25 Januari 2009

SPK di Dalam dan di Luar Bulatan

Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Pelaksanaan SPK di Dalam dan di Luar Bulatan
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Pendahuluan

Saya sudah berinteraksi sebanyak tiga kali dengan kumpulan ini. Saya mendapati mereka cerdik, mendengar kata, dan berkemampuan menghadapi gaya pembelajaran yang mencabar. Keadaan ini mendorong saya mencuba kaedah pembelajaran koperatif sepenuhnya semasa interaksi keempat.

Interaksi keempat ada dua jam. Saya membahagikan interaksi ini kepada dua sesi, iaitu satu jam setiap sesi.

Dalam sesi pertama saya menggunakan struktur pembelajaran koperatif (SPK) di dalam dan di luar bulatan. Sesi ini bertujuan mengukuhkan pemahaman pelajar terhadap konsep semantik yang dipelajari dalam interaksi kedua dan empat teori semantik yang dipelajari dalam interaksi ketiga.

Dalam sesi kedua, saya mendedahkan tajuk baharu, iaitu “Medan Makna”. Saya menggunakan SPK lakarkan saya.

Catatan Pelaksanaan SPK di Dalam dan di Luar Bulatan

Induksi set sesi ini ialah paparan melalui LCD wajah empat orang remaja. Beberapa orang pelajar menyatakan makna gambar itu. Saya (fasilitator) mengemukakan beberapa soalan. Kemudian fasilitator mengaitkan jawapan pelajar dengan keluasan makna.

Seterusnya beberapa orang pelajar menyatakan makna “bunga seroja”. Berlaku soal jawab antara fasilitator dengan pelajar tentang keluasan dan pertambahan makna bagi sesuatu perkataan seperti bunga seroja dan bunga raya. Pelaksanaan induksi set menggunakan masa lima minit.

Langkah pertama dirancangkan menggunakan masa 10 minit. Langkah ini merupakan sesi persediaan untuk SPK di dalam di luar bulatan. Fasilitator memberitahu pelajar bahawa aktiviti pengukuhan untuk konsep semantik dan empat teori semantik akan diadakan di luar bilik darjah. Oleh sebab aktiviti pengukuhan itu ialah sejenis ujian, mereka diberi masa lima minit untuk membaca nota. Mereka hendaklah berusaha mengingat fakta-fakta penting.

Ada tanda kehairanan pada wajah pelajar. Seorang pelajar bertanya sama ada ujian itu ada markah atau tidak. Fasilitator menyatakan bahawa sesuatu ujian tidak semestinya ada markah. Apabila selesai membaca nota, fasilitator memuji kepantasan mereka membaca. Mungkin juga mereka sudah membaca nota itu bekali-kali sebelum sesi pelajaran ini.

Dalam keadaan berdiri berpasangan, arahan membentuk dua bulatan diberikan dengan bantuan rajah yang dipaparkan melalui LCD (Rajah1A, 1B dan 1C). Fasilitator memberitahu pelajar prosedur yang akan mereka alami. Fasilitator juga memberi mereka peluang untuk mengemukakan soalan.

Setelah berpuas hati bahawa mereka faham akan arahan fasilitator dan tiada lagi soalan yang dikemukakan, seorang anggota daripada setiap pasangan keluar dari bilik kuliah dan membentuk bulatan kecil. Bulatan itu dinamakan bulatan di dalam.

Setelah bulatan pertama terbentuk, anggota pasangan yang seorang lagi membentuk bulatan kedua di belakang pasangan mereka. Bulatan ini dinamakan bulatan di luar. Kedudukan mereka adalah seperti dalam Rajah 1A.

Aktiviti membentuk dua bulatan ini termasuk dalam langkah kedua yang dirancang menggunakan masa 20 minit dan dilakukan di luar bilik kuliah. Seorang pelajar wanita yang tidak mempunyai pasangan menjadi pembantu fasilitator.

Fasilitator menegaskan prosedur yang akan mereka alami. Pelajar dalam bulatan di dalam akan diberi kad soalan 1. Pemegang kad soalan dinamakan penyoal. Penyoal hendaklah mengemukakan soalan kepada pasangannya.

Pelajar yang akan memberikan jawapan dinamakan penjawab. Penjawab hendaklah menjawab soalan itu. Penyoal hendaklah memberikan pengukuhan bukan lisan kepada penjawab semasa dia menjawab dan pengukuhan lisan dan bukan lisan setelah dia selesai memberikan jawapan. Mereka diberi peluang mengemukakan soalan.

Apabila mereka bersedia, pembantu fasilitator mengedarkan kad soalan 1 kepada pelajar dalam bulatan 1 (penyoal). Pusingan pertama dimulakan.

Proses yang dirancangkan berjalan dengan lancar. Dalam masa kurang daripada tiga minit pusingan pertama selesai. Fasilitator memberikan peneguhan lisan atas kerjasama dan kejayaan mereka.

Pada masa yang sama, pembantu fasilitator mengutip kad soalan 1 sambil memberikan kad soalan 2 kepada pelajar yang membentuk bulatan di luar. Pusingan kedua (Rajah 1B) berjalan lancar dan diikuti pusingan ketiga (Rajah 1C) yang juga berjalan licin. Masa yang digunakan lebih kurang 12 minit.

Langkah ketiga dirancangkan menggunakan masa tujuh minit dan dilangsungkan di dalam bilik kuliah. Langkah ini berupa sesi rumusan dan refleksi. Dua orang pelajar diminta memberikan faedah aktiviti tadi. Dua orang pelajar yang lain mengemukakan komen (perasaan, keistimewaan, perjalanan aktiviti).

Fasilitator mengemukakan soalan bonus: Apakah anda fikir hanya ada empat teori semantik sahaja? Sila beri sebab terhadap pendirian anda.

Penutup, sekali gus sesi rehat minda (brain breaks), dirancang lima minit. Seni kata lagu “Seroja” ditayangkan melalui LCD. Fasilitator menyanyikan sebahagian daripada lagu itu. Kemudian seorang pelajar lelaki mengetuai rakan-rakannya menyanyikan lagu itu.

Catatan Selepas Pelaksanaan SPK di Dalam dan di Luar Bulatan

Penggunaan masa sesi ini ialah 55 minit. Jikalau persediaan dilakukan lebih rapi, aktiviti seperti ini dijangka dapat disempurnakan dalam masa kurang daripada 50 minit. Jadi rehat antara sesi dapat diadakan.

Pelaksanaan aktiviti di dalam dan di luar bulatan ini lancar. Saya menghormati pilihan pelajar untuk mengadakan aktiviti di kawasan redup walaupun kawasan itu agak sempit. Pelajar terpaksa berdiri rapat dengan rakan-rakannya. Akibatnya mereka kurang selesa memberikan jawapan kerana dapat didengar oleh rakan-rakan di sebelah-menyebelah mereka. Kekurangan ini perlu diberi perhatian jikalau aktiviti seperti ini diadakan lagi.

Pelajar menyatakan mereka dapat melakukan ulang kaji melalui aktiviti ini. Kefahaman mereka terhadap teori semantik meningkat. Ini bermakna matlamat saya untuk melakukan ulang kaji dalam bentuk aktiviti tercapai.

Namun, pelajar menganggap ada juga kelemahannya, iaitu mereka tidak pasti sama ada jawapan yang diberi itu betul atau salah. Kelemahan ini ditampung dengan perbincangan di e-grup.

Pelajar menyatakan mereka berasa seronok mengikuti aktiviti ini. Seorang pelajar wanita berkata, dia akan cuba menggunakan aktiviti ini apabila menjadi guru nanti.

Saya berterima kasih kepada mereka kerana mematuhi arahan saya. Sebenarnya, sebelum aktiviti bermula saya berasa cemas juga takut-takut pelajar kurang mengendahkan arahan saya.

Tiada ulasan: