10 Januari 2009

Kerajaan Teruskan PPSMI

Ulasan Berita
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Penerusan PPSMI ini bermakna KPM memilih rumusan pertama persidangan meja bulat hujung tahun lalu. Rumusan pertama itu ialah “Meneruskan PPSMI seperti sedia ada”.

Keputusan ini jelas menunjukkan KPM mengetepikan ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Keputusan ini juga jelas menunjukkan KPM memandang sepi pelbagai hujah pihak yang menentang PPSMI. Mungkin hujah bernas pihak yang menentang PPSMI, terutamanya daripada para profesor dan budayawan kita, tidak sampai kepada KPM. Jikalau hujah itu sampai kepada KPM, mungkin juga hujah itu dipandang sebelah mata. Ada juga kemungkinan mereka memejamkan mata terhadap hujah berdata yang disajikan.

Pihak yang pro-PPSMI seperti Parent Action Group for Education (PAGE) perlu mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, juga perlu menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri.

Selain itu, saya percaya pelbagai pihak yang meraih keuntungan daripada dasar ini berasa amat senang hati. Antara pihak yang meraih keuntungan itu ialah pembekal komputer riba dan penerbit kamus bahasa Inggeris. Pihak lain yang tidak kurang senang hati dengan penerusan PPSMI ialah guru yang mendapat elaun dalam skim dasar ini.

Pada saya, tajuk berita “Keputusan Pelaksanaan PPSMI Tahun Depan” tidak tepat. Isi berita itu juga amat bersahaja. Jadi, jawapan Menteri Pelajaran juga amat mudah. Gambar Menteri Pelajaran dengan muka yang ceria dan senyuman yang sungguh menawan dapat membantu pembaca menyenangi jawapan beliau yang inti sarinya tercatat di sebelah gambar itu.

Kita yang mendukung Gerakan Anti-PPSMI (GAP) dan mendukung slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” membaca berita ini dengan pelbagai rasa. Hairan ada, terharu ada, geram ada. Banyak lagi rasa yang bercampur baur, termasuklah marah yang dijelmakan melalui kata-kata atau tulisan.

Saya menjangka KPM akan membuat pengumuman sama ada meneruskan atau memberhentikan PPSMI secara rasmi dalam sidang akhbar. Nampaknya, sehingga kelmarin, jangkaan saya itu meleset. Jadi, saya berterima kasih kepada Berita Harian kerana berusaha mendapatkan maklumat daripada KPM. Saya memang menunggu-nunggu berita ini.

Berita ini mendorong kita memperhebat GAP. Kita sokong perhimpunan mengarak “Keranda 152”. Tunjukkan sokongan itu dengan pelbagai cara yang kita mampu. Sokongan yang sangat penting ialah daripada pertubuhan pelajar, termasuk daripada kumpulan yang bakal menjadi guru, khususnya bakal guru Bahasa Melayu. Tindakan agresif orang muda kita harapkan dan kita hargai.

Muat turun buku Mengapa Kami Bantah! cetakan pertama, percuma! Klik pautan yang berkenaan.

Lampiran
Keputusan Pelaksanaan PPSMI Tahun Depan
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Berita Harian, 9 Januari 2009

Kerajaan ada masa buat kajian, pertimbangan mendalam

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah hanya boleh dilaksanakan tahun depan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya masih ada masa untuk menentukan keputusan berkenaan dengan membuat kajian teliti serta pertimbangan mendalam terhadap perkara itu.

"Kita ada masa kerana apa juga keputusan hanya boleh dilaksanakan tahun depan. Saya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan dengan pelbagai pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kajian pihaknya terhadap pandangan pelbagai pihak mengenai isu pelaksanaan dasar berkenaan, terutama rumusan daripada hasil lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI yang diadakan.


Persidangan Meja Bulat PPSMI terkini yang berlangsung pertengahan bulan lalu merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Tiada ulasan: