Sabah Tempat Bermain
Pada penggal ketiga tahun 1981, saya dan Ramli Yusop ditugaskan untuk menyelia praktikum guru KDC di Ranau. Seorang guru bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paus. Sekolah itu terletak di pedalaman. Simpang ke sekolah itu terletak di antara Telupid dengan Pekan Ranau dan jaraknya dari Pekan Ranau kira-kira 62 kilometer.
Ramli memiliki kereta salun sport dua pintu. Saya belum memiliki kenderaan. Ramli bersetuju untuk menjadikan keretanya yang agak baharu itu sebagai kenderaan kami dari Sandakan ke Ranau.
Selepas saya berumah tangga, saya terus melakukan pengembaraan berskuter dengan Shamad. Dalam satu perjalanan pulang dari Ranau ke Sandakan, kira-kira lima kilometer dari Telupid, skuter itu rosak. Shamad menyimpan skuter itu di dalam hutan. Kami menumpang trak tentera untuk pulang ke Sandakan. Rakan Shamad membawa skuter itu ke Ranau. Skuter yang sudah dibaiki disimpan di rumah mentua saya. Untuk ke sekolah-sekolah yang ditetapkan, saya dan Ramli akan menggunakan skuter Shamad.
Kami bertolak dari Sandakan pada pagi Ahad dan menginap di rumah mentua saya. Pada awal pagi hari Isnin kami bertolak ke SK Paus. Pergerakan skuter di jalan yang berlopak-lopak ke Kampung Tampios lancar. Selepas Tampios, jalan tidak berturap, tanpa batu kelikir, berbukit dan licin. Jalan itu dibina oleh syarikat kayu balak.
Kami berhenti di atas bukit. Di situ ada papan tanda kecil “Kampung Paus”. Di kiri dan kanan jalan itu hutan. Anak panah pada papan tanda itu menghala ke latisan atau denai di hutan. Sesudah saya menyorokkan skuter di dalam semak, kami menuruni bukit melalui latisan. Hawa pagi di bawah redupan hutan dingin dan nyaman. Latisan terpelihara. Langkah kami lancar. Beberapa minit kemudian kami tiba di kawasan belukar. Di hadapan kami kelihatan tanah pamah saujana mata memandang. Tanah pamah yang menghijau itu dikelilingi oleh banjaran gunung. Kabus menyelubungi beberapa bahagian banjaran. Di sebelah kanan kaki banjaran itu samar-samar kelihatan sawah padi. Kami menjangka itulah Kampung Paus.
Saya mendepangkan tangan sambil menyedut udara pagi yang segar dan berharuman bunga-bunga hutan. Ramli meniru perlakuan saya. Sesudah berasa puas, barulah kami menuruni bukit. Sebentar sahaja rasanya kami tiba di sebatang sungai. Ada latisan di kiri dan kanan sungai itu. Belukar di kedua-dua arah kelihatan tebal. Kami berfikir berkali-kali sebelum memutuskan sama ada hendak mengikut latisan kiri atau kanan.
Tiada penunjuk arah. Saya ingat, guru itu ada menjelaskan bahawa sekolahnya terletak di hulu. Lagipun, dari bukit, kedudukan sawah di sebelah hulu. Ramli keberatan untuk menggunakan latisan menuju ke hulu. Dia menunjukkan latisan lain di seberang sungai. Pokok buah-buahan subur di seberang. Di situ ada sebuah pondok. Latisan di kebun buah-buahan itu berkemungkinan menuju ke SK Paus.
Masalahnya, jambatan tiada. Pada masa itu, jambatan memang kurang di kawasan pedalaman. Dalam pengembaraan pada tahun 1975, saya menyeberangi sungai kecil tanpa jambatan atau jambatan konkrit di bawah air. Pada tahun 1981 itu, jambatan di Sungai Mansahaban, iaitu jalan ke kampung isteri saya masih jambatan konkrit di bawah air.
Sungai di hadapan kami berjeram. Tebingnya tinggi. Banyak batu kecil dan besar di sepanjang tebing. Air sungai agak keruh. Aliran air deras. Kederasan aliran itu menghasilkan deruan yang berterusan. Batu-batu besar kelihatan tersembul di permukaan air. Tamparan air pada batu-batu itu menghasilkan percikan dan cepukan. Gabungan cepukan dan deruan air menyebabkan kami perlu menguatkan suara apabila bercakap.
“Isa, ada perahu di sana!” seru Ramli dengan nada gembira.
Saya memandang ke hilir. Di bawah sebatang pohon, kelihatan seorang lelaki di dalam sebuah sampan.
“Oi … oi!” saya melaung untuk menarik perhatiannya.
Ramli segera meningkah, “Ooi … ooi! Kami hendak menyeberang dengan perahu kamu!”
Suara kami bergaung. Lelaki itu melepaskan ikatan tali penambat sampannya. Dia mengangkat dayung dan terus mengemudikan sampan ke hilir tanpa menoleh. Laungan kami ditelan oleh deruan dan cepukan air. Laungan kami tidak sampai ke telinganya.
Kami memutuskan untuk menyeberangi sungai. Kami menanggalkan pakaian. Yang tinggal hanya seluar dalam. Saya memasukkan pakaian saya ke dalam beg sandang. Beg itu padat dan tiada ruang untuk pakaian Ramli.
Kami menyeberangi sungai itu beriringan. Saya menjunjung beg sandang dan kasut kulit hitam. Ramli menjunjung pakaiannya pula, termasuk kasut kulit hitamnya. Kasut berjenamanya itu jenis yang melebihi paras buku lali. Saya berkata dalam hati, wajarlah kasut berjenama dijunjung!
Air sungai sejuk. Sebagai anak muda yang berdarah panas, kesejukan itu tidak menjejaskan pergerakan kami. Penyeberangan itu cuma lambat kerana kami perlu berhati-hati. Tapak kaki kami berasa sakit apabila memijak batu-batu kecil di dasar sungai. Kami terus mengukuhkan pijakan dan cengkaman jejari kaki pada batu-batu itu.
Kedalaman sungai itu adalah antara paras lutut hingga pinggang. Apabila kami berada di kedalaman yang melebihi paras pinggang, tolakan arus terasa kuat. Kami hampir direbahkan ke hilir. Alhamdulillah, kami selamat tiba di seberang. Kami berasa lega apabila berada di atas tebing.
Laluan di bawah redupan pohon-pohon di tanah rata itu lebih baik daripada latisan di perbukitan. Sesudah berpakaian, kami menuju ke hulu. Laluan itu berhujung di belakang SK Paus. Perjalanan dari tebing sungai ke sekolah memakan masa lebih kurang dua puluh minit.
Beberapa orang murid menyedari kehadiran kami. Lebih kurang tiga minit kemudian seorang guru wanita muncul. Pada masa itu kami sedang duduk di kaki lima sekolah. Kami sudah membuka kasut dan stoking. Saya sudah menyelak seluar ke paras lutut dan sedang menarik pacat yang hampir gemuk. Ramli juga sudah menyelak seluarnya dan berusaha mengesan pacat. Tiada pacat di kakinya.
Kami perasan, seorang guru wanita tercegat di belakang kami. Dia muda dan ayu. Berdasarkan wajah dan kulitnya yang putih gebu, saya yakin dia anak tempatan daripada suku kaum Dusun. Beberapa orang murid yang comot berdiri di belakangnya. Kami berdiri sebagai tanda hormat. Saya tidak bersalam dengannya kerana perlakuan itu bukan kebiasaan saya untuk bukan muhrim.
Kami memperkenalkan diri. Kami juga menyatakan bahawa tujuan kedatangan kami adalah untuk melihat sesi pengajaran dan pembelajaran seorang rakannya.
Dia cepat faham dan berkata, “Tunggu, ya tuan. Saya panggil cikgu itu. Dia sedang mengajar di dalam kelas tahun dua dan tiga.” Dia pergi tanpa menunggu persetujuan kami.
Guru yang akan kami selia datang. Kami bersalaman dan berbual. Dia berkata sesuatu dalam bahasa Dusun kepada seorang murid perempuan. Kami terus berbual tentang perjalanan yang dilalui dan penyeliaan praktikum. Tidak lama kemudian murid perempuan tadi kembali ke tempat kami. Dia membawa sebotol air dan cawan. Alhamdulillah. Kami memang dahaga!
Sekolah itu kecil. Hanya ada empat buah bilik darjah dan sebuah bilik guru besar. Bilik guru besar juga menjadi tempat guru-guru berehat. Kami melaksanakan sesi prapenyeliaan di bilik guru besar itu.
Murid sekolah sedikit. Murid tahun satu dan tahun enam mempunyai bilik sendiri. Murid tahun dua berkongsi sebuah bilik dengan murid tahun tiga. Sebuah bilik lagi dikongsi oleh murid tahun empat dan tahun lima. Kedua-dua buah bilik itu terpisah oleh sekatan yang mudah dialihkan. Kedua-dua buah bilik yang dikongsi itu dinamakan kelas bercantum.
Guru yang kami selia menetap di kampung itu. Dia berpengalaman mengajar lebih lima tahun. Buku rekod pengajarannya lengkap. Berdasarkan buku rekod pengajaran, beberapa dokumen lain dan temu bual dengannya, dia sentiasa hadir bertugas pada waktu kerja. Guru pedalaman hadir dan bertugas ialah perkara utama. Hal ini dikatakan demikian kerana kami mendapat tahu ada guru pedalaman agak kerap meninggalkan sekolah pada waktu kerja tanpa alasan yang kukuh.
Penyeliaan berjalan lancar. Mutu pengajaran guru itu sederhana tetapi kesungguhannya membimbing murid tinggi. Kesungguhan itu termasuk dalam perkara utama yang kami kesan. Oleh sebab sesi persekolahan akan berakhir setengah jam lagi dan kami lapar, kami memutuskan untuk melakukan sesi pascapenyeliaan secara ringkas.
Kami menunaikan permintaan guru itu agar kami menikmati buah-buahan di rumahnya. Dalam perjalanan ke rumahnya, dia menunjukkan jambatan gantung yang sepatutnya kami lalui. Dia juga memberikan panduan agar perjalanan kami ke jalan tempat skuter saya disorokkan lancar.
Di rumahnya, kami menikmati buah tarap dan durian. Dia menyediakan sekarung penuh durian untuk kami bawa pulang. Perjalanan ke tempat skuter mendaki bukit dan dijangka memakan masa lebih setengah jam. Langit semakin cerah. Sinaran matahari semakin terik. Perut kami belum diisi dengan makanan biasa yang sepatutnya. Keletihan sudah bermula. Kami memutuskan untuk membawa durian sekadar sepertiga karung.
Sebelum kami melangkah untuk memulakan perjalanan pulang, guru itu berkata, “Tuan, maaf, ya. Kata Tuan Haji Hussain, penyeliaan sekurang-kurangnya dua kali. Adakah tuan akan datang lagi?”
Saya menjawab, “Benar, cikgu. Cikgu perlu terus menyediakan rancangan pengajaran harian yang lengkap sepanjang tempoh praktikum. Pensyarah boleh datang untuk melakukan pemerhatian bila-bila sahaja. Walau bagaimanapun, pensyarah yang datang itu tidak semestinya kami.”
Guru itu mengangguk dan mengucapkan terima kasih. “Jalan baik-baik, ya tuan,” katanya.
Sebelum menyeberangi jambatan gantung, Ramli bertanya, “Kita akan ke sini lagi, Isa?”
“Tidaklah,” kata saya sambil tersenyum. Saya menambah, “Belum ada kes pensyarah penyelia melakukan lawatan kali kedua ke tempat yang seperti ini.”
“Oh, begitu!” seru Ramli. Beliau menambah, “Jikalau perlu lawatan kali kedua, kita minta Tuan Haji Hussainlah datang!”
Kami ketawa kerana mustahil Tuan Haji Hussain yang akan bersara tidak lama lagi itu mahu menyusahkan diri untuk melawat ke sekolah di pedalaman seperti SK Paus.
Sesudah menyeberangi jambatan gantung, kami menghala ke hilir dan kemudian mendaki bukit. Belukar di bukit itu kurang tebal. Kami meneruskan pendakian kerana beranggapan latisan itu sebagai laluan pilihan. Latisan itu berhujung di ladang padi bukit. Dalam ladang itu ada sulap. Kami tercegat kira-kira dua puluh meter dari sulap itu.
Ramli berteriak, “Ada orang di sana? Kami mahu tumpang bertanya!”
Saya menambah, “Kami dari SK Paus. Kami hendak keluar ke jalan besar. Jikalau ada orang di sana, kami hendak bertanya!”
Setelah beberapa lama, kelihatan seorang remaja wanita keluar dari sulap itu. Bibirnya merah, mungkin kesan air sirih. Dia bersentil. Pakaiannya dan gaya dia menggunakan tutup kepala daripada kain batik persis petani tradisional Melayu dalam filem hitam putih. Dia kelihatan takut-takut. Kami tidak pula memperlihatkan keberanian kerana ada kemungkinan seorang atau lebih wira Dusun sedang memerhati gerak-geri kami dari dalam atau di belakang sulap itu.
Ramli berkata dengan suara yang perlahan, “Eh, sumandak Dusun, Isa!”
Saya memohon maaf berkali-kali seperti yang biasa dilakukan oleh orang Sabah. Saya menyatakan bahawa kami mencari jalan untuk ke luar dari kawasan itu. Kami mungkin sesat, kata saya.
“Jalan sa … na!” kata sumandak itu. Suku kata “sa” diucapkannya empat harakat sambil telunjuknya dihalakan ke hilir di bawah bukit. Setelah memperoleh penjelasan tambahan dan mengucapkan terima kasih berkali-kali, kami menuruni bukit itu. Kami menuju tempat kami menyeberang semasa datang. Pastilah kami bahawa kami berada di latisan yang betul.
Bersambung: (36) Azan Bergema Kembali

Tiada ulasan:
Catat Ulasan