05 April 2009

Tebarkanlah Aksaramu

Aku menyenangi aksaramu
putih dan hijau berkilat
menjadi daun musim luruh
di negeri jauh.

Aku menyenangi aksaramu
duduk rapat-rapat
bersama-sama para malaikat.

Kulihat aksaramu kecil dan besar
berdiri bahu-membahu
sesekali bergerak perlahan-lahan
ke kanan dan ke kiri
tabah menapak ke destinasi.

Kudengar aksaramu bergumam
berbaur geram dalam diam
di sisi kapal hampir karam.

Kini aksaramu berdiri
menyanyi menguliti hidup ini.

Tebarkan aksara budi
mewangi di hadapanku
tebarkan aksara iman
semerbak dari denai ilhammu.

Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban

Berita Harian, 28 Mac 2009

2 ulasan:

aranam berkata...

Cikgu,

Tahniah!

:)

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Salam. Terima kasih. Interaksi maya, Insya-Allah, bermakna. Saya percaya tuan sudah jauh ke hadapan. Teruskan. Wassalam.