15 Januari 2009

Cenderamata dan Cenderahati

Ulasan/Soalan

Cikgu,

Saya singgah sebentar di blog ini. Jarang-jarang saya temui blog yang memberi panduan tentang penggunaan bahasa. Syabas! Banyak manfaatnya.

Bolehkah cikgu memperjelas penggunaan perkataan "cenderamata" dan "cenderahati" yang sering kali disebut dalam majlis rasmi?

Respons/Jawapan

Cikgu A. Wahab,

Terima kasih saya ucapkan kerana tuan sudi singgah di sini. Terima kasih sekali lagi kerana tuan sudi memberikan kata-kata perangsang. Blog ini baharu, belum sampai sebulan. Tuan ialah pengunjung pertama yang menitipkan ulasan.

Menjawab soalan tuan, “cenderamata” sama maksudnya dengan “cenderahati”. Kedua-dua perkataan ini tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996) dan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga dan Edisi Keempat, satu lagi perkataan yang sama maknanya dengan “cenderamata” ialah “cenderadurja”.

Di bawah ini saya salinkan masukan ketiga-tiga perkataan itu dalam Kamus Dewan Edisi Keempat:

cenderadurja cenderamata.
cenderahati cenderamata.
cenderamata 1. sesuatu yg diberikan kpd orang lain sbg tanda ingatan, cenderadurja, cenderahati, tanda mata; 2. kekasih, buah hati.


Apabila saya merujuki Kamus Dewan Edisi Baru (1989), saya dapati perkataan “cenderadurja” dan “cenderahati” tiada dalam kamus itu. Ini bermakna kewujudan kedua-dua perkataan ini dalam masyarakat kita belum lama.

Jika saya tidak silap, perkataan “cenderahati” diutarakan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said. Jika saya tidak silap, “cenderahati” menyarankan ketulusan hati. Jika saya silap, sesiapa yang mengetahui, mohon betulkan.

Di bawah ini saya catatkan dua pautan yang berguna untuk tuan dan para pengunjung blog ini.

Pautan Kamus Dewan Edisi Keempat
Pautan Kamus Besar Bahasa Indonesia

Wajar saya catatkan, wibawa saya untuk menjawab soalan para pengunjung tidaklah berapa tinggi. Jikalau ada soalan seterusnya, belum tentu saya akan dapat menjawab semua soalan itu. Saya hanya boleh berkata bahawa saya akan berusaha menjawab soalan para pengunjung jikalau saya tahu jawapannya dan ada masa untuk menjawabnya. Saya berharap ada interaksi dua atau pelbagai hala. Maksudnya, pengunjung yang mengetahui jawapan sesuatu soalan itu sudi mencatatkan pandangannya di ruangan ulasan.

Wallahuaklam.

Mohd Isa bin Abd Razak

2 ulasan:

Mohd Firdaus HAS berkata...

Assalamualaikum wbt Tuan Haji Mohd Isa. Syukur kerana terus dikurniakan kesihatan fizikal,ketajaman minda dan kerendahan hati yang berpanjangan.
Blog tuan haji akan menjadi kunjungan harian saja, ada petikan atau buah fikiran yang saya ambil untuk tujuan pendidikan atau motivasi mohon diizinkan.
Doa kami di sini mudah-mudahan semangat pendidik tulen yang pernah menyuntik kesedaran dalam kalangan kami akan terus bergelora

Sekian dan Salam Hormat

Firdaus
Bukit Langsat

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara Mohd Firdaus,

Terima kasih atas kunjungan dan ulasan saudara. Saya mendoakan saudara, rakan-rakan dan para pelajar sihat, aktif dan terus menimbun tambah ilmu serta pengalaman. Pesan ulangan saya: apabila melakukan pembentangan, mesti ada bahan bertulis, biarpun hanya sehelai kertas.

Saya mengikuti blog saudara dan pelajar kita.

Manfaatkanlah masukan blog ini.

Wassalam.

Mohd Isa bin Abd Razak