A. Samad Ahmad (penyelenggara), 1979. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 231.
Arkian maka turun sebuah kakap (sejenis kapal) dari Jeddah ke Melaka, dalam kapal itu ada seorang pendeta, Maulana Sadar Jahan namanya, terlalu alim. Maka Sultan Mahmud Shah pun berguru padanya, dan anakanda baginda, Raja Ahmad pun disuruh baginda mengaji. Maka Maulana Sadar Jahan disebut orang Makhdum.
Pada suatu malam, Bendahara Seri Maharaja duduk dengan Makhdum Sadar jahan berkata-kata (berbincang) akan ilmu; maka Seri Rama pun datang dengan mabuknya, kerana Seri Rama terlalu peminum.
Apabila Seri Rama datang menghadap Sultan Mahmud Syah, maka titah baginda pada hamba raja, “Bawakan persantapan Orang Kaya Seri Rama.” Maka dibawa oranglah arak pada batil perak, disampaikan tetampan (sejenis talam), diberikan pada Seri Rama. Telah teradatlah demikian itu. (Komen MIAR: Layanan istimewa untuk pemungkar dan contoh minyak bercampur dengan air zaman Kerajaan Melayu Islam Melaka.)
Maka Seri Rama datang pada Bendahara Seri Maharaja, dilihatnya Bendahara sedang berkata-kata dengan Makhdum Sadar Jahan.
Maka kata Seri Rama, “Mari beta turut mengaji.”
Maka kata Bendahara, “Marilah orang kaya duduk.”
Maka dilihat oleh Makhdum Sadar Jahan Seri Rama itu mabuk, dan mulutnya pun bau arak. Maka kata Makhdum Sadar Jahan, “Al-khamru ummu’l-khabaith,” ertinya arak itu ibu segala najis.
Maka sahut Seri Rama, “Al-hamku ummi’l-khabaith: yang hamak (tamak) itu ibu segala najis. Tuan turun dari atas angin ke mari ini, bukankah hendak mencari harta, dari hamaklah itu.”
Maka Makhdum terlalu marah mendengar kata Seri Rama itu, lalu ia pulang; berapa pun ditahani Bendahara Seri Maharaja, tiada juga Makhdum mau bertahan, pulang juga ia ke rumahnya.
Maka kata Bendahara Seri Maharaja kepada Seri Rama, “Mabuk orang kaya ini, barang kata dikatakan; baik tiada didengar Yang Dipertuan, jikalau baginda tahu, murka baginda akan orang kaya.
Maka kata Seri Rama, “Manakah hendak Yang Dipertuan, apatah daya kata sudah terlanjur.”
Maka hidangan pun dikeluarkan oranglah ke hadapan Seri Rama; maka Seri Rama dan khalayak yang ada hadir itu pun makanlah. Setelah sudah makan, maka makan sirih; sesaat duduk Seri Rama pun bermohonlah pada Bendahara Seri Maharaja, lalu pulang ke rumahnya. Setelah keesokan harinya, maka Bendahara sendiri datang ke rumah Makhdum; maka Makhdum Sadar Jahan pun terlalu sukacita melihat Bendahara Seri Maharaja datang itu.
Bermula Tun Mai Ulat Bulu pun mengaji pada Makhdum Sadar Jahan; akan Tun Mai Ulat Bulu itu asal namanya Tun Muy’d-Din, anak Tun Zainal Abidin, cucu Bendahara Paduka Raja; sebab datuk itu berbulu, maka disebut orang Tun Mai Ulat Bulu. Setelah Tun Mai Ulat Bulu mengaji pada Makhdum Sadar Jahan, barang (apa-apa) yang diajarkan oleh makhdum itu, tiada terturut oleh Tun Mai Ulat Bulu, kerana lidah Melayu ini keras.
Maka Makhdum Sadar Jahan pun ingar (merungut), katanya, “Lidah Tun Mai Ulat Bulu ini, terlalu amat keras; lain kata kita, lain katanya.”
Maka sahut Tun Mai Ulat Bulu, “Itu pun tuan, sahaya mengikut bahasa tuan, jadi sukarlah pada lidah sahaya, kerana bukan bahasa sahaya sendiri; jikalau tuan sebut bahasa sahaya semuanya pun demikian juga.” (Komen MIAR: (a) Berguru kepalang ajar. (b) Siapakah yang seumpama Tun Mai Ulat Bulu apabila belajar bahasa Inggeris?)
Maka kata Makhdum Sadar Jahan, “Apa sukar bahasa Melayu ini. maka tiada tersebut olehku?”
Maka kata Tun Mai Ulat Bulu, “Sebutlah tuan ‘kunyit’”; maka disebut oleh Makhdum katanya “kuzit”; maka kata Tun Mai Ulat Bulu, “Salah itu, ‘kunyit’; maka disebut pula “nyiru”, maka kata Makhdum “niru”. Maka kata Tun Mai Ulat Bulu, sambil hendak tertawa, “’kucing,’ pula sebut, tuan”; maka disebut Makhdum, katanya “kusyin”.
Maka Tun Mai Ulat Bulu pun tertawa, katanya, “Manatah tuan dapat menyebut bahasa kami? Demikian lagi kami mengikut bahasa tuan.”
Maka Makhdum Sadar Jahan pun terlalu marah akan Tun Mai Ulat Bulu, katanya “Taubatlah kita mengajar dia ini lagi.”
Nukilan Tun Sri Lanang,
1021 Hijrah (13 Mei 1612 Masehi).
Nota
Petikan ini diedit sedikit. MIAR = Mohd Isa bin Abd Razak. Bahan ini dapat dimanfaatkan untuk menyokong pernyataan atau hujah. Pemanfaatannya dapat dilakukan dalam bilik kuliah, dalam ucapan dan dalam penulisan. Saya menggunakan kisah Tun Mai Ulat Bulu dalam beberapa sesi syarahan.
Dipetik dan disunting oleh Mohd Isa bin Abd Razak
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan