Ulasan Masukan Blog
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/
Pandangan Puan Ainon seperti yang dilampirkan di bawah wajar kita renungi. Tentulah yang paling wajar merenungi pandangan Puan Ainon ini ialah para pendakwah, khususnya ustaz dan ustazah. Yang mesti menghadam pandangan Puan Ainon ini ialah penulis dan bakal penulis, khususnya penulis dan bakal penulis PTS.
Sama ada kita mahu melakukan perubahan atau tidak, terpulang kepada diri masing-masing. Namun, apabila kita fikir-fikirkan, pandangan ini bernas. Jikalau kita terima pandangan ini, rasanya syarahan atau penulisan kita akan lebih berkesan. Mesej syarahan atau penulisan kita lebih mudah diserap oleh pendengar atau pembaca. Bukankah itu yang kita ingini?
Saya menghargai pandangan ini. Saya akan berusaha melakukan perubahan. Namun, perubahan itu pasti memakan masa. Maklumlah, saya sudah biasa dengan perkataan “firman” untuk Allah dan “sabda” untuk Rasulullah s.a.w.
Selama ini, saya berasa saya meletakkan Allah dan Nabi s.a.w. pada tempat yang selayaknya apabila menggunakan perkataan itu. Tidak perasan pula saya bahawa perkataan itu ialah perkataan pinjaman. Saya juga tidak perasan bahawa perkataan itu bukan bahasa Arab dan tidak terdapat dalam al-Qur’an. Apabila mengetahui perkara ini, nampaknya saya perlu berusaha melakukan perubahan.
Apabila kita sedia melakukan perubahan, kita akan dapat membaca ayat seperti ini tidak lama lagi: “Malam tadi naqib usrah kami menyampaikan ceramah di balai raya. Ramai muda-mudi dan remaja hadir dalam majlis itu. Semasa menyampaikan ceramahnya, naqib usrah kami memetik beberapa banyak kata Allah. Dia juga mengemukakan beberapa banyak cakap Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyokong hujahnya."
Saya pernah mendengar pendapat bahawa perkataan yang berkaitan dengan agama seperti “usrah” dan “naqib” wajar kita tukar agar penulisan kita lebih mudah difahami oleh masyarakat. Antara kemungkinannya, “naqib usrah” perlu ditukar menjadi “ketua keluarga”.
Marilah sama-sama kita fikirkan perkara ini. Bagi mereka yang ada kumpulan usrah, baik benar kiranya pandangan ini dapat dibincangkan dalam kumpulan usrah masing-masing.
Lampiran
Khutbah Jumaat PTS: Bahasa Feudal
Catatan Puan Ainon (UNIKA PTS, http://www.universitipts.com)
Salah satu unsur yang menyebabkan muda-mudi dan remaja tidak suka membaca buku-buku agama Islam tradisional adalah gaya bahasa yang “klasik” dan “feudal”.
Dalam tradisi bahasa Melayu, raja-raja menggunakan bahasa istana, yang berlainan sedikit dengan bahasa Melayu rakyat biasa. Sebagai contoh, raja “bertitah” manakala rakyat “bercakap”.
Buku-buku agama tradisional menggunakan ciri-ciri bahasa Melayu feudal untuk Allah dan Nabi Muhammad. Jadi Allah “berfirman” manakala Nabi Muhammad “bersabda” dan “baginda”.
Alasan mereka adalah bagi memuliakan Allah dan Nabi Muhammad. Atas alasan itu kata ganti nama feudal “baginda” (yang bermakna “dia”) dikenakan kepada Nabi Muhammad. Namun bagi Allah, ustaz-ustaz Malaysia tetap menggunakan “Dia”.
Dalam Quran, “qa-la” (berkata) digunakan untuk Allah, Nabi Muhammad, Firaun dan sesiapa sahaja, termasuk iblis.
Perkataan “sabda” adalah dipinjam daripada bahasa Sanskrit, bahasa kitab-kitab agama Hindu. Manakala perkataan “firman” datang dari bahasa Parsi, itulah sebabnya perkataan itu tidak ada dalam Quran.
Bahasa Quran tidak bersifat feudal. Nabi Muhammad bukan raja. Sistem feudal tidak selaras dengan sistem politik Islam.Nota: Di Brunei perkataan “bersabda” digunakan untuk mufti dan menteri agama negara itu.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan