24 Mac 2009

Profil Penulis Blog "Sambung-menyambung"

Mohd Isa bin Abd Razak pernah dikenali dengan nama pena Rasmi Safar, Isa Razak, Cikgu Isa dan beberapa nama pena lain secara bermusim, khususnya dalam komunikasi maya.

Dia lahir pada tahun 1952 di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Dia menghabiskan lebih separuh usianya di luar Negeri Sembilan, iaitu dua tahun di Kedah, tiga tahun di Pulau Pinang dan hampir 30 tahun di Sabah.

Dia menghasilkan sebuah novel pada tahun 1974 dan beberapa buah cerpen sejak 1972 hingga 1979. Pada tahun 1973 cerpennya memenangi hadiah pertama peraduan menulis cerpen Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Cawangan Tawau. Pada tahun 1976 dia menerima Hadiah Sastera Nasional untuk cerpennya “Oh, Anak Abah Sayang!”. Dua buah cerpennya termuat dalam dua buah antologi yang berasingan. Satu antologi terbit pada tahun 1979 dan satu lagi terbit pada tahun 1980. Selain itu, pada tahun 1970-an dan 1980-an dia menulis makalah, puisi dan pelbagai karya untuk akhbar dan radio.

Dia berkhidmat sebagai guru selama tiga tahun, setahun di sebuah sekolah rendah di Penampang dan dua tahun di sebuah sekolah menengah di Papar. Mulai tahun 1980 dia menyertai maktab (institut pendidikan guru). Dia bersara pada pertengahan tahun 2008. Jawatan terakhirnya ialah Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu.

Apabila dia menumpukan perhatian yang serius terhadap profesionnya, upaya penulisan kreatifnya menumpul dan kemudian bernoktah. Namun, sebagai penjawat awam, dia menghasilkan beberapa buah buku panduan dan sejumlah modul pembelajaran. Selain itu, dia menghasilkan ratusan kertas pengujian dan penilaian dan beberapa kurikulum kursus. Dia juga menghasilkan esei ilmiah, kertas konsep/projek, kertas kerja akademik dan pelbagai jenis laporan.

Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, dia (selaku ketua dan pencipta konsep) menghasilkan satu cakera padat pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan pada tahun 2002 dan dua cakera padat video yang diterbitkan pada tahun 2007. Dia mengelolakan dua laman web hampir sepuluh tahun sebelum kedua-dua laman itu digodam pada awal tahun 2008. Dia masih menjadi moderator dua e-grup sejak tahun 1999.

Pada tahun 1996 dia mendapat tauliah sebagai Munsyi Dewan. Selepas itu, dia menerima dua Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Pada tahun 2001 kumpulannya menerima hadiah Johan Inovasi Pedagogi Kebangsaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Pada tahun 2007, dia menjadi penerima pertama Anugerah Pensyarah Inovatif daripada jabatan pelajaran negeri.

Mulai bulan Januari 2009 dia kembali menyumbangkan tulisan untuk media cetak. Mulai bulan Januari 2009 juga dia mula menjadi penulis blog. Tulisannya disiarkan juga oleh beberapa laman/blog lain terutamanya laman Prihatin dan Pendidik.Net. Mulai akhir bulan September 2009, dia mula mengaktifkan diri dalam Facebook.

Pada tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an, media cetak yang pernah menyiarkan karyanya ialah Utusan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Harian, Berita Minggu, Bintang/Mingguan Timur, Harian Ekspress, Sabah Times, Sinar USIA, Dewan Pelajar, dan Pemimpin. Apabila dia kembali berkarya mulai tahun 2009, media yang sudah menyiarkan karyanya ialah Berita Harian, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Pelajar, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera.

15 ulasan:

aranam berkata...

Salam Cikgu,

Berbudi kepada tanah
Berkebun-kebun
Berbudi kepada kami
Sambung-menyambung
Terima kasih, Cikgu.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Sebenarnya kita sama-sama sedang berkebun. Kita berkebun di laman maya. Kita dirikan sulap di sini. Sulap kita sebelah-menyebelah.

Wallahuaklam.

Tanpa Nama berkata...

Salam Cikgu, tumpang tanya, cikgu pernah berkhidmat di MPPM pd tahun 2003 tak? Saya macam perasan ada pensyarah saya macam rupa cikgu. Entahlah kalau pelanduk dua serupa.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Sah pelanduk dua serupa. Terima kasih kerana sudi singgah di sulap yang tidak sepertinya ini.

Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

salam...

Alhamdullilah, akhirnya dapat juga hari saya menemui cikgu walaupun dalam cetusan maya. Pertama sekali...cikgu apa khabar?


Mohd Ariffin, Tawau. (MT/PM 1998-2001)

spm95 berkata...

Salam cikgu,

sambung-menyambung dalam ikatan persaudaraan. Saya ingin mendapatkan alamat anak didik cikgu dari MPKS (DPM 1998-2001)

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Cikgu Mohd Arifin,
Umumnya saya sihat. Terima kasih kerana singgah di sulap maya saya. Saya rindu akan Tawau. Sebabnya, tempat jatuh di Apas Balung pada tahun 1971 tetap dalam kenangan. E-mel saya mohdisa_abdrazak@yahoo.com. Hubungi saya melalui e-mel jikalau cikgu ke Seremban. Saya boleh ambil cikgu di KLIA atau di KLCC. Rumah saya hanya 42 km dari KLCC. Salam untuk rakan-rakan di Tawa.

SPM95,
Terima kasih kerana mampir di sini. DPM 1998 – 2001? Rasanya itu kumpulan DPM kedua atau ketiga. Saya tidak mempunyai alamat mereka. Namun, melalui Grup_PM (http://groups.yahoo.com/group/Grup_PM/) kita mungkin dapat menyambung semula ukhuwah yang terputus.

Wassalam.

mohdariffn berkata...

Salam Cikgu Isa,

Saya inginkan format membuat kertas kerja yang terkini.

Terima kasih.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Terima kasih Cikgu Mohd Arifin kerana sudi berinteraksi dengan saya.

Format kerja berbeza-beza berdasarkan jenis dan keperluan organisasi. Mohon kepastian jenis kertas kerja yang hendak cikgu tulis dan organisasi yang memerlukan kertas kerja itu.

Sebahagian kertas kerja itu memang ada di arkib E-Grup PM yang sudah cikgu sertai.

Sila hantar e-mel kepada mohdisa_abdrazak@yahoo.com. Insya-Allah, saya kirimkan contoh kertas kerja.

Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum encik mohd isa..
sy pelajar tahun 3 ukm dalam program pengajian sastera dalam bahasa inggeris ingin meminta kebenaran untuk download hasil kajian PPSMI oleh upsi.sy sedang buat kajian untuk tesis,harap encik dapat bantu sy.terima kasih..
email- hairiahmshariff@yahoo.com

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Saudari Hairiah,

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakutuh.

Terima kasih saya ucapkan kerana saudari sudi berinteraksi dengan saya. Saya mohon maaf kerana lambat membalas e-mel saudari. Sebabnya, beberapa kali saya gagal mengesan ulasan saudari itu. Rupa-rupanya ulasan itu di bawah masukan profil!

Pautan bahan yang saudari perlukan ada di sini:
(1) http://www.scribd.com/doc/11492280/PPSMI-Kajian-UPSI-April-2008-Penuh
(2) http://www.scribd.com/doc/11492111/PPSMI-Kajian-UPSI-April-2008-Ringkasan

Bahan yang sama saya jadikan lampiran e-mel kepada saudari.

Wassalam.

Jeff-IPGM Keningau berkata...

Assalamualaikum Tuan Haji,
Semoga Tuan Haji Dalam Keadaan Sihat Walafiat dan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin.
Satu Laman Blog yang cukup menarik.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam Encik Jeff.

Alhamdulillah, umumnya saya sihat. Saya juga mendoakan agar tuan sihat sejahtera. Terima kasih atas kunjungan dan perhatian tuan.

Saya mengikuti perkembangan laman Keningaukini dari semasa ke semasa. Kini, saya sudah mula merindui Keningau, termasuk intonasi bahasa Murut. Mujurlah ada laman seperti laman Keningaukini dan beberapa laman lain yang menjadi wadah untuk saya melepaskan rindu itu.

Marilah kita sama-sama terus berusaha menyebarkan maklumat dengan cara yang baik.

Wassalam.

amanah berkata...

Salam cikgu. Blog yang sungguh informatif dan amat membantu dalam p&p saya.

Amanah

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Terima kasih, Puan Amanah. Manfaatkanlah bahan yang ada di sini. Jika ada pelajar puan sudi berinteraksi, lebih baik.