13 Mac 2009

Analisis Kesilapan Karangan Murid Tahun Lima

Banjir

Pada hari rabu yang lalu hujan turun tidak berhenti-henti. kilat sambung-menyambung dan semua orang berlari lintang-pukang untuk menyalamatkan diri dan keluarga yang susah . ada juga yang sudah sempat lari ke tempat yang tinggi. Pada hari ini hujan Turun tidak berhenti-henti lagi dan hujan turun Tiga hari Tiga malam. di kampung saya ibu bapa saya sangat susah hati kerana hujan turun. Tiba-tiba air semakin naik. rumah yang rendah telah di landa pada barat pinggang . dan pihak polis Telah keluar untuk menyalamatkan orang kampung . ada juga yang anak hidup ibu bapa mati dan kesemuahannya meninggal dunia dan ada juga rumah yang hanyut dan juga barang-barang yang berharga dan berguna . Sampai sini lah saya ucapkan saya harap banjir tidak akan melanda kampung ini lagi.


Jarak antara huruf dengan huruf dalam karangan ini sudah diseragamkan.

Karangan ini ditulis oleh seorang murid perempuan. Dia ialah murid tahun lima sebuah sekolah kebangsaan di kawasan pedalaman Sabah. Sekolah itu terletak kira-kira 225 km dari bandar Kota Kinabalu.

Kesilapan Ejaan

Empat patah perkataan jelas silap dieja dalam karangan ini. Perkataan-perkataan itu ialah “menyelamatkan” yang dieja “menyalamatkan” (dua kali), “kesemuanya” yang dieja “kesemuahannya”, “dilanda” yang dieja “di landa”, dan (di) “sinilah” yang dieja “sini lah”. Perkataan “dilanda” (yang dieja “di landa”) boleh juga digolongkan dalam kesilapan penggunaan kosa kata. Perkataan yang sepatutnya digunakan bagi menggantikan perkataan “dilanda” ialah “ditenggelami.” Ejaan lengkap bagi perkataan “sinilah” pula ialah “di sinilah”. Bagi perkataan “kesemuanya” pula, kata ganti -nya lebih wajar digugurkan.

Dua patah perkataan lagi iaitu “sambung-menyambung” dan “barat” berkemungkinan digolongkan dalam kesilapan ejaan. Andaikan murid ini memang bertujuan hendak menggunakan perkataan “sabung-menyabung” dan “paras” pada tempat yang berkenaan. Murid ini mungkin tertambah huruf “m” ketika menulis perkataan “sabung-menyabung” sehingga menjadi “sambung-menyambung”. Bagi perkataan “paras” pula, murid ini mungkin menggantikan huruf “p” dengan huruf “b” dan huruf “s” dengan huruf “t” sehingga perkataan itu menjadi “barat”. Tegasnya, murid ini gagal mengeja perkataan “sabung-menyabung” sehingga menjadi “sambung-menyambung” dan gagal mengeja perkataan “paras” sehingga menjadi perkataan “barat”. Jikalau andaian ini benar, terdapat enam kesilapan ejaan dalam karangan ini.

Bagi perkataan “paras” yang dieja “barat”, hujah ini sukar dipertikaikan. Tidak mungkin murid ini sengaja menulis perkataan “barat” dalam ayat itu. Namun, bagi perkataan “sambung-menyambung”, hujah ini boleh dipersoalkan. Andaikan murid ini tidak memiliki kosa kata “sabung-menyabung”. Murid ini menggunakan ungkapan “kilat sambung-menyambung” untuk menyatakan bahawa kilat itu berlaku secara berterusan. Tegasnya, ejaan “sambung-menyambung” memang betul. Dengan demikian penggunaan perkataan “sambung-menyambung” boleh dianggap kesilapan penggunaan kosa kata.

Dalam perbincangan, hampir kesemua guru pelatih mengkategorikan kesilapan ini dalam kesilapan penggunaan kosa kata. Seorang guru pelatih menyatakan bahawa beliau sendiri pernah melakukan kesilapan seperti ini ketika di sekolah rendah dahulu. Katanya, pada masa itu dia belum memiliki kosa kata “sabung-menyabung”. Dengan hujah ini, boleh dirumuskan bahawa terdapat lima kesilapan ejaan dalam karangan ini.

Kesilapan Penggunaan Huruf

Terdapat tiga kategori kesilapan penggunaan huruf dalam karangan ini. Yang pertama ialah penggunaan huruf kecil untuk nama khas. Terdapat satu kesilapan dalam kategori ini iaitu “Rabu” ditulis menggunakan huruf kecil menjadi “rabu”. Yang kedua ialah penggunaan huruf kecil untuk huruf pertama dalam perkataan pada permulaan ayat. Terdapat lima kesilapan dalam kategori ini iaitu pada perkataan “kilat”, “ada” (dua kali), “di kampung”, “dan”, dan “rumah”.

Huruf pertama kelima-lima perkataan ini sepatutnya menggunakan huruf besar menjadi “Kilat”, “Ada”, “Di kampung”, “Dan”, dan “Rumah”. Bagaimanapun, penggunaan perkataan “dan” pada permulaan ayat dalam karangan ini tidak sesuai. Perkataan “dan” itu sepatutnya digugurkan sahaja. Yang ketiga ialah penggunaan huruf besar pada perkataan yang sepatutnya menggunakan huruf kecil. Terdapat tiga kesilapan dalam kategori ini pada perkataan “Turun”, “Tiga” (dua kali), dan “Telah”. Perkataan-perkataan ini sepatutnya menggunakan huruf kecil menjadi “turun”, “tiga”, dan “telah”.

Jumlah kesilapan penggunaan huruf yang terdapat dalam karangan ini ialah sembilan. Kesilapan pada perkataan yang sama (“ada” dan “Tiga”) dikira sekali sahaja. Jelas jumlah kesilapan penggunaan huruf lebih banyak berbanding dengan kesilapan ejaan.

Kesilapan Penggunaan Tanda Baca

Karangan ini mengandungi satu jenis kesilapan tanda baca iaitu kedudukan noktah pada akhir ayat dijarakkan daripada perkataan terakhir. Terdapat empat kesilapan seperti yang berikut:

yang susah . (silap) - yang susah. (betul)
pinggang . (silap) - pinggang. (betul)
orang kampung . (silap) - orang kampung. (betul)
berguna . (silap) - berguna. (betul)

Kesilapan Penggunan Kosa Kata

Agar perbincangan bertumpu pada penggunaan kosa kata sahaja, kesilapan ejaan dan tanda baca dalam contoh-contoh di bawah ini sudah dibetulkan.


Terdapat lima kesilapan penggunaan kosa kata dalam karangan ini. Yang pertama ialah perkataan “lari” dalam frasa “sempat lari”. Perkataan “lari” dalam dialek umum Sabah bermaksud “pergi”, “bergerak” atau “berpindah”. Murid ini menggunakan kosa kata lisan dalam karangannya. Perkataan yang sesuai menggantikan perkataan “lari” ialah “berpindah”. Oleh itu frasa “sempat lari” dapat ditulis semula menjadi “sempat berpindah”.

Yang kedua ialah perkataan “pada” dalam frasa “pada paras pinggang”. Perkataan yang sepatutnya digunakan ialah “sehingga”. Apabila dibetulkan, frasa itu akan menjadi “sehingga paras pinggang”. Yang ketiga ialah penggunaan perkataan “dilanda”. Perkataan yang sepatutnya digunakan ialah “ditenggelami”. Yang keempat ialah perkataan “keluar” dalam ayat “Pihak polis telah keluar untuk menyelamatkan orang” yang sepatutnya digantikan dengan perkataan “datang” menjadi “Pihak polis telah datang untuk menyelamatkan orang kampung”. (Penggunaan perkataan “dan” pada pangkal ayat ini tidak sesuai. “Dan” itu sepatutnya digugurkan sahaja.) Yang kelima ialah penggunaan perkataan “ucapkan” dalam frasa “saya ucapkan”. Perkataan yang sesuai digunakan ialah “cerita” atau “kisah”.

Kesilapan Ayat

Kesilapan ini merangkumi kesilapan frasa dan ayat. Agar perbincangan bertumpu pada kesilapan frasa/ayat sahaja, dalam contoh di bawah ini kesilapan ejaan, tanda baca dan kosa kata dalam ayat yang berkenaan sudah dibetulkan.

Kesilapan frasa/ayat dalam karangan ini adalah seperti yang berikut:

1. Kilat sabung-menyambung dan semua orang berlari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri dan keluarga yang susah. Pembetulan yang dicadangkan: Kilat sabung-menyabung. Semua orang lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing.

2. Ada juga yang sudah sempat lari ke tempat yang tinggi. Pembetulan yang dicadangkan: Ada juga (orang/penduduk) yang sempat berpindah ke tempat yang tinggi.

3. Pada hari ini hujan turun tidak henti-henti lagi dan hujan turun tiga hari tiga malam. Pembetulan yang dicadangkan: Pada hari itu hujan turun tidak henti-henti selama tiga hari tiga malam.

4. Di kampung saya ibu bapa saya sangat susah hati kerana hujan turun. Pembetulan yang dicadangkan: Ibu bapa saya sangat susah hati. atau Saya dan ibu bapa saya sangat susah hati. Frasa di kampung saya digugurkan.

5. Tiba-tiba air semakin naik. Pembetulan yang dicadangkan: Air semakin naik.

6. Rumah yang rendah telah dilanda pada barat pinggang. Pembetulan yang dicadangkan: Rumah-rumah di kawasan yang rendah telah ditenggelami air sehingga paras pinggang.

7. dan pihak polis Telah keluar untuk menyalamatkan orang kampung. Pembetulan yang dicadangkan: Pihak polis datang untuk menyelamatkan orang kampung. Tidak perlu dan.

8. ada juga yang anak hidup ibu bapa mati dan kesemuahannya meninggal dunia dan ada juga rumah yang hanyut dan barang-barang yang berharga dan berguna. Pembetulan yang dicadangkan: Ada anak kehilangan ibu bapa dan ada juga kesemua satu keluarga meninggal dunia. Ada rumah dihanyutkan oleh air, termasuk barang-barang yang berharga dan berguna. Boleh ditambah akibat banjir itu pada pangkal ayat.

9. Sampai sinilah saya ucapkan saya berharap banjir tidak akan melanda kampung ini lagi. Pembetulan yang dicadangkan: Demikianlah kisah banjir di kampung saya. Saya berharap banjir tidak akan melanda kampung kami lagi.

Karangan yang Sudah Dimurnikan

Karangan ini tidak mempunyai perenggan. Karangan yang sudah dimurnikan adalah seperti yang berikut:

Banjir

Pada hari Rabu yang lalu hujan turun tidak berhenti-henti. Kilat sabung-menyabung. Semua orang lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing. Ada juga orang yang sempat berpindah ke tempat yang tinggi.

Pada hari itu hujan turun tidak henti-henti selama tiga hari tiga malam. Saya dan ibu bapa saya sangat susah hati. Air semakin naik. Rumah-rumah di kawasan yang rendah ditenggelami air sehingga paras pinggang. Pihak polis datang untuk menyelamatkan orang kampung.

Akibat banjir itu, ada anak kehilangan ibu bapa dan ada juga kesemua satu keluarga meninggal dunia. Ada rumah dihanyutkan oleh air, termasuk barang-barang yang berharga dan berguna.

Demikianlah kisah banjir di kampung saya. Saya berharap banjir tidak akan melanda kampung kami lagi.

Faktor Kesilapan

Kita boleh mengutarakan tiga faktor yang menyebabkan berlakunya kesilapan ini. Faktor yang pertama ialah pengaruh bahasa basahan, iaitu dialek umum Sabah, khususnya di kawasan pedalaman. Pelajar ini membawa kebiasaan menyebut “menyalamatkan” dan “kesemuahannya” dalam karangannya. Dengan perkataan lain, sebutan dialek umum mempengaruhi ejaan pelajar ini.

Faktor yang kedua ialah ketidakcekapan mengeja. Pelajar ini belum cekap mengeja imbuhan “di-” dan partikel “lah”. Sepintas lalu, ejaan kedua-dua patah perkataan ini kelihatan betul. Apabila diteliti, didapati imbuhan “di-” mesti dirapatkan dengan kata dasar “landa”. Partikel “lah” pula perlu dirapatkan dengan perkataan “sini”.

Faktor ketiga mungkin pengaruh bahasa ibunda atau kelalaian pelajar. Hal ini berlaku pada perkataan “paras” yang dieja “barat”. Berbanding dengan faktor pertama dan kedua, yang dapat dibenarkan dengan hujah dan secara empirikal, faktor ketika ini berupa telahan sahaja.

Penutup

Analisis kesilapan bahasa merupakan satu daripada strategi yang berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa para pelajar. Dapatan analisis perlu dijadikan panduan untuk melaksanakan program penambahbaikan. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan melibatkan semua kumpulan sasar, iaitu dari tahun satu hingga tahun enam. Analisis ini diharap dapat meningkatkan keprihatinan guru Bahasa Melayu terhadap analisis kesilapan bahasa, khususnya penggunaan bahasa dalam karangan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Pada pendapat saya, tiga faktor kesilapan ini akan menjadi empat dalam masa terdekat. Faktor keempat itu adalah 'pengaruh kosa kata dan tatabahasa dari bahasa Inggeris'. Maka pada ketika itu barulah dasar PPSMI dikatakan berjaya sepenuhnya. =)

Arkib PPSMI berkata...

Salam.

Benar. Itu satu musibah. Begini agaknya: Three pokok tarap. Dia orang pigi sikul. Bertambah peninglah guru BM.

Mohon rakan-rakan di pedalaman imbas karangan BI murid tahun enam. Paparkanlah di mana-mana blog. Beritahulah pautannya.

Wassalam.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Dahulu beberapa sekolah di pedalaman memperoleh telur dalam UPSR. Kemudiannya, apabila pelbagai aktiviti dilaksanakan, telur-telur itu dipecahkan satu persatu. Seterusnya, ketika orang berbangga dengan lulus 100% dan peratus semua A meningkat, sekolah pedalaman berbangga dengan kelulusan 30% hingga 50%. Melalui PPSMI tentulah murid mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai prestasi yang istimewa dalam Sains dan Matematik. Diharap ada rakan sudi menghulurkan data prestasi UPSR sekolah pedalaman 2008 dan seterusnya.

Wallahuaklam. Wassalam