24 April 2009

Tidak Fasih Bertutur Bahasa Melayu

“Saya tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” kata tokoh korporat muda itu kepada pemberita kita apabila diminta pandangannya tentang bahasa Melayu.

Tokoh korporat muda itu tidak lain dan tidak bukan ialah Tuan Buang Tuah bin Maidin. Beliau kini bertugas sebagai Pengarah Urusan rangkaian syarikat kewangan terkemuka di negara kita.

“Tidak fasih yang saya maksudkan di sini adalah untuk bertutur dalam bahasa Melayu tinggi atau yang bersifat teknikal. Jikalau sekadar bertutur dalam bahasa biasa dan dalam situasi biasa, bolehlah,” tambahnya.

Tuan Buang Tuah ialah anak jati sebuah negeri di utara. Beliau menghabiskan masa hampir lapan tahun di luar negara sebagai pelajar prauniversiti, ijazah pertama dan ijazah lanjutan. Beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan di sebuah universiti di United Kingdom.

Menurut Tuan Buang Tuah, ketidakfasihannya bertutur dalam bahasa Melayu disebabkan penerbitan dalam bahasa Melayu masih kurang dan tidak meluas.

“Pendedahan kita kepada rujukan teknikal masih kurang. Oleh sebab itu kita memerlukan lebih banyak buku rujukan dalam bahasa Melayu,” katanya.

Tuan Buang Tuah menolak andaian yang mengatakan orang Melayu yang bertutur dalam bahasa Inggeris akan menyisihkan bahasa dan adat istiadat Melayu.

“Hal itu tidak benar sama sekali. Mana mungkin kita meminggirkan bahasa dan adat kita hanya dengan bertutur dalam bahasa Inggeris!” katanya kepada pemberita kita dengan suara yang hampir dapat ditakrifkan sebagai jeritan.

Tuan Buang Tuah menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara kita. Dalam pada itu beliau mengingatkan anak muda agar mempelajari bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris.

“Orang kita kena faham bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Penguasaan terhadap bahasa Inggeris penting di samping kita mendaulatkan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau menjelaskan, “Dalam hal ini, secara jujur saya menyokong usaha kerajaan kita meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui mata pelajaran Sains dan Matematik.”

Beliau mencadangkan agar pengajaran bahasa Inggeris dimulakan di prasekolah.

“Penekanan terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris di prasekolah mesti ditingkatkan. Lebih banyak masa perlu diperuntukkan bagi mata pelajaran itu,” katanya mengakhiri temu bual dengan pemberita kita.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin nak dengar Tuanku Imran cakap Melayu.

Marniyati berkata...

Ini yang dinamakan sebagai 'tidak cerdik tetapi tidak boleh diajar dan bila sudah pandai, kepandaiannya tidak boleh diikut'!

Tanpa Nama berkata...

Orang ini tidak tahu menari, dikatakannya lantai jungkang-jungkit. Orang ini pandai berdansa, diajaknya anak-anak dan remaja kita berpeluk-pelukan pula. Inilah contoh gagak terhitam yang tetap mengatakan bulunya putih.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Salam.

Terima kasih. Marilah sama-sama kita mencorakkan keadaan. Kita bentuk rebung, insya-Allah.

Wassalam.