02 Mei 2009

Sari Rencana: Jawi Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong

Bahasa Melayu mengenal tulisan pada abad ke-7, iaitu tulisan Pallava Kemudian. Pada abad ke-10, bahasa Melayu kuno menggunakan pula tulisan Kawi. Tulisan ini yang mempunyai aksara dan sistem ejaannya yang tersendiri berkembang berabad-abad lamanya, termasuk setelah kemunculan tulisan Jawi.

Satu lagi tulisan yang digunakan dalam bahasa Melayu kuno ialah tulisan Rencong. Tulisan ini berupa garis-garis lurus dan bersiku tajam. Bentuknya yang rencong atau serong itu amat berbeza daripada bentuk tulisan Pallava dan Kawi yang berkelok-kelok atau seakan-akan bulatan. Atas dasar bentuknya yang tersendiri itu, tulisan ini dikatakan ciptaan asli peribumi atau sekurang-kurang ubah suaian daripada tulisan-tulisan yang terdahulu.

Zaman bahasa Melayu praklasik bermula pada abad ke-11 dan berakhir pada abad ke-14. Ciri utama bahasa Melayu praklasik ialah terdapatnya campur aduk pengaruh Hindu dan pengaruh Islam dalam penggunaan sistem tulisan dan kosa kata. Selepas zaman praklasik, perkembangan tulisan dan pelbagai aspek lain bahasa Melayu, seperti kosa kata dan sebutan, semakin mantap dan bermutu. Atas dasar kepesatan perkembangan dan peningkatan mutunya itu, maka bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi mulai abad ke-13 dinamakan bahasa Melayu klasik.

Setelah Kesultanan Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, perkembangan bahasa Melayu dan tulisan Jawi berterusan pada kadar yang perlahan. Pada abad-abad terakhir zaman klasik, penggunaan tulisan Rumi sebagai tulisan pilihan untuk bahasa Melayu semakin ketara. Namun demikian tulisan Jawi terus hidup sehinggalah pada pertengahan abad ke-20 apabila orang Melayu sendiri meminggirkannya.

Pada akhir abad ke-20, kegusaran terhadap kemungkinan tulisan Jawi pupus dapat didengar di serata negara. Hasilnya, pada tahun 1981 Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia mengesyorkan daftar ejaan Rumi-Jawi yang lengkap diterbitkan. Susulan syor ini, pada tahun 1983 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membentuk Jawatankuasa Projek Penyemakan Ejaan Jawi. Hasil kerja jawatankuasa ini dibentangkan dalam Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada tahun 1984.

Selepas konvensyen itu, pelbagai usaha dilakukan untuk memperkasakan tulisan Jawi. Pertemuan, bengkel dan seminar diadakan saban tahun. Usaha-usaha itu dilakukan oleh orang perseorangan, badan-badan bukan kerajaan dan badan-badan kerajaan seperti DBP.

Kesedaran tentang pentingnya tulisan Jawi itu dipelihara memuncak pada awal alaf ini dengan pelaksanaan program j-QAF (Jawi, al-Qur’an, bahasa Arab, Fardu Ain) pada tahun 2004 dan penyenaraian tulisan Jawi sebagai warisan negara di bawah Akta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada tahun 2005.

Perkembangan bahasa Melayu amat perlahan dan kurang menyerlah ketika bersama-sama tulisan Pallava Kemudian, Kawi Kemudian dan tulisan Rencong. Sebaliknya, perkembangan bahasa Melayu begitu pesat dan baku setelah bersama-sama tulisan Jawi.

Mohd Isa bin Abd Razak, "Jawi yang Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong" dalam Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 30 - 33.

Tiada ulasan: