Kuliah Serambi tentang PPSMI oleh Fadzli, 2 Januari 2009. From: "Ummi Umar" ummiumar73@yahoo.com To: AmanahWargaPendidik@yahoogroups.com Tuesday, March 17, 2009 3:15 PM
Selepas menunaikan solat Subuh di masjid yang berdekatan dengan rumah saya, seorang ahli jemaah yang juga seorang guru menyentuh bahu saya dari belakang. Dia berkata “Ustaz boleh luangkan masa sekejap? Saya hendak bertanya sesuatu.”
Saya melihat jam tangan. Baru pukul 6.30 pagi. “Boleh, tiada masalah,” kata saya.
Beliau pun mengajak saya untuk duduk di serambi masjid.
“Maafkan saya kerana mengambil masa ustaz sedikit,” katanya.
“Tiada masalah, teruskan,” jawab saya.
“Saya ingin mendapatkan pandangan ustaz tentang dasar PPSMI yang sedang heboh diperkatakan sekarang ini. Banyak orang menentangnya dari sudut kepentingan bangsa dan bahasa. Apa kata Islam tentangnya?” soal beliau.
Saya menghela nafas dan memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada beliau.
Saya bertanya beliau kembali “Apakah yang tuan faham tentang zalim?”
“Jahat,” jawab beliau.
“Baiklah, kalau cikgu baca kitab atau buku, zalim maksudnya meletakkan sesuatu tidak pada tempat yang sepatutnya,” saya menerangkan.
“Jadi apa kaitannya dengan dasar PPSMI ini?” soal beliau kembali.
Saya menjawab, kaitannya ialah
1. Kita mengatakan ingin maju, maka dengan bahasa Inggeris akan membawa kita kepada kemajuan. Tetapi bangsa Jepun, Perancis dan bangsa Arab dahulu pun menggunakan bahasa masing-masing untuk maju dan bukan menggunakan bahasa orang lain. Maka kita sudah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.
2. Kita mengatakan ingin maju, tetapi anak-anak kita di kampung dan luar bandar tidak mampu kerana faktor-faktor tertentu. Maka akan wujud satu jurang antara murid di bandar dan luar bandar. Anak-anak di bandar akan menjadi pegawai, dan anak-anak luar bandar akan menjadi tukang sapu, pemandu dan buruh sahaja nanti. Maka kita telah menzalimi generasi yang akan datang.
3. Saudara seorang guru, saya pun seorang guru. Bukankah kita tidak tahu kawan-kawan kita mengajar menggunakan bahasa Melayu kerana mereka tidak mampu menguasai bahasa Inggeris? Mereka juga kasihan akan murid-murid mereka yang tidak memahami istilah-istilah yang sukar. Bagaimana dengan elaun 10% yang mereka dapat itu? Bukankah elaun itu sudah menjadi wang haram kerana mereka tidak melaksanakan apa-apa yang telah diamanahkan kepada mereka?
4. Dan ingatlah peringatan Allah kepada orang-orang zalim dalam surah al-A’raf, ayat 41: “Maka mereka akan disediakan (di dalam neraka nanti) hamparan tidur daripada api neraka dan di atas mereka selimut daripada api neraka. Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang zalim.”
Merah muka cikgu itu mendengar kuliah serambi saya.
“Wah, berat betul ya ustaz!” beliau memberi respons.
“Itulah, ramai yang tidak mengetahui dan mungkin tidak mahu ambil tahu,” saya menjawab.
“Terima kasih ustaz kerana sudi memberikan penerangan yang panjang lebar. Saya minta diri dulu,” beliau meminta izin untuk beredar.
“Saya pun sama juga,” saya membalas.
Kami pun sama-sama beredar. Matahari sudah meninggi pada masa itu. Saya mendoakan agar cahaya matahari ini menyinari hati insan yang bertanggungjawab menggubal dasar ini untuk melakukan yang terbaik demi untung nasib mereka sendiri di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan