25 April 2009

Sepinggan Rojak Mamak

Adat di sini, sesiapa boleh datang pada bila-bila masa. Tetamu boleh singgah mengikut kesenggangan sendiri. Gapura rumah ini setia menanti. Pintu rumahnya sentiasa terbuka.

Kini aku sudah berada di laman. Aku berdiri di bawah gapura. Tiada tetamu lain pada masa ini. Tuan rumah pun tidak kelihatan. Tiada sesiapa menyambut kedatanganku.

Apabila berada di muka pintu, aku melihat hidangan. Kelihatannya seperti rojak. Aku mendekati hidangan itu. Jelas, yang terhidang itu ialah sepinggan rojak mamak.

Rojak mamak bukanlah kegemaranku. Jadi aku hanya melihatnya. Sesudah beberapa lama melihat-lihat dan berfikir-fikir, akhirnya aku berasa perlu juga menjamahnya. Ini rojak mamak dari utara. Baik juga kurasa.

Aku mengunyah rojak itu sedikit demi sedikit, lambat amat. Tekakku berasa loya. Rojak itu seakan-akan ingin mengalir keluar dari kerongkongku.

Ada sehelai rambut dalam baki hidangan ini. Ah, rambut bukannya najis. Ketepikan sahaja dan teruskan kunyahanmu.

Ini apa pula? Oh, cebisan sayap lipas. Sayap lipas bukannya najis. Pinggirkan saja dan teruskan kunyahanmu.

Aku meneruskan kunyahan. Mataku terpaku pada baki rojak – pada seekor lipas yang berlumuran dengan kuah kacang.

“Jangan khuatir. Ini rojak mamak utara. Lipas itu memang ramuannya. Lipas itu sudah dicuci bersih, digarami dan dilumur dengan rempah ratus. Makanlah!”

Hendak tidak hendak, aku meneruskan kunyahan.

Aku terpandang pula sesuatu yang luar biasa pada baki rojak itu. Aku mengamat-amatinya. Itu cebisan ekor tikus! Rasa mual melonjak.

“Celurut yang dicencang halus ialah perencah hidangan ini. Inilah keistimewaan rojak utaraku,” suara itu bergema dari langit-langit.

Akhirnya rojak mamak utara itu dapat juga kuhabiskan. Rasa mual terus kutahan agar aku tidak muntah di rumah ini. Sebelum melangkah keluar, aku melihat pinggan rojak tadi. Pinggan itu masih berisi rojak persis ketika aku mula masuk ke dalam rumah ini!

3 ulasan:

WeBViDeOKLiP berkata...

erkkk

HBM Consultant berkata...

Itulah yang kita kunyah dan telan setiap hari tanpa kita sedari. Nauzubillah.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam. Tidak terkata. Kita berusaha mencorakkan keadaan sekadar yang termampu. Wassalam.