.
Tujuan pembacaan adalah untuk memahami apa-apa yang dibaca. Tanpa pemahaman, pembacaan itu menjadi sia-sia. Begitulah eratnya hubungan bacaan dengan kefahaman. Keeratan hubungan bacaan dengan kefahaman itu digambarkan oleh Marohaini dalam bukunya Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman (1999) dengan ungkapan “bacaan ialah kefahaman”. Hal ini seratus peratus benar bagi situasi bacaan peringkat tinggi yang menjadi matlamat akhir segala usaha latihan membaca. Bagi bacaan peringkat pertengahan seperti bacaan mekanis atau nyaring, kebenaran pandangan ini tidak semestinya seratus peratus.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) mentakrifkan kefahaman sebagai keupayaan atau kemampuan memahami akan sesuatu yang dipelajari atau yang dibaca. Secara teknikal, Marohaini mentakrifkan kefahaman sebagai “keupayaan menubuh, mentafsirkan, dan menilai sesuatu berkaitan dengan perkara atau apa-apa yang dibaca”. Kedua-dua takrif ini menekankan keupayaan pemikiran memproses maklumat semasa membaca, iaitu daripada keupayaan pemikiran yang mudah hingga kepada proses pemikiran yang sangat rencam. Tegasnya kefahaman membaca bertahap-tahap.
Namun penjelasan tentang tahap kefahaman membaca ini berbeza-beza berdasarkan sudut pandangan tertentu. Sebagai contoh, jika kita menggunakan taksonomi Bloom, tahap kefahaman itu dapat dibahagikan kepada enam peringkat, iaitu dari peringkat pengetahuan, kefahaman, penggunaan, analisis, sintesis hingga ke peringkat penilaian. Peminat taksonomi Barret pula akan membahagikan tahap kefahaman itu kepada lima sahaja, iaitu literal, penyimpulan, pentafsiran, penilaian dan penikmatan. Jika kita menggunakan alat berfikir yang dicadangkan oleh Edward de Bono, lain pula caranya. Namun, dalam tulisan ini, kita akan membincangkan empat tahap kefahaman bacaan yang mungkin asalnya dikemukakan oleh Frank Smith sebagaimana yang dipetik oleh Abd. Aziz Abd. Talib dalam bukunya Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik (2000). Empat tahap itu ialah literal, inferens, penilaian, dan kreatif.
Tahap terendah ialah literal. Dari segi bahasa, literal bermaksud berasaskan makna sebenar atau makna biasa kata-kata yang digunakan; tegasnya bukan makna kiasan atau makna yang tersirat. Tahap ini hanya memerlukan proses pemikiran biasa. Pembaca hanya perlu mengingat dan menyatakan apa-apa yang terdapat dalam teks. Antara kemahiran literal ialah memahami makna perkataan, termasuk menyatakan perkataan seerti dan perkataan berlawan bagi sesuatu perkataan yang terdapat dalam teks. Kemahiran lain yang terlibat ialah memahami penggunaan tanda baca, mengecam dan mengingat isi teks, dan menyatakan urutan peristiwa. Sebagai contoh, jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut hanya memerlukan proses pemikiran literal yang sangat mudah:
1. Apakah peristiwa yang berlaku pada petang itu?
2. Di manakah peristiwa itu berlaku?
3. Pukul berapakah peristiwa itu berlaku?
4. Siapakah yang terlibat dalam peristiwa itu?
5. Berapakah jumlah kenderaan yang terlibat dalam peristiwa itu?
Tahap literal termasuk juga keupayaan menyatakan atau mengungkapkan kandungan bacaan dengan kata-kata lain tanpa mengubah makna atau maksud asalnya. Istilah yang lazim digunakan untuk kebolehan ini ialah memparafrasa. Jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut memerlukan kefahaman tahap literal yang dikategorikan sebagai memparafrasa:
1. Nyatakan peristiwa-peristiwa yang berlaku, iaitu bermula dari Wasnah bertolak dari rumahnya hingga berlakunya kemalangan itu.
2. Sediakan peta (lakaran) perjalanan Wasnah dari rumahnya hingga ke tempat kemalangan itu.
3. Apakah kesan kemalangan itu terhadap diri Wasnah? Ceritakan perubahan pada diri Wasnah selepas kemalangan itu.
1.
Ada ikan masak gulai,
Bulan terang pagi hari;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?
2. Pada fikiran kamu, apakah yang akan terjadi pada Wasnah jika keretanya tidak melanggar pokok mangga itu tetapi terus terjunam ke dalam sungai?
3. Jelaskan hikmah di sebalik kemalangan itu terhadap diri Wasnah dan keluarganya?
4. Nyatakan dua perbezaan kemalangan yang menimpa ayah Wasnah sepuluh tahun lalu dengan kemalangan yang menimpa Wasnah.
Selain contoh yang diberi di atas, ada berapa lagi kemahiran dalam tahap kefahaman inferens. Antaranya ialah keupayaan pembaca menunjukkan hubungan sebab dan akibat yang terdapat dalam teks. Misalnya, murid diminta mengenal pasti hubungan sebab dan akibat yang tiada petunjuknya dalam teks. Jika petunjuk hubungan sebab dan akibat itu terdapat dalam teks, tahap kefahaman itu hanya pada peringkat literal sahaja. Termasuk juga dalam tahap kefahaman inferens ini ialah keupayaan memberikan interpretasi terhadap unsur-unsur bahasa seperti kiasan, peribahasa dan metafora.
Tahap kefahaman yang ketiga ialah penilaian. Tahap ini memerlukan proses pemikiran yang lebih kompleks jika dibandingkan dengan tahap inferens. Pembaca perlu menggunakan kemahiran literal dan inferens untuk melakukan pertimbangan yang kritis seperti menerima atau menolak pandangan penulis. Antara kemahiran pemahaman yang terlibat ialah menilai sama ada sesuatu peristiwa, watak, atau isu merupakan realiti atau fantasi; sama ada sesuatu penyataan ialah fakta atau pendapat; sama ada sesuatu penyataan ialah propaganda atau kebenaran; dan menilai kewajaran, ketepatan, dan kesesuaian tindakan watak dengan memberi alasan. Jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut menggunakan tahap kefahaman penilaian.
1. Setakat manakah anda bersetuju dengan pengarang bahawa suri rumah tangga yang tidak bekerja lebih setia kepada suami berbanding dengan wanita bekerjaya?
2. Watak A dalam cerita itu menganggap tindakan Ismail bijak. Watak B pula mempersoal kewajaran tindakan Ismail. Apakah pandangan anda sendiri tentang tindakan Ismail itu?
Tahap keempat ialah kreatif. Dari segi bahasa, kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baharu dan asli. Seseorang pembaca dikatakan berada pada tahap kefahaman kreatif apabila dia dapat “merasai”, “menikmati” dan “menghayati” apa-apa yang dibacanya. Lazimnya, bahan bacaan yang digunakan termasuk dalam kategori kreatif juga seperti puisi, cerpen dan drama. Sebagai contoh, seseorang yang berasa bahawa dirinya hidup bersama-sama watak-watak dalam sesuatu cerita yang sedang dibacanya dikatakan menghayati cerita itu. Antara kemahiran memahami yang tergolong dalam tahap kreatif pula ialah keupayaan menyatakan keberkesanan gaya bahasa dan gaya penulisan untuk menimbulkan kesan yang diharapkan seperti keinsafan dalam diri pembaca.
Demikianlah perbincangan ringkas tentang tahap kefahaman bacaan dari satu sudut pandangan. Perbincangan ini diharap dapat memperkaya pengetahuan kita tentang bacaan dan diharap juga dapat dimanfaatkan dalam usaha kita memandaikan murid melalui pembacaan.
2 ulasan:
Kepuasan bagi seorang guru bila pengajarannya difahami pelajar.
Salam.
Ya.
Jikalau pelajar dapat menyerap nilai murni, kepuasan lebih terasa. Sebahagian kepuasan hanya dikecap setelah beberapa siri pengajaran.
Terima kasih kerana sudi berinteraksi.
Wassalam.
Catat Ulasan