19 Mac 2009

Sepintas Lalu tentang Sastera Rakyat

Oleh Suana Guntabid
Peserta Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) Sastera

Istilah Sastera Rakyat

Secara mudah, sastera rakyat ialah sastera milik masyarakat dan dipersembahkan secara lisan. Generasi asal mewariskan sastera itu secara lisan kepada generasi kedua. Generasi kedua mewariskannya pula kepada generasi seterusnya secara lisan juga. Demikianlah pewarisan itu sambung-menyambung hinggalah kepada generasi kini. Oleh sebab itu, sastera rakyat dikenali juga sebagai sastera lisan.

Rakyat ialah sekumpulan manusia yang memiliki ciri fizikal dan kebudayaan yang sama. Ciri mereka berbeza daripada kelompok manusia yang lain. Bagaimanapun, ada sarjana menyempitkan pengertian ini. Menurut mereka, rakyat yang dinamakan folk atau volk itu ialah sekumpulan manusia dalam masyarakat tertutup, tradisional dan mengamalkan budaya lama. Mereka merupakan sebahagian daripada satu masyarakat besar. Takrif ini juga selalunya dikaitkan dengan masyarakat luar kota.

Bentuk Sastera Rakyat

Sastera rakyat dapat dibahagikan kepada dua. Yang pertama, cerita. Yang kedua, bukan cerita.

Cerita terdiri daripada beberapa jenis. Antaranya termasuklah cerita lipur lara, cerita teladan, cerita binatang, cerita jenaka, mitos dan legenda. Bukan cerita pula sebahagian besarnya berupa puisi. Contohnya ungkapan adat, ungkapan rakyat, nyanyian rakyat, teka-teki, pantun dan gurindam.

Dalam kelompok cerita, mitos dan legenda berbeza daripada cerita lipur lara, cerita teladan, cerita binatang dan cerita jenaka. Perbezaan itu terlihat dari sudut kepercayaan, latar masa, latar tempat, sifat dan pelaku utama seperti dalam rajah.
Naratif terbahagi kepada tiga jenis, iaitu mitos, legenda dan cerita rakyat. Mitos merupakan jenis sastera rakyat yang paling tua. Mitos ialah satu bentuk kepercayaan yang menerangkan kejadian alam, manusia, binatang, benda dan hal-hal lain yang berhubungan dengan kehidupan.

Legenda pula ialah cerita yang mengisahkan sejarah tempat atau peristiwa zaman silam. Legenda boleh dibahagikan kepada dua, iaitu legenda tempatan dan legenda jelajah. Legenda tempatan berfokus pada benda, keramat, pusara atau pokok. Kesemuanya dipercayai berpuaka atau memiliki roh tokoh terkenal tempatan. Legenda ini menarik kerana padanya terdapat unsur-unsur luar biasa yang utuh dalam ingatan masyarakat. Legenda jelajah pula ialah cerita legenda yang tersebar luas di mana-mana.

Cerita rakyat juga terdiri daripada beberapa jenis. Empat yang terpenting ialah cerita lipur lara, cerita binatang, cerita jenaka dan cerita pengalaman.
Cerita lipur lara ialah sastera rakyat berbentuk naratif yang paling popular. Cerita lipur lara bercorak roman dan mengisahkan kecantikan, kegagahan dan pengembaraan putera puteri raja.

Cerita binatang pula menggunakan binatang sebagai watak. Watak ini diberikan sifat manusia, iaitu boleh bercakap, berfikir dan bertindak. Dengan sifat-sifat itulah watak tersebut diberikan peranan sebagai watak cerdik, bodoh atau sombong.
Cerita jenaka pula berkisar pada watak-watak yang lucu. Kelucuannya itu terlihat pada sifat dan tindakan. Ada tiga golongan watak lucu dalam cerita jenaka masyarakat kita, iaitu bodoh-sial, bodoh-pintar dan pintar. Watak-watak demikian dikisahkan dalam cerita jenaka dengan tujuan untuk mengkritik golongan tertentu dalam masyarakat di samping untuk berhibur.

Cerita pengalaman pula kebanyakannya lahir sebagai hasil daripada pengalaman hidup masyarakat. Cerita pengalaman selalunya bertumpu pada cerita tahyul yang berkaitan dengan hantu, iaitu seperti hantu bungkus, toyol, pontianak dan orang bunian.
Sastera rakyat bukan cerita pula terdiri daripada tiga jenis utama iaitu peribahasa, teka-teki dan puisi rakyat. Dalam peribahasa, termasuklah perumpamaan simpulan bahasa, pepatah atau bidalan, perbilangan dan kiasan.

Sastera rakyat berbentuk teka-teki pula terbina dalam susunan kata-kata yang padat dan berirama. Dalam teka teki terselit pertanyaan. Kadangkala padanya sudah sedia ada kedua-duanya sekali, iaitu soalan dan jawapan.
Sastera rakyat berbentuk puisi rakyat pula merangkumi pantun, jampi dan mantera. Pantun merupakan hasil sastera rakyat masyarakat Melayu yang paling asli dan lama. Bentuknya mudah tetapi indah. Jampi dan mantera ialah bentuk puisi yang biasa digunakan oleh pawang, bomoh atau bidan ketika menjalankan upacara adat resam dan mengubat penyakit. Susunan kata-katanya mempunyai irama dan juga rima.

Ciri Sastera Rakyat

Sastera rakyat mempunyai beberapa sifat yang khusus. Sifat pertama dan paling ketara ialah cara penyampaiannya dilakukan secara lisan, iaitu dituturkan dari seorang individu kepada seorang individu atau kumpulan yang lain, seterusnya dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Dengan cara demikian sastera rakyat sering kali mengalami perubahan sama ada berlaku penambahan atau pengurangan. Perubahan itu dilakukan demi menambahkan lagi minat pendengar terhadap cerita-cerita itu.
Sifat yang kedua ialah berkaitan soal kelahirannya. Sastera rakyat lahir dalam masyarakat sederhana, iaitu corak masyarakat yang dipanggil oleh antropologis sebagai simple society. Selain itu sastera rakyat juga lahir dalam masyarakat yang berada luar daripada masyarakat bandar atau kota, yang biasa disebut sebagai folk society. Pada zaman moden ini kita masih dapat menemui masyarakat tani dan nelayan Melayu di luar bandar atau masyarakat dari kelompok suku bumiputera yang lain. Dalam masyarakat itu sastera lisan tetap berkembang subur dan terus menjadi sastera warisan mereka.

Sifat yang ketiga ialah sastera lisan mengandungi ciri budaya asal masyarakat yang melahirkannya. Hal ini demikian kerana sastera lisan itu merupakan ekspresi budaya masyarakat itu. Melalui sastera rakyat itulah masyarakat yang melahirkannya dapat mewujudkan corak budaya asli atau tradisional.
Sifat yang keempat ialah sastera rakyat itu merupakan sastera kepunyaan bersama. Sastera itu dianggap sebagai hak masyarakat dan bukannya hak perseorangan. Oleh itu, dalam sastera rakyat tidak timbul soal hak cipta.

Sifat terakhir yang terdapat pada sastera rakyat ialah mempunyai unsur-unsur perulangan dan kesamaan. Kedua-dua unsur ini berlaku dalam sesetengah susunan kata yang puitis dan teratur indah. Susunan kata-kata yang demikian timbul apabila gambaran sesuatu keadaan atau peristiwa dipaparkan.
Demikian penjelasan ringkas tentang sastera rakyat. Moga-moga penjelasan ini ada manfaatnya.

Tiada ulasan: