08 Februari 2009

Fitnah Orang Politik terhadap Pejuang Bahasa

Soalan 1:

Mengapakah pejuang bahasa dan ramai intelek kita menentang usaha kerajaan menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah daripada bahasa Melayu (BM) kepada bahasa Inggeris (BI)? Bukankah tujuannya baik, iaitu hendak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar. Kita semua maklum pelajar-pelajar Melayu lemah dalam bahasa Inggeris.

Jawapan:

Pertama-tama tidak ada ahli bahasa, intelek Melayu atau sesiapa saja yang siuman yang menentang usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris baik di kalangan pelajar Melayu, guru Melayu, pegawai Melayu, tokoh korporat Melayu, mahupun Menteri Melayu dan siapa sahaja. Menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain memang perlu digalakkan.

Tuduhan bahawa ahli bahasa menentang penguasaan bahasa Inggeris, anti-bahasa Inggeris, fikiran mereka sempit, mereka fanatik bahasa, mereka hanya mahu orang Melayu berbahasa Melayu saja adalah satu pembohongan besar, suatu fitnah, suatu mitos yang dibuat oleh orang-orang politik tertentu.

Dalam kaedah berhujah ini dikatakan menciptakan straw man iaitu orang yang dibuat daripada kertas atau orang-orangan sehingga mudah dimusnahkan. Tujuan mereka yang sebenar mereka saja yang tahu. Sehingga ini belum pernah dapat disebut nama walau seorang pun ahli bahasa yang melarang sesiapa belajar bahasa Inggeris atau bahasa lain.

Keduanya, ramai daripada kalangan yang memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu itu terdiri daripada mereka yang cukup fasih dalam bahasa Inggeris, baik dalam pertuturan mahupun tulisan. Malahan mereka menggunakan bahasa Inggeris setiap hari.

Tidak pernah terdengar ada antara mereka melarang sesiapa belajar bahasa Inggeris atau bahasa apa pun. Yang diperjuangkan oleh mereka ialah kedudukan bahasa Melayu itu mestilah terus dipelihara sebagai bahasa rasmi dan dipupuk sebagai bahasa moden dan bahasa ilmu di negara Malaysia yang merdeka lagi berdaulat ini. Mengubah bahasa pengantar di sekolah dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris akan mengancam dan memusnahkan kedudukan bahasa Melayu baik dalam jangka pendek mahupun panjang. Inilah yang mereka tentang.

Untuk membaca artikel penuh Datuk Abu Bakar Abdul Hamid, klik di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 024. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Tiada ulasan: