08 Februari 2009

Fungsi Bahasa Kebangsaan Kita

Tulisan yang di bawah ini dipetik daripada arkib Khidmat Nasihat Bahasa (KNB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tulisan ini berkisar tentang fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Tulisan yang seperti ini wajar menjadi bacaan tambahan pelajar, khususnya pelajar baharu di institut pendidikan guru (IPG) yang sedang mengikuti apa-apa kursus yang berfokus pada bahasa Melayu.

Tulisan ini memang tidak bertarikh dan tidak ada nama penulis.

Saya memberikan perhatian istimewa kepada perkataan atau ungkapan yang dihitamtebalkan. Saya menyokong idea penulis dalam ayat yang berwarna hijau. Saya bantah idea penulis dalam ayat yang berwarna merah jikalau maksudnya ialah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Namun ada kemungkinan penulis hanya "bermain-main" apabila tidak menggunakan ungkapan PPSMI. Bagaimanakah dengan tuan?

Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Perpaduan, Bahasa Rasmi dan Bahasa Ilmu
Daripada arkib KNB DBP

Usul untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lambang penyatuan telah diterima dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (1957) apabila negara kita mencapai kemerdekaan. Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi yang tunggal bagi menggantikan bahasa Inggeris.

Pelaksanaan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dikuatkuasakan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) melalui Seksyen 5, 6, 7 dan 8. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang digunakan untuk tujuan perpaduan dalam kalangan warganegara manakala bahasa rasmi ialah bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan sehari-hari negara.

Sesuatu bahasa itu tidak boleh dianggap bahasa rasmi hanya kerana terdapat undang-undang dan peruntukan dalam perlembagaan yang memberikan taraf tersebut. Sesungguhnya bahasa itu sendiri haruslah dapat berfungsi sebagai bahasa rasmi apabila memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan seperti:

• Sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan semasa menjalankan tugas-tugas rasmi negara;
• Sebagai media segala urusan surat-menyurat dalam dan antara jabatan kerajaan;
• Digunakan dalam semua rekod kerajaan;
• Sebagai media untuk menulis semua undang-undang dan peraturan negara; dan
• Digunakan dalam semua jenis borang urusan rasmi kerajaan.

Sesungguhnya pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi tidak menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan pelbagai seminar, persidangan, ceramah, syarahan, wacana ilmu dan bicarawara .

Bagi menggalakkan penggunaan bahasa yang betul dan meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan masyarakat, penyebaran maklumat bahasa turut dilakukan melalui media cetak dan elektronik melalui penerbitan sisipan Klik DBP dalam akhbar Berita Harian, ruangan Munsyi Dewan dan Forum Pelajar dalam sisipan Pendidikan keluaran Utusan Malaysia.

Pedoman bahasa juga dimuatkan dalam ruangan Cintai Bahasa Kita dalam Berita Harian dan siaran Teleinfo Bahasa menerusi RTM TV2.

Bagi memantapkan usaha memperkasa bahasa Melayu di seluruh negara, DBP Cawangan (Sabah dan Sarawak) dan DBP Wilayah (Utara, Timur dan Selatan) turut memainkan peranan dalam menyebarluaskan maklumat bahasa melalui media. DBP juga melaksanakan projek Khidmat Nasihat Bahasa bagi tujuan meningkatkan dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

DBP juga menerbitkan kamus istilah yang mencecah satu juta istilah yang merangkumi pelbagai bidang ilmu, pelbagai kamus ekabahasa dan dwibahasa untuk rujukan pengguna, khidmat nasihat bahasa, misalnya dalam bidang iklan khidmat bahasa yang diberikan percuma kepada penulis papan iklan dan Pihak Berkuasa Tempatan.

DBP juga mewujudkan Karyanet, iaitu portal penerbitan dalam talian yang menyediakan kemudahan berkarya dan penerbitan serta penjualan terbitan melalui Internet. Usaha mengetahui dengan lebih terperinci, langkah-langkah DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu, bolehlah menghubungi Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu 03-2148 1960.

Tiada ulasan: