mereka? Saya tidak memperoleh jawapannya hingga ke hari ini.

Selain Talib, skuter pecut itu juga menjadi sebab persahabatan saya dengan seorang lagi anak tempatan. Namanya Abdul Muluk. Dia keturunan Bajau, tinggal di Kampung Kuala dan bekerja di Kota Kinabalu. Dia berulang-alik dari kampungnya ke Kota Kinabalu dengan skuter. Saya pernah terbaca berita yang menyebut namanya dan menyiarkan gambarnya di akhbar tempatan. Tahulah saya bahawa dia digelar Mr. Papar dan pernah mewakili Sabah ke pertandingan bina badan peringkat kebangsaan.

Saya rasa dia juga mengenali saya melalui pelajar-pelajar kampungnya yang bersekolah di SMK Majakir. Selain itu, mungkin juga dia mengetahui diri saya melalui rakan-rakan guru yang memiliki skuter. Apabila berselisih di jalan, kami berbalas hormat dengan cara mengangkat tangan. Pernah juga kami bersua di Pekan Papar. Kami bertegur sapa biasa-biasa sahaja. Kami belum pernah berbual sehinggalah dia singgah di dataran skuter saya pada suatu petang.

Dia berkata, “Skuter ini masih baharu. Di manakah cikgu beli?”

Saya menjawab, “Daripada Cikgu Amin.”

“Cikgu Amin Arif Kampung Surati?”

“Betul, encik.”

“Saya biasa lihat skuter ini. Berapakah harganya?”

“Lapan ratus.”

“Murah itu, Untung, cikgu. Di manakah Cikgu Amin sekarang?”

“Dia di universiti.”

Pada suatu petang yang lain, Abdul Muluk singgah lagi di rumah saya. Pada masa itu saya sedang memasak di dapur. Dia terus ke dapur. Dia masih memakai topi keledar. Saya mempersilakan dia duduk di kerusi tetapi dia terus berdiri.

“Tak apalah,” katanya. “Saya singgah sekejap sahaja. Ada hal ini.”

Saya bertanya, “Hal apa, encik?”

“Begini,” katanya sambil membuka topi keledarnya dan memperlihatkannya kepada saya. “Topi saya ini kecil … pandai menggigit telinga. Topi keledar cikgu besar?”

“Ya, besar,” kata saya. “Longgar sedikit.”

Topi keledar saya ada di atas meja dapur. Dia mencubanya. “Wah, ini barulah ngam! Cuba cikgu pakai topi saya ini.”

Saya memakai topi keledarnya. Saiznya memang sesuai untuk saya tetapi saya lebih selesa menggunakan topi keledar yang besar.

Abdul Muluk berkata, “Topi saya ngam dengan kepala cikgu. Kita bertukar topi, ya cikgu!”

Hati kecil saya berkata, baik kautunaikan permintaannya! Saya berkata, “Baiklah, encik.

*******

Jikalau saya tidak ke Kota Kinabalu, pada hari Sabtu dan Ahad skuter itu akan membawa saya ke Pantai Manis yang letaknya kira-kira sepuluh kilometer dari rumah sewa itu. Bekalan utama saya ialah nota STP gaya pos dan buku rujukan. Saya mampu duduk berjam-jam di bawah pokok di atas bukit kecil di pantai itu. Selain rumah, pantai itulah tempat saya menyiapkan diri sebagai calon STP.

Perkataan pecut (sprint) pada skuter itu tidak bermakna jikalau tidak dimanfaatkan. Jadi, biasanya saya memecut skuter itu apabila pergi ke Kota Kinabalu dan ketika pulang ke Papar. Selaku orang muda, ada ketikanya kecenderungan saya memecut keterlaluan. Apabila saya memecut, tiada kenderaan lain dapat mengatasi kelajuan skuter saya. Skuter pecut hijau itulah yang mendahului kenderaan lain sebuah demi sebuah.

Pada suatu petang Sabtu, saya pulang ke Papar tanpa membawa alat bantu pengajaran. Saya perlu sampai ke Papar sebelum malam kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Saya memecut skuter itu hingga lebih enam puluh batu sejam. Sekejap sahaja saya sudah sampai di Simpudu. Di situ ada jambatan merentangi Sungai Papar. Jambatan itu hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan beroda empat. Ertinya, kenderaan beroda empat dari arah yang bertentangan perlu bergilir-gilir untuk menggunakannya.

Dari jauh saya melihat tiada kenderaan yang menghala ke Kota Kinabalu. Jadi pecutan saya kurangkan sedikit sahaja. Saya lupa bahawa kedudukan jambatan itu kira-kira dua kaki lebih tinggi dari aras jalan. Ada papan tebal menghubungkan jambatan dengan jalan. Oleh sebab skuter itu masih dalam pecutan, selepas melintasi papan tebal, skuter dan saya “terbang” beberapa kaki di udara. Alhamdulillah, kedua-dua tayar skuter itu mendarat dengan cantiknya di atas papan laluan kenderaan yang disusun memanjang di sepanjang jambatan itu. Keyakinan saya bahawa Allahlah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan bertambah kental.

Pada suatu subuh hari Ahad, saya pulang ke Papar selepas menunaikan solat subuh. Ketika saya tiba di Kampung Kawang, keadaan masih gelap. Saya memandu skuter itu kira-kira dua puluh batu sejam. Apabila saya tiba di jambatan Sungai Kawang, keadaan masih gelap juga. Saya mengurangkan kelajuan. Oleh sebab pergerakan skuter amat perlahan, skuter itu gagal mendaki timbunan batu di atas jalan. Skuter rebah. Saya tergolek.

Alhamdulillah, saya tidak cedera. Skuter pun tidak mengalami apa-apa kerosakan. Setelah saya menopang skuter, saya naik ke atas longgokan batu. Rupa-rupanya jambatan lama sudah dirobohkan. Jambatan baharu akan dibina. Jambatan sementara sudah pun disediakan. Kedudukan jambatan sementara itu hanya beberapa kaki dari jambatan yang sudah dirobohkan. Baru saya sedar bahawa saya melalui jambatan sementara itu ketika pergi ke Kota Kinabalu pada pagi Sabtu.

Apabila kita sibuk, kita berasa masa berlalu dengan pantasnya padahal pergantian saat, minit, jam, hari dan seterusnya tetap sama. Demikian juga perasaan saya. Walaupun mulai bulan Julai saya cuma menulis catatan pelajaran ringkas, namun usaha mempersiapkan pelajar kelas peralihan untuk menghadapi peperiksaan mesti ditingkatkan. Pada masa yang sama, saya juga melipatgandakan usaha mengingat fakta, membuat latihan dan mengulang kaji pelajaran STP. Antara usaha saya termasuklah mencatat nota pada kad. Saya masukkan kad itu ke dalam saku baju dan saya bawa ke mana-mana.

Skuter pecut hijau itu terus memberikan khidmat dengan setianya kepada saya untuk melaksanakan tugas rasmi di sekolah, mutalaah pelajaran di Pantai Manis, pergi ke Kota Kinabalu untuk memulangkan alat bantu pengajaran dan mengambil alatan baharu dan bersiar-siar. Apabila saya terlalu berfikir, adakalanya skuter itu terlajak dan terpaksa berpatah untuk kembali ke simpang rumah atau sekolah.

Pada pertengahan November hingga awal Disember 1975, skuter itu juga membawa saya ke bilik peperiksaan STP di Sekolah Menengah Saint Joseph Papar. Selepas peperiksaan itu selesai, skuter itu membawa saya dan seorang rakan ke beberapa tempat di Pedalaman dan Pantai Barat Sabah.

(19) Pengembaraan Berskuter Bersendirian

Tiada ulasan: