14 Mei 2009

Makna dan Penggunaan Contoh Perkataan “Atas”

1. Perkataan atas dapat membawa enam makna. Makna atas yang pertama ialah tempat yang lebih tinggi. Lawan atas ini ialah bawah. Ayat contohnya ialah “Bilik abang di tingkat atas bangunan itu” dan “Pemandangan dari atas bukit itu sangat indah”.

2. Makna atas yang kedua ialah pihak yang berkuasa. Ayat contohnya ialah “Ahmad melaksanakan tugas itu setelah mendapat arahan daripada atas.” Perkataan atas dalam ayat ini merujuk kepada pihak yang mengeluarkan arahan. Jikalau Ahmad bekerja dengan jabatan kerajaan, pihak yang mengeluarkan arahan itu ialah Ketua Jabatannya atau sesiapa yang dibenarkan memberikan arahan atas nama Ketua Jabatan.

3. Makna atas yang ketiga ialah kerana atau dengan. Ayat contoh yang pertama: “Dia meletakkan jawatan itu atas kemahuannya sendiri”. Dalam ayat ini, perkataan dengan dapat menggantikan perkataan atas. Ini pula ayat contoh kedua: “Kami mengucapkan terima kasih atas kesudian tuan hadir dalam majlis ini”. Perkataan kerana dapat menggantikan perkataan atas dalam ayat ini.

4. Makna atas yang keempat ialah mengenai, tentang, akan, berkaitan dengan atau terhadap. Perhatikan ayat “Pengarah puas hati atas kemajuan projek kita”. Perkataan atas dalam ayat ini dapat digantikan dengan perkataan berkaitan dengan atau terhadap.

5. Makna atas yang kelima ialah berdasarkan atau berasaskan. Ayat contohnya ialah “Dia membuat keputusan itu atas beberapa pertimbangan”. Perkataan atas dalam ayat ini dapat digantikan dengan perkataan berdasarkan atau berasaskan.

6. Makna atas yang keenam ialah mengikut atau menurut. Ayat contohnya ialah “Raja mengahwinkan puterinya atas syariat Nabi Ibrahim”. Perkataan atas dalam ayat ini dapat digantikan dengan perkataan mengikut atau menurut.

7. Ayat yang di bawah jelas janggal. Oleh itu, pengguna bahasa Melayu tidak akan menggunakan kata sendi di sebelum perkataan atas dalam ayat ini. Kita tidak perlu menyuruh mereka menggugurkan di yang berkenaan kerana mereka memang tidak akan menggunakannya.

Bilik abang di tingkat *di atas bangunan itu.
Pemandangan dari *di atas bukit itu sangat indah.
Ahmad melaksanakan tugas itu setelah mendapat arahan daripada *di atas.

8. Sayangnya, oleh sebab tidak tahu, kurang faham atau tidak perasan, ada pengguna bahasa Melayu menggunakan kata sendi di seperti dalam ayat yang di bawah. Padahal, kata sendiri itu tidak diperlukan.

Dia meletakkan jawatan itu *di atas kemahuannya sendiri.
Kami mengucapkan terima kasih *di atas kesudian tuan hadir dalam majlis ini.
Pengarah puas hati *di atas kemajuan projek kita.
Parit itu digali *di atas perintah raja.
Kita memberikan bantuan itu *di atas dasar kemanusiaan.

Penegasan: Kata sendiri di yang berwarna merah dalam ayat di atas tidak diperlukan.

2 ulasan:

Bedah56 berkata...

Fahamlah saya bila saya baca panduan ini. Kalau begitu selama ini saya banyak buat silap. Rupa-rupanya DI tidak perlu untuk ATAS. Insya Allah saya tidak akan buat silap lagi.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Terima kasih, ustazah. Nanti saya cuba tulis sesuatu yang berkaitan dengan bawah dan di bawah pula, insya-Allah.