Ya Akhi, hari ini khatib kami tampil dengan busana baharu yang menyerlahkan keanggunannya apabila dia mencacak di hadapan khalayak. Hari ini seri wajah khatib kami lebih cerah dan ghairah. Kata kawan ana, hari ini khatib kami menawan seluruh jiwa sidang Jumaat dengan keterampilan fizikal, konteks mata, memek muka, sebutan yang jelas serta baku, lontaran suara yang jitu dan kepelbagaian intonasi.
Hari ini, khatib kami menjelmakan kehendak hadis Jabir bin Abdullah itu. Hari ini khatib kami benar-benar menjiwai kehendak hadis pertama dalam Mastika Hadis, Mukadimah dan Jilid Pertama itu. Dialah pemidato yang anta cari-cari selama ini: merah menyala matanya, lantang suaranya, dan bersangatan marahnya sehingga seolah-olah dia pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera tentang kedatangan musuh.
Hari ini, tergiang-giang suara anta membacakan sabda Baginda Rasulullah sallallahualaihi wassalam dalam usrah kita lima belas tahun yang lalu: “Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan mungkin pada waktu petang!” Masih jelas kedengaran suara anta menyampaikan sabda baginda dengan segala upaya: “Masa aku diutuskan dan masa berlakunya kiamat seperti dua jari ini.”
Anta berhenti dan merenung wajah setiap anak usrah. Kemudian anta meneruskan bacaan sambil menunjuk cara pergerakan jari: “Lalu baginda menyatukan kedua-dua jari tangannya, iaitu jari telunjuk dan jari tengah. Kemudian baginda bersabda lagi: Ketahuilah, selain itu, maka sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah, sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (sallallahualaihi wassalam); dan sebaliknya, sejahat-jahat perkara ialah bidaah, dan tiap-tiap bidaah itu sesat.”
Ya akhi, setiap kali anta berdiri di atas mimbar, gaya pidato anta tidak membenarkan kami terlelap walaupun sepicing. Beberapa tahun kemudian, rentetan peristiwa September itu, anta kembali sebagai sidang Jumaat biasa. Kami kehilangan khatib dari kalangan ahli bahasa. Kemudian kita berpisah. Hari ini, citra khatib impian itu, berada semula di hadapan mata. Ya akhi, ana melihat anta yang berdiri di atas mimbar itu!
Benarlah kata anta, persediaan yang rapi yang dilakukan dengan segala upaya dan seluruh jiwa akan membantu menghidupkan khutbah kita. Ana yakin khatib kami sudah melakukan hal itu.
Ya akhi, ana bukanlah ahli bahasa yang dapat memerikan tentang sebutan, suara dan intonasi. Maafkan ana sekiranya anta mendapati ana hanya mengulang-ulang ungkapan anta dalam beberapa kursus dahulu.
Ana rasa sebutan khatib kami hari ini adalah yang terbaik – hampir tiada cacat celanya. Vokalnya terang dan bertenaga. Konsonannya jelas meletup, menampar, menyisi, bergetar dan sebagainya. Setiap patah kata mengalir lancar dengan sebutan yang baku. Kelantangan suaranya memenuhi segala ruang. Dia mempelbagaikan intonasi yang terus ke hati kami. Dengan bantuan gaya berdiri yang mencacak, konteks mata yang rancak dan memek muka yang mencerminkan jiwa berontak yang bergelojak, dia berjaya menguasai seluruh jiwa kami.
Ya akhi, seperti yang pernah anta katakan, isi khutbah mestilah bernas. Ya, hari ini khatib kami benar-benar berkhutbah. Dia hanya merujuk teks sekali-sekali. Sebabnya, wacana khutbah itu ciptaannya sendiri. Isi itu susunannya sendiri.
Ana rasa dia berjaya menghasilkan wacana yang utuh dengan isi yang nyata mengikut kronologi. Bermula dengan menyorot peristiwa zaman dahulu, ditegaskan dengan kekejaman Yahudi zaman ini, dia kembali ke negara kita yang tercinta. Setelah menyorot peristiwa di negara kita belakangan ini secara umum, dia mengajak hadirin merenungi peristiwa pada hari Khamis kelmarin.
Nadanya ketara menongkah arus dan fikrahnya nyata menyanggah berita media perdana. Demi perjuangan yang benar, tempat kejadian itu disebut dengan jelas. Tokoh yang dilucutkan jawatan itu diucapkan dengan suara tegas. Walaupun dia menggunakan metafora logo halal yang sah dan logo halal tiruan, kami dapat memahami mesejnya kerana peristiwa itu baru berlaku kelmarin. Hadirin terpukau, terpaku tetapi tidak keliru.
Ya akhi, khatib kami memulakan dan mengakhiri setiap isi khutbahnya dengan laungan “Allahuakbar” sebanyak tiga kali. Rupa-rupanya isi terakhir khutbahnya dan laungan yang membesarkan Raja segala Raja itu menusuk jantung penguasa. Sebentar tadi, ada berita khatib kami ditukarkan ke daerah jauh serta-merta. Pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid mendapat surat tunjuk sebab.
Ya akhi, catatan ini ialah ulangan peristiwa yang anta dan rakan-rakan kita alami di tempat dan dalam suasana yang berlainan pada masa lalu. Jikalau takdir menentukan khatib kami terhantar ke wilayah sulap anta, terimalah dia.
Salam ukhuwah daripada Akhi Abu Salehuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan