16 Mac 2009

Analisis Kesilapan Ejaan Murid Tahun Enam

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Sedutan artikel lama ini masih dapat dimanfaatkan oleh pendidik guru, guru, dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG).
Imlak bermaksud membacakan sesuatu sumber untuk ditulis oleh orang lain dengan suara yang lantang. Sumber itu dapat berupa perkataan, frasa, ayat atau wacana.

Pengimlakan melibatkan dua kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran menulis secara mekanis. Menulis secara mekanis dalam imlak ialah menyalin unit bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat atau wacana. Penyalinan bahan bercetak yang dilihat dengan mata tidak dianggap imlak kerana tidak melalui media pendengaran.

Pengimlakan ini dilakukan di sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman Sabah. Sebanyak 55 orang murid tahun enam menyertai pengimlakan ini. Persediaan fizikal seperti persekitaran, tempat untuk menulis, kertas dan alat tulis sudah diberi perhatian yang sewajarnya. Penulis dibantu oleh dua orang guru sekolah.


Sebelum pengimlakan dimulakan, murid menerima arahan seperti yang berikut:

Kamu dikehendaki menulis 10 patah perkataan.

  • Setiap perkataan akan dibacakan dua kali. Pembacaan akan dilakukan dengan suara yang jelas dan dengan kadar kecepatan yang sesuai.
  • Setelah kesemua 10 patah perkataan itu selesai dibacakan, kamu akan diberi masa beberapa minit untuk melakukan semakan secara bersendirian.
  • Kemudian kesemua 10 patah perkataan itu akan dibacakan sekali lagi sebagai panduan bagi kamu melakukan semakan kali kedua
Pengimlakan dua patah perkataan ditunjukcarakan. Pengimlakan sebenar hanya dimulakan apabila murid menyatakan sebutan, kejelasan suara dan kadar kecepatan pengimlak sesuai untuk mereka. Sampel hasil tunjuk cara pengimlakan diterakan di papan tulis. Beberapa kemungkinan varian ejaan juga dibincangkan. Murid juga diberitahu bahawa mereka boleh menggunakan huruf kecil sahaja atau huruf pertama huruf besar dan huruf-huruf yang lain huruf kecil. Sebagai motivasi, dinyatakan bahawa setiap perkataan yang betul ejaannya akan beri satu markah. Perkataan yang tersilap ejaannya, walaupun sedikit sahaja, tidak akan diberi markah. Oleh itu mereka diminta berhati-hati dan melakukan semakan apabila diminta berbuat demikian.


Murid juga diberitahu bahawa hasil aktiviti ini akan dianalisis. Dapatan boleh digunakan oleh pelbagai pihak, khususnya guru mata pelajaran Bahasa Melayu, untuk membaiki prestasi ejaan mereka dan rakan-rakan.

Analisis Data

1. dada - 46 (84%)
2. ke sempadan - 38 (69%)
3. walau bagaimanapun - 38 (69%)
4. disebabkan - 35 (64%)
5. tanggungjawab - 28 (51%)
6. daerah - 25 (45%)
7. emak pun - 16 (29%)
8. di sana - 15 (27%)
9. berdarah - 15 (27%)
10. ibu bapa - 11 (20%)
Purata - 25 (46%)



Perkataan “dada”, “daerah” dan “berdarah” termasuk dalam kelompok umum. Perkataan “dada” mencatat kesilapan tertinggi dalam kelompoknya dan secara keseluruhan . Seramai 46 orang (84%) gagal mengejanya. Varian tertinggi bagi perkataan ini ialah “dadah”. Seramai 43 orang murid (78%) menambah huruf “h” pada perkataan ini. Perlakuan mereka menyebabkan “dada” menjadi “dadah”. Varian lain bagi “dada” ialah “dadak” (1), “deraha” (1) dan “baba” (1).
Perkara yang berlawanan berlaku pada perkataan “daerah”. Sembilan orang murid menggugurkan huruf “h” pada akhir perkataan ini mewujudkan varian “daera” (2), “dahara”(2), “dahera” (1), “dahira” (1), “deraha” (1), “daraha” (1) dan “derara” (1). Pengguguran huruf “h” berlaku juga pada perkataan “berdarah”. Tujuh orang murid berbuat demikian mewujudkan varian “berdara” (4) dan “ber dara”(3).

Analisis kelompok kata ini membuktikan bahawa purata 33 orang murid (60%) belum mahir menggunakan huruf “h” pada perkataan yang pola suku katanya KV-KV (V = a – a), KV-V-KVK dan KV-KVK. Data yang diperoleh juga menunjukkan beberapa orang murid masih tidak dapat membezakan konsonan /b/ dengan /p/ dan /d/ dengan /b/.

Perkataan “ke sempadan”, “disebabkan” dan “di sana” termasuk dalam satu kelompok iaitu kata depan dan imbuhan. Bagi perkataan “ke sempadan” 31 orang murid (56%) merapatkan kata depan “ke” dengan perkataan “sempadan”, mewujudkan varian “kesempadan”. Ini merupakan kesilapan tertinggi dalam kelompoknya dan varian kedua tertinggi secara keseluruhan. Demikian juga dengan perkataan “di sana”. Empat belas orang murid merapatkan kata depan “di” dengan perkataan “sana” mewujudkan varian “disana” (13) dan “disanah” (1). Sebaliknya, imbuhan “di-” (dalam apitan “di- … -kan”) dijarakkan dengan kata yang mengikutinya. Seramai 22 orang murid (40%) berbuat demikian.

Analisis ini membuktikan, purata 29 orang murid (53%) silap mengeja ketiga-tiga patah perkataan dalam kelompok kata depan dan imbuhan. Daripada jumlah itu, purata 25 orang murid (45%) tidak dapat membezakan pengejaan kata depan “di” dengan imbuhan “di-”.

Perkataan “emak pun” termasuk dalam kelompok yang tersendiri. Hasil pengimlakan ialah 16 orang murid (29%) silap mengejanya. Sembilan orang murid melakukan kesilapan minimum yang dijangkakan iaitu “pun” dirapatkan dengan perkataan “emak”. Tujuh orang murid lagi menghasilkan enam varian yang mungkin berpunca daripada pelbagai sebab, terutama yang berkaitan dengan pendengaran.

Tiga perkataan yang terakhir iaitu “ibu bapa”, “walau bagaimanapun” dan “tanggungjawab" tergolong dalam kelompok kata majmuk. Dalam kelompok ini, dan daripada kesemua perkataan yang lain, “ibu bapa” mencatat kesilapan yang terendah iaitu cuma 11 orang (20%) gagal mengeja perkataan itu. Varian yang terhasil juga paling sedikit iaitu dua sahaja – “ibubapa” (9) dan “ibu-bapa” (11). Namun demikian, kesilapan yang sedikit ini tidak boleh menjadi bukti bahawa murid kurang menghadapi masalah dalam pengejaan kata majmuk.

Dalam kelompok ini “walau bagaimanapun” mencatat kesilapan tertinggi dan kedua tertinggi secara keseluruhan iaitu 38 orang murid (69%) gagal mengejanya. Kadar kesilapan ini sama dengan kesilapan perkataan “ke sempadan”. Namun begitu, berbanding dengan “ke sempadan” yang menghasilkan lapan varian, “walau bagaimanapun” menghasilkan jumlah varian terbanyak, iaitu 14 varian, sama dengan jumlah varian perkataan “daerah”. Lima varian berkaitan dengan masalah jarak sahaja iaitu “walau bagai mana pun” (11), “walau bagaimana pun” (11), “walaubagaimana pun” (2), “walaubagaimanapun” (2) dan “walaubagai mana pun” (1). Varian yang lain mengandungi gabungan masalah jarak, kesilapan pada perkataan “walau” dan “bagaimana

Perkataan “tanggungjawab” mencatatkan kesilapan kedua tertinggi dalam kelompok ini dan kelima tertinggi secara keseluruhan. Seramai 28 orang murid (51%) gagal mengeja perkataan ini. Kesilapan yang sangat nyata ialah perkataan “tanggung” dijarakkan daripada perkataan “jawab”. Kesilapan yang jelas juga ialah penggantian konsonan /b/ menjadi /p/ dalam perkataan “jawab”.

Analisis ini membuktikan purata 26 orang murid (45%) menghadapi masalah mengeja kata majmuk. Ini merupakan kelompok ketiga tertinggi. Kekeliruan murid ialah penggunaan jarak antara perkataan, dan antara partikel “pun” dengan perkataan sebelumnya.

Berdasarkan analisis ini, boleh dirumuskan tingkat masalah pengejaan yang dihadapi terhadap empat kelompok perkataan yang diimlakkan. Masalah utama ialah kekeliruan terhadap penggunaan konsonan “h” dalam perkataan umum (60%). Ini diikuti dengan penggunaan kata depan/imbuhan (53%), penulisan kata majmuk (45%) dan penggunaan partikel “pun”(29%).


Dari segi suku kaum, secara purata kaum Murut melakukan kesilapan tertinggi (min 5.0), diikuti oleh kaum-kaum lain (min 4.6) dan suku kaum Dusun (min 4.4). Purata kesilapan ialah 4.6 (46%).

Dalam satu perbincangan, guru pelatih berpendapat kesilapan pengejaan, khususnya yang berkaitan dengan penambahan/pengguguran huruf “h”, memang sering berlaku di Sabah. Perkara ini berlaku kerana murid terpengaruh dengan dialek bahasa ibunda. Ada juga kemungkinan guru sendiri menggunakan sebutan yang salah. Murid-murid tertentu mungkin menghadapi masalah pendengaran, termasuk kurang upaya membezakan bunyi yang hampir sama.

Guru pelatih mengakui bahawa mereka juga menghadapi masalah yang sama dengan murid-murid sekolah itu. Hal ini berlaku kerana kesilapan pendengaran. Ketika diimlakkan, mereka kurang pasti sama ada sesuatu ejaan ini betul atau salah, patut dirapatkan atau dijarakkan. Mereka mengakui bahawa, mereka juga masih terpengaruh dengan bahasa ibunda.

Mampukah guru pelatih menangani masalah ini? Bolehkah guru terlatih menyelesaikan masalah ini?

Penulis cuba menjawab soalan ini dengan mengimlakkan perkataan yang sama kepada 84 orang guru pelatih dan 11 orang guru terlatih dari 11 buah sekolah rendah. Sebelas orang guru terlatih itu merupakan kelompok terpilih yang diharap dapat membantu mempertingkatkan prestasi Bahasa Melayu UPSR di sekolah mereka. Keputusan adalah seperti dalam jadual yang di bawah.




Berdasarkan jadual di atas, guru pelatih dapat diharapkan untuk mengatasi masalah murid. Mereka masih mempunyai masa yang agak panjang untuk mempertingkatkan kemahiran. Berdasarkan jadual di atas juga, guru terlatih berkemungkinan menjadi pagar makan padi.

Tinjauan ini menunjukkan perlakuan yang dijangkakan terhadap 10 patah perkataan yang diimlakkan itu nyata benar. Purata 4.6 kesilapan bagi setiap murid dapat dianggap tinggi. Purata kesilapan berdasarkan suku kaum menunjukkan suku kaum Murut melakukan kesilapan yang tertinggi. Hal ini berlaku mungkin kerana jumlah murid Murut enam orang sahaja.

Teknik imlak berkemampuan menjadi kaedah pengumpulan data yang mudah dilaksanakan dan mudah diproses. Masalah spesifik yang dikenal pasti melalui tinjauan seperti ini dapat membantu guru merancang aktviti pembetulan atau penambahbaikan.

Tiada ulasan: