28 Februari 2009

Dubalang dan Beruk

Dengan keris terhunus, Dubalang dan pengikutnya menyerbu masuk ke sebuah pondok ketika pemiliknya sedang berpergian. Di dalam pondok itu ada berbagai-bagai muka. Ada muka harimau, beruang, beruk dan lain-lain.

Dengan suara bagai halilintar Dubalang bertanya pengikutnya sambil menunjuk kepada muka harimau, “Ini muka siapa?”

Para pengikutnya menjawab beramai-ramai dengan suara bergemuruh, “Ini muka harimau!”

Dubalang memekik, “Mati engkau!” Dia menikam muka harimau dengan kerisnya.

“Ini muka siapa?” tanyanya lagi sambil menuding kepada muka beruang.

“Ini muka beruang!” jawab para pembantunya bergemuruh.

Tanpa berlengah-lengah lagi dia menujah muka beruang dengan kerisnya sambil menjerit, “Kojol kau!”

“Ini muka siapa!” tanya Dubalang lagi sambil menuding hujung kerisnya ke arah muka beruk.

“Ini memanda menteri …!” jawab para pengikutnya dengan suara yang lemah dan rasa khuatir.

Tangan Dubalang yang teracung menjadi lemah. Dia memasukkan bilah keris ke dalam sarung.

Dengan suara yang bergetar dan kedengaran sedih, dia berkata, “Mari kita berdoa untuk memanda menteri.”

Diubah suai daripada nukilan Baha Zain “Pemburu dan Pistolnya”.

Semakin tinggi seseekor beruk memanjat pokok, semakin jelas keberukannya.

5 ulasan:

aranam berkata...

Assalamu'alaikum Cikgu,
Cerita-cerita seperti ini memang perlu sebagai selingan...:)

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh wamaghfirah.

Bah, begitulah. Baik kita adakan selingan lebih kurang sekali seminggu. Orang yang sudah kurang kreatif macam saya perlu menggunakan idea orang.

Ada banyak bahan selingan/humor di Internet, terutamanya di laman saudara kita di Indonesia. Kita kena hati-hati memilih agar tidak terpilih sampah. Bahan itu juga kena diubah suai, terutamanya dari segi bahasa.

Dalam perjalanan menelusuri ilham itu, jikalau ketemu jenaka yang baik dan dapat menjadi teladan, kutiplah.

Wallahuaklam. Wassalam.

guru_cikgu berkata...

Assalamualaikum,
Mungkin ada makna tersirat dalam cerita tersebut.

Arkib PPSMI berkata...

Salam.

Rasanya berkaitan dengan PPSMI.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh wamaghfirah.

Guru Cikgu, versi asal oleh Dato’ Baha Zain memang ada maksud tersirat. Arkib PPSMI maklum.

Wallahuaklam. Wassalam.