10 Mei 2009

Item Objektif Aneka Pilihan (4)

Jenis Item Objektif Aneka Pilihan 3: Negatif
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung

Item ini memerlukan calon mencari fakta yang bertentangan. Tugasan dinyatakan dengan menggunakan penanda negatif seperti perkataan bukan, tidak, kecuali dan sebagainya. Item negatif ini boleh digunakan dengan item pernyataan tidak lengkap, soalan langsung dan jenis item yang lain. Jumlah item jenis ini dalam sesuatu ujian perlu dihadkan antara 10 hingga 15 peratus sahaja kerana calon mudah keliru jika terdapat sedikit sahaja kesilapan teknik seperti wujudnya dua penanda negatif. Stem “Perkataan di bawah tidak mengandungi diftong kecuali” mengandungi dua penanda negatif, iaitu tidak dan kecuali. Item yang mengandungi dua penanda negatif terlarang wujud dalam apa-apa ujian.

7. Perkataan yang tidak mengandungi diftong ialah

(A) taut
(B) atau
(C) aurat
(D) taubat

7A. Perkataan yang mana tidak mengandungi diftong?

(A) Taut
(B) Atau
(C) Aurat
(D) Taubat

8. Imbuhan ter- dalam ayat di bawah boleh digantikan dengan imbuhan di- kecuali

(A) Burung itu sudah terjerat.
(B) Topinya tersangkut di dinding.
(C) Firdaus tersungkur ke dalam parit.
(D) Nama Rosli tercatat dalam buku ini.

9. Pernyataan mana yang bukan ciri wacana?

(A) Melebihi batas ayat
(B) Satuan bahasa yang lengkap
(C) Berasaskan analisis bahasa pertuturan
(D) Memperlihatkan perkembangan fikiran

Penanda negatif ditonjolkan dengan huruf hitam tebal. Cara lain menonjolkan penanda negatif adalah dengan mengadakan garisan di bawah perkataan itu. Penggunaan huruf condong (italik) tidak digalakkan kerana huruf condong mungkin mempunyai fungsi tersendiri dalam bahagian rangsangan dan pilihan. Penggunaan huruf besar seperti TIDAK patut dielakkan kerana menyalahi pedoman penggunaan huruf dalam bahasa kita. Penggunaan huruf besar yang dihitamtebalkan seperti ini TIDAK lebih-lebih lagi perlu dielakkan dan kelihatan berlebih-lebihan.

Aspek teknikal seperti pilihan bermula dengan huruf kecil atau huruf besar, ada atau tiada noktah selepas pilihan dan susunan pilihan secara menurun daripada pendek kepada panjang sama seperti item pernyataan tidak lengkap dan soalan langsung.

Tiada ulasan: