02 Februari 2009

Berendoi, Mungkinkah dalam Bahasa Inggeris?

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Berendoi ialah istiadat naik buai untuk bayi. Istiadat ini lazimnya diadakan pada hari ketujuh kelahiran bayi itu. Istiadat ini biasa juga diadakan selepas habis tempoh berpantang ibu si bayi, iaitu 44 hari, atau dalam tempoh antara satu hingga dua bulan selepas kelahiran bayi itu.

Lazimnya berendoi merupakan sebahagian daripada istiadat cukur jambul bayi itu. Istiadat cukur jambul pula disertai acara berzanji dan ada juga yang disertai acara marhaban.

Dalam istiadat berendoi, bayi diletakkan di dalam buaian. Sambil bayi dibuai, sekumpulan peserta menyanyikan sejenis lagu. Lagu itulah dinamakan berendoi atau endoi. Irama lagu itu dan mesejnya seakan-akan marhaban dan berzanji. Dengan perkataan lain, seperti marhaban dan berzanji, berendoi dianggap kesenian berunsur Islam. Oleh itu, berendoi tidak diiringi oleh alat-alat muzik.

Berendoi terdapat di Perak, Kedah, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu. Di Perak berendoi dikenali dengan nama dendang Siti Fatimah dan di Terengganu berendoi dikenali dengan nama ulit anak.

Di Perlis berendoi berkembang pesat pada tahun 60-an sehingga wujud kumpulan khas untuk mempersembahkan berendoi. Utusan Malaysia, 3 Februari 1998, melaporkan Setiausaha Persatuan Maulud Perlis, Ku Zainal Ku Abdullah, berkata berendoi dipersembahkan dalam upacara perkahwinan, sambutan Maulidur Rasul, berkhatan, cukur kepala, dan di majlis rasmi kerajaan.

Persatuannya, yang dianggotai oleh 160 orang ahli termasuk 30 orang wanita, bukan sahaja membuat persembahan di Perlis, malah pernah dijemput mengadakan persembahan di Kedah, Perak dan Pahang. Antara lagu yang sering dipersembahkan oleh setiap kumpulan yang terdiri daripada empat orang ahli termasuklah Belayar Rakit, Rukun Islam, Tidur Anak, Kelahiran Nabi dan Ayuhai Anak Yatim Piatu.

Dari segi kesusasteraan, berendoi merupakan kesenian rakyat yang berbentuk perlakuan dan disertai nyanyian atau senandung rakyat. Lirik endoi berupa puisi tradisional, iaitu syair, pantun dan nazam. Lirik endoi juga disertai zikir dan selawat.

Lirik lagu berendoi memuji-muji junjungan Nabi Muhammad s.a.w., menceritakan salasilah dan riwayat hidup baginda, menceritakan kisah nabi-nabi, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada kanak-kanak, antaranya agar mereka menghormati ibu bapa.

Ada juga lirik endoi yang mengandungi ajaran Islam dan isi al-Quran. Lirik endoi masa kini pula disesuaikan dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah Tuhan Rabbulalamin; Anak di dalam Buaian; Ayuhai Anak Cahaya Mata; Kebesaran Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka.

Di bawah ini ialah satu contoh lirik berendoi.

Lagu Anak dalam Buaian (Perak)

Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu berendoi kami dendangkan,
Dalam majlis tanda kesyukuran.

Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.

(Rogayah A. Hamid, 2003)

Baru-baru ini seorang rakan melihat sendiri kesenian berendoi di Negeri Sembilan. Dia amat tertarik dengan seni kata berendoi.

“Bait-bait syair atau lagu yang didendangkan semuanya berunsur nasihat dan mengandungi ajaran Islam. Yang menariknya semuanya didendangkan dalam bahasa yang dapat difahami iaitu bahasa Melayu,” katanya.

Jadi, dia berpendapat kesenian berendoi wajar diteruskan.

“Tetapi kalau ditanya pendapat Kementerian Pelajaran, tentulah mereka minta diubah supaya berendoi didendangkan dalam bahasa Inggeris. Dengan demikian generasi yang ada sekarang boleh faham sebab mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” tambah beliau.

Penulis ternganga.

2 ulasan:

keinginan hati berkata...

terima kasih di atas blog ini!!!
blog nier telah membntu saya dlm siapkan esgment berkaitn budaya.
terima kasih teramat sgt!!!
saya tidak menyokong seandainya ia dilakukan dlm BI kerana ia budaya kita!!!
kenapa kita msti mengikut peredaran zaman dengan tidak bertempat????
seandainya pelancong ingn belajar @mengetahui ttg budaya kita, bljarla bhs kita iaitu BAHASA MELAYU.
kita pn jk hndk mengetahui ttg ngra mereka, trut bljr memahmi bahsa mereka. jdi fkirkn la.....tiada siapa dpt menjaga budaya MELAYU melainkan bgsa MELAYU sndiri!!!
salam...

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam. Terima kasih atas respons tuan. Respons seperti ini menggalakkan saya memuat naik beberapa bahan lagi yang berkaitan dengan kebudayaan. Wassalam.