Masukan terdahulu
Sepuluh Perkataan/Ungkapan Berlabel "bp"
Dalam pendahuluan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ada tercatat perenggan yang berikut:
“Pemasukan kata yang berbentuk slanga dan bahasa percakapan yang lain ke dalam Kamus Dewan memanglah sesuai dengan ciri kamus ini sebagai sebuah kamus umum. Walau bagaimanapun, seperti edisinya yang terdahulu, kata yang sedemikian diberikan label bp sebagai pemakluman kepada pengguna supaya menggunakan kata yang berkenaan sesuai dengan konteksnya. Maknanya, kata yang berlabel bp tidak sesuai digunakan dalam situasi rasmi, tetapi tidak salah digunakan di luar konteks rasmi, seperti di kedai kopi, di rumah, atau semasa bersembang-sembang dengan rakan sebaya.” (halaman xv)
Di bawah ini terdapat sepuluh perkataan atau ungkapan yang diberi label bp oleh Kamus Dewan. Perkataan atau ungkapan yang berkenaan dihitamtebalkan dalam ayat contoh yang di bawah. Perkataan atau ungkapan gantinya diberikan dalam kurungan selepas ayat contoh itu.
1. Tahun ini mereka akan beraya di Ranau. (berhari raya)
2. Pekerjaan itu memerlukan skil yang khusus. (kemahiran)
3. Albert Mark menang dalam raun yang pertama. (pusingan)
4. Juhilin meraun dengan jip di ladang kayu sentangnya. (meronda)
5. Jam tangan waterpruf itu didermakan oleh Tuan Haji Daud. (kalis air)
6. Rumah Encik Tham Soo Koon terletak di belakang woksyop itu. (bengkel)
7. “Kenapakah kita mesti mengikut jalan mati ini?” pemidato itu menyoal hadirin. (Mengapakah)
8. Kami akan berusaha menyerlahkan citra varsiti kami dalam pertandingan itu. (universiti)
9. Cikgu Abdul Wahab yakin walid Arbainah akan hadir dalam mesyuarat itu. (ayah/bapa)
10. Bantuan yang Datuk dan Datin hulurkan sangat kami hargai. Sumbangan kalian ini akan kami gunakan sebaik-baik yang mungkin. (Datuk dan Datin)
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan