07 Mei 2009

Teknik Penggubalan Soalan Subjektif

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Esei ini ditulis pada tahun 1988 dan disemak semula pada tahun 1996, 2004, 2007 dan 2009 ini. Secara umumnya kandungan esei ini bermanfaat untuk guru dan guru pelatih. Jikalau ada perkara yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa, silalah ubah suai.

Perkataan “subjektif” dalam tajuk esei ini bermaksud sambutan (jawapan) calon berbagai-bagai. Berdasarkan kepelbagaian jawapan calon itu, terdapat tiga jenis soalan subjektif iaitu sambutan bebas, sambutan diperluas dan sambutan terbatas. Kertas ini membincangkan bentuk dan teknik penggubalannya sahaja.

Institusi atau lembaga peperiksaan mempunyai peraturan khusus untuk menggubal soalan. Esei ini tidak bertujuan menggantikan peraturan itu. Anggaplah esei ini sebagai panduan umum, pencetus idea atau bahan perbandingan. Tegasnya, untuk menggubal item yang sebenar, rujukilah panduan rasmi keluaran institusi atau lembaga yang berkenaan.

Beberapa Istilah

Item. Item ialah keseluruhan sesuatu soalan, termasuk arahannya. Di bawah ini ialah satu item subjektif contoh.

Antara tujuan pengajaran karangan terkawal ialah membiasakan murid menyusun ayat mengikut urutan logik dan sebab akibat.

Jelaskan langkah penyampaian yang akan anda laksanakan bagi mengajarkan satu jenis karangan terkawal pilihan anda sendiri yang anda fikir dapat mencapai tujuan di atas. Tuliskan penjelasan anda itu dalam empat langkah penyampaian sahaja.

Soalan Subjektif. Soalan subjektif ialah item yang memerlukan calon memberikan jawapan mereka sendiri. Jawapan itu mungkin sepatah perkataan, satu frasa, satu ayat, beberapa ayat atau satu karangan. Selain itu, grafik seperti peta, jadual dan lakaran dapat juga menjadi jawapan. Jelasnya, jawapan calon berbagai-bagai. Kepelbagaian itu dinamakan subjektif. Maka soalannya pun dinamakan soalan subjektif.

Kepelbagaian atau subjektiviti dapat juga dilihat dari segi pemarkahan. Markah yang diberi oleh seseorang pemeriksa dengan pemeriksa yang lain terhadap jawapan yang sama lazimnya berbeza. Malah markah yang diberi oleh seseorang pemeriksa terhadap sesuatu jawapan mungkin juga berbeza apabila jawapan itu diperiksanya pada kali kedua.

Soalan Esei. Soalan esei ialah item subjektif yang memerlukan calon memberikan jawapan seperenggan atau lebih. Jawapan itu lazimnya ialah wacana seperti karangan, surat kiriman dan kad undangan. Jawapan itu mungkin juga gubahan fikiran bukan bahasa seperti rajah, lukisan dan peta.

Rangsangan. Rangsangan ialah bahagian yang berfungsi sebagai pengenal, punca atau penggerak dalam sesuatu item. Rangsangan dapat terdiri daripada kata, frasa, ayat, perenggan, jadual dan sebagainya. Rangsangan tidak semestinya wujud dalam semua item.

Tugasan. Tugasan ialah bahagian item yang meminta calon melaksanakan sambutan yang dikehendaki. Inti tugasan ialah kandungan subjek yang hendak diuji. Tugasan soalan subjektif mungkin mengandungi syarat dan kriteria.

Kandungan. Kandungan ialah perkara yang hendak diuji. Kadungan dapat berupa bidang, isi, tajuk, kemahiran, subtajuk atau subkemahiran. Biasanya kandungan yang diuji itu berupa sampelan sesuatu bidang. Kandungan yang diuji dalam contoh item di atas ialah kebolehan calon merancang pengajaran satu jenis karangan terkawal. Perkara yang diuji ialah sampelan tajuk “Teknik Mengajarkan Kemahiran Mengarang” yang terdapat dalam sukatan pelajaran.

Perlakuan. Perlakuan ialah perkataan seperti “tulis”, “senaraikan” dan “labelkan”. Perkataan itu terdapat dalam tugasan. Perkataan itu membantu calon untuk melaksanakan tugasan. Perkataan itu juga membantu pemeriksa menentukan aras kesukaran. Perkataan “jelaskan” dalam contoh item ialah perlakuan.

Syarat. Syarat ialah pernyataan dalam tugasan yang bertujuan mengawal sambutan. Kesemua perkataan selepas perkataan “jelaskan” dalam item contoh ialah syarat bagi perlakuan. Kriteria sebahagian daripada syarat.

Kriteria. Kriteria ialah batasan atau peringkat kejayaan perlakuan. Frasa “empat langkah penyampaian” yang terdapat dalam contoh item ialah kriteria.

Sambutan. Sambutan ialah sebarang gerak balas calon terhadap tugasan.

Jenis Soalan Subjektif

Secara umum terdapat tiga jenis soalan subjektif iaitu soalan sambutan bebas (esei panjang,) soalan sambutan diperluas (esei pendek) dan soalan sambutan terbatas. Soalan sambutan terbatas pula dapat dibahagikan kepada lima, iaitu item ringkas, item berangsangan, item berstruktur, item berpandu, dan kloz.

Soalan Sambutan Bebas

Calon diberi tajuk untuk dibincangkan. Mereka bebas memilih dan menggunakan isi daripada pengetahuan mereka sendiri. Mereka bebas menyusun dan mengolah isi itu dalam bentuk penulisan yang ditetapkan. Bentuk penulisan itu biasanya ialah karangan penghuraian (deskriptif). Kemungkinan jawapan yang mereka tulis itu asli adalah tinggi. Oleh itu, dalam skema pemarkahan keaslian sambutan dijadikan satu daripada kriteria penilaian selain isi dan persembahan.

Item ini sesuai untuk menguji semua aras kognitif terutama aras kognitif peringkat tinggi iaitu analisis, sintesis dan penilaian. Item ini sesuai untuk mengukur kebolehan calon memilih, mengolah dan mempersembahkan fakta atau idea. Item ini kerap digunakan untuk menguji aspek penulisan mata pelajaran bahasa.

Kebolehpercayaan pemarkahan item ini rendah. Oleh itu penggubalan skema pemarkahan perlu dilakukan dengan teliti. Penyelarasan skema dan penyederhanaan pemeriksaan perlu diadakan. Urusan ini dijangka memakan masa. Jadi, jumlah item ini dalam sesuatu set soalan hendaklah dihadkan.

Contoh

Arahan

Pilih satu tajuk karangan di bawah. Kemudian tulis satu karangan bagi tajuk yang kamu pilih itu. Panjang karangan kamu hendaklah tidak kurang daripada 120 patah perkataan.

1. Cita-cita Saya
2. Faedah Membaca
3. Pentingnya Berjimat Cermat
4. Sukan Tahunan di Sekolah Saya
5. Kebaikan Menyertai Pasukan Beruniform


Soalan Sambutan Diperluas

Calon dikehendaki memperluas atau mengembangkan sesuatu idea atau fakta yang dikemukakan. Bentuk jawapan bergantung pada maksud perlakuan yang terdapat dalam tugasan seperti terangkan, bincangkan, bezakan, nilaikan dan sebagainya.

Sambutan item ini juga bercorak perbincangan. Banyak kemungkinan jawapan akan diperoleh daripada calon. Tegasnya, calon dibenarkan mengemukakan fakta atau idea mereka sendiri. Oleh itu, hampir sama dengan item sambutan bebas, item ini juga sesuai digunakan untuk membentuk ujian beraras tinggi. Item ini sesuai digunakan untuk mengukur kebolehan calon mengumpul, memilih (menilai), mengorganisasi (menyusun, mengolah, mengait-ngaitkan) fakta atau idea.

Kandungan yang diuji oleh item ini agak kecil berbanding dengan kandungan yang diuji oleh item sambutan bebas, tetapi tidaklah sekhusus kandungan yang diuji oleh item sambutan terbatas. Kebolehpercayaan pemarkahan item ini agak rendah.

Contoh 1
Amir Hamzah dan Kharil Anwar memberi sumbangan yang bererti dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Indonesia.

Bincangkan sumbangan mereka.
....................................................................... (20 markah)

Contoh 2

Sekolah tempat anda menjalani praktikum akan mengadakan majlis perpisahan untuk guru-guru pelatih. Selaku ketua kumpulan, ada diminta berucap di dalam majlis itu.

Tuliskan ucapan itu.
....................................................................... (20 markah)

Contoh 3
"Murid-murid mesti pandai menggunakan masa kerana masa itu seperti emas," kata Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Nyiru.

Jelaskan pandangan kamu sendiri terhadap kata-kata Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Nyiru itu.
....................................................................... (20 markah)

Contoh 4
Siapakah tokoh sukan negara kita yang kamu minati?

Beri sebab-sebab kamu meminatinya.
....................................................................... (20 markah)



Soalan Sambutan Terbatas

Isi dan bentuk sambutan dibataskan. Batasan itu, dinamakan syarat dan kriteria, dinyatakan dalam item, terutama dalam tugasan. Batasan itu diwujudkan untuk mengurangkan kepelbagaian sambutan. Kebolehpercayaan pemarkahan item ini tinggi.

Sambutan Terbatas Ringkas

Keringkasan sambutan relatif: mungkin satu patah perkataan satu frasa, satu ayat, beberapa ayat, satu lakaran dan sebagainya. Bentuknya menghampiri bentuk item objektif. Item di bawah cuma mempunyai satu jawapan sahaja. Oleh itu item-item ia boleh juga dinamakan soalan separa objektif. Bagaimanapun, kesemua contoh di bawah bukanlah item objektif aneka pilihan kerana pilihan tidak disediakan.

Tugasan item ini mungkin meminta calon mengisi tempat kosong, membuat ayat, melukis, melabelkan, menyelesaikan masalah matematik dan sebagainya. Ruangan jawapan disediakan.

Contoh 1
Mamalia yang boleh terbang ialah ________________

Contoh 2
Berikan satu contoh huruf vokal.
____________________________________________

Contoh 3
Buat ayat tanya bagi ayat-ayat penyata di bawah.

(a) Ayat penyata: Hobi saya ialah memancing ikan.

Ayat tanya: ___________________________________

(b) Ayat penyata: Bapa Hadi bertugas di Sandakan.

Ayat tanya: ___________________________________

Contoh 4
Lukis seekor ikan dalam kotak yang disediakan. Labelkan bahagian-bahagian anggota ikan yang kamu lukis itu.

Contoh 5
Nyatakan empat ciri vokal.

(a) _________________________________________

(b) _________________________________________

(c) _________________________________________

(d) _________________________________________
..................................................................... (4 markah)

Sambutan Terbatas Berangsangan

Rangsangan boleh berupa karangan (teks), petikan, situasi, jadual, gambar dan sebagainya. Kewujudannya mesti. Tanpanya, soalan tidak dapat dibina. Soalan itu mungkin juga dinamakan soalan konteks, soalan kefahaman, interpretif dan sebagainya. Item ini menyerupai item sambutan terbatas berstruktur.

Contoh Rangsangan Situasi
Kamu tinggal di rumah bersama seorang adik yang berumur tiga tahun. Sedang kamu membaca buku, tiba-tiba adik kamu menangis. Tangannya luka dan berdarah kerana dia bermain pisau.

1. Apakah yang patut kamu lakukan sebaik sahaja melihat kejadian itu?


_____________________________________________

_____________________________________________

_____________________________________________


.................................................................... (6 markah)

2. Di manakah pisau patut disimpan?

_____________________________________________

.................................................................... (2 markah)


3. Ada beberapa benda lain yang berbahaya kepada adik kamu.

Tuliskan empat benda yang berbahaya itu.

(a) ________________________________

(b) ________________________________

(c) ________________________________

(d) ________________________________

.................................................................... (4 markah)

Contoh Rangsangan Gambar

Gambar lima alat pertukangan kayu.

Gambar 1: Alat-alat Pertukangan Kayu

1. Namakan alat-alat pertukangan kayu di atas.

(a) ________________________________

(b) ________________________________

(c) ________________________________

(d) ________________________________

(e) ________________________________

................................................................ (5 markah)

2. Apakah kegunaan alat nombor 1?

______________________________________________

.......................................................................... (2 markah)

3. Mengapakah kamu menggunakan alat nombor 5 dengan nombor 6 untuk menebuk lubang?

______________________________________________

.......................................................................... (2 markah)

Contoh Rangsangan Teks (Cerita)

Arahan
Baca cerita ini. Kemudian jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki bernama Pak Beliling. Dia bekerja sebagai tukang lawak di istana raja. Suatu hari, ketika Pak Beliling pulang ke rumahnya, dia terlihat dua orang budak terhendap-hendap di bawah rumahnya.

Pak Beliling segera menaiki tangga. Dia masuk senyap-senyap ke dalam rumahnya. Dia terus termenung seketika. Dia mencari akal untuk mengenakan budak-budak nakal itu. Akhirnya dia mendapat akal.

Pada masa itu, isteri Pak Beliling berada di dapur. Pak Beliling melaung kepada isterinya dengan suara cemas, "Mak Siti! Mak Siti! Tadi orang-orang di warung heboh pasal pencuri. Kata mereka, sekarang ini banyak pencuri!"

"Betulkah begitu?" tanya Mak Siti dari dapur.

"Betul!" balas Pak Beliling. "Sebab itu, baik kita masukkan emas kita ke dalam peti. Kemudian kita sembunyikan di dalam kolam di kebun sayur kita itu," kata Pak Beliling lagi.

"Eloklah itu!" balas Mak Siti.

Pak Beliling terus mengisi beberapa ketul batu ke dalam sebuah peti. Kemudian dia cepat-cepat menuju ke kebunnya. Peti itu dicampakkan ke dalam kolam. Dia sengaja meletakkan pencedok air dekat tebing kolam itu.

Pada hari berikutnya, pagi-pagi lagi Pak Beliling pergi ke kebun sayurnya. Dia tersenyum melihat hampir kesemua tanah kebunnya itu basah. Perkara ini berlaku selama seminggu. Seminggu pulalah Pak Beliling tidak perlu menyiram sayur-sayurannya.


1. Di manakah Pak Beliling bekerja?
...................................................................... (1 markah)

2. Apakah tujuan Pak Beliling melaung kepada isterinya?
...................................................................... (2 markah)

3. Mengapakah Pak Beliling tidak perlu menyiram sayur-sayurannya selama seminggu?
...................................................................... (3 markah)

4. Berikan tajuk yang sesuai bagi cerita di atas.
...................................................................... (1 markah)

5. Nyatakan dua pengajaran yang kamu peroleh daripada cerita di atas.
...................................................................... (3 markah)


Sambutan Terbatas Berstruktur

Item ini boleh dikatakan sama dengan item terbatas berangsangan kerana item memerlukan rangsangan. Berdasarkan rangsangan itulah dibentuk soalan-soalan yang memerlukan calon mengenal pasti atau menganalisis struktur rangsangan yang diberi itu.

Contoh Rangsangan Data

Arahan
Teliti carta di bawah. Kemudian jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Carta hujan dan suhu seminggu.

Carta 2: Hujan dan Suhu Seminggu

1. Suhu pada hari Sabtu ialah _______ .
...................................................................... (1 markah)

2. Catatan suhu yang paling tinggi ialah pada hari _______.
...................................................................... (1 markah)

3. Pada hari Khamis, hujan turun sebanyak ________ sentimeter.
...................................................................... (1 markah)

4. Hujan tidak turun pada hari ____________________.
...................................................................... (1 markah)

5. Berapa sentimeter hujan
turun sepanjang minggu ini?

____________________________________________
...................................................................... (2 markah)


Sambutan Terbatas Berpandu

Item ini hampir sama dengan item sambutan terbatas berangsangan dan item sambutan terbatas berstruktur dari segi kemestian wujudnya rangsangan. Bagaimanapun, perbezaan item ini dengan kedua-dua item itu sangat jelas. Item terbatas berpandu ini memerlukan calon mengemukakan jawapan berpandukan bahan rangsangan sedangkan kedua-dua item terbatas tadi memerlukan calon menjawab siri soalan. Item terbatas berpandu ini amat sesuai digunakan untuk menguji kemahiran penulisan.

Contoh 1
Kamu seorang ketua murid. Kamu dikehendaki berucap dalam Majlis Perpisahan Murid-murid Tahun Enam. Guru besar dan guru-guru akan hadir dalam majlis tersebut.

Tulis ucapan kamu dengan menggunakan lebih kurang 80 patah perkataan sahaja. Kamu boleh menggunakan perkataan atau rangkai kata di bawah ini.

terima kasih, dikenang, mengajar, jasa guru, minta maaf, bagi pihak murid-murid tahun enam, jangan seperti kacang lupakan kulit, di sekolah yang baru nanti

Contoh 2
Gambar 1, 2, 3, 4.

Lihat gambar-gambar di atas. Tulis sebuah cerita tentang gambar itu mengikut susunannya. Cerita kamu mesti ditulis berperenggan. Gunakan lebih kurang 80 patah perkataan sahaja.

Contoh 3
Arahan
Penuhkan tempat-tempat kosong ini dengan ayat-ayat yang sesuai.

Yunus: Assalamualaikum, cikgu. Saya Yunus, pemberita majalah Persatuan Bahasa Melayu sekolah kita.

Cikgu Ros: Waalaikumussalam. Silakan duduk, Yunus. Guru penasihat persatuan kamu ada memberitahu saya maksud kedatangan kamu ini.

Yunus: Terima kasih, cikgu. Boleh saya mulakan soalan pertama?

Cikgu Ros: Silakan, Yunus.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Saya akan bersara sebulan lagi.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Saya berkhidmat sebagai guru selama 28 tahun.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Saya mula berkhidmat di sekolah ini pada awal tahun 1978.

Yunus: __________________________________________

Cikgu Ros: Sebelum ini, saya pernah berkhidmat di Johor dan di Sabah.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Selepas bersara nanti, saya bercadang membuka perniagaan kecil.

Yunus: __________________________________________

Cikgu Ros: Saya ingin membuka sebuah kedai buku di bandar ini.

Yunus: __________________________________________

Cikgu Ros: Saya memilih perniagaan buku kerana saya ingin terus berdamping dengan buku dan dengan murid-murid.

Yunus: ___________________________________________

Cikgu Ros: Ya, di samping menguruskan kedai, saya akan terus bergiat dalam Pasukan Puteri Islam di daerah kita ini.

Yunus: Waktu rehat sudah tamat. Saya minta diri dahulu. Jika saya perlukan penerangan lanjut, esok saya akan bertemu dengan cikgu lagi. Terima kasih, cikgu.

Cikgu Ros: Terima kasih kembali, Yunus.

Kloz

Kloz ialah set item yang menggunakan petikan karangan. Bahagian awal dan akhir petikan itu diterakan sepenuhnya. Bahagian awal dan akhir yang diterakan sepenuhnya itu mungkin berupa frasa, ayat atau perenggan. Hal ini bergantung pada panjang petikan. Perkataan-perkataan terpilih dalam petikan itu digugurkan dan diganti dengan tempat kosong. Semua garisan pada tempat kosong itu sama panjangnya. Pengguguran perkataan terpilih itu dilakukan secara tekal selepas lima hingga tujuh patah perkataan. Pengguguran perkataan pada awal ayat tidak digalakkan kerana hal ini boleh mengganggu pemahaman calon. Untuk memudahkan tugas menggubal soalan, petikan itu perlu diubah suai atau dicipta satu wacana khas untuk tujuan sesuatu pengujian.

Teknik kloz sesuai digunakan untuk ujian kefahaman, tatabahasa dan kosa kata bagi mata pelajaran bahasa. Teknik ini berguna bagi menguji pengetahuan peristilahan bagi mata pelajaran tertentu seperti Sains dan Geografi. Teknik kloz ini juga sesuai dijadikan rangsangan item objektif.

Contoh
Arahan
Penuhkan tempat-tempat kosong di bawah ini dengan perkataan-perkataan yang sesuai. Tuliskan satu patah perkataan sahaja pada tiap-tiap tempat kosong itu.

Satu daripada permainan tradisional orang Melayu ialah permainan gasing. Mereka bermain gasing (1) __________ beratus-ratus tahun dahulu. Mereka mengadakan perlawanan gasing (2) __________ musim menuai padi. Mereka menjadikan permainan ini (3) __________ cara melepaskan penat lelah.

Mereka bermain (4) __________. Kadang-kadang pasukan dari kampung lain (5) __________ di suatu gelanggang. Gelanggang itu biasanya dibuat di tengah sawah (6) __________ pada masa itu tanah sawah kering dan (7) __________ sesuai dijadikan gelanggang permainan.

Biasanya, (8) __________ bermain, mereka mengadakan upacara memuja (9) __________ gasing. Upacara ini dilakukan oleh pawang pasukan (10) __________. Ini menunjukkan permainan itu ada kaitan dengan kepercayaan terhadap kuasa ghaib.

Tamat.

2 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Terima kasih. Ini adalah panduan yang sangat berguna kepada seorang guru seperti saya (yang tidak pernah mengikuti sebarang kursus perguruan sebelum bergelar guru)...

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Terima kasih kembali. Respons ini mendorong saya meneruskan masukan seperti ini. Insya-Allah.