22 Jun 2009

KPLI 18 Bulan: Empat Perkara untuk Renungan BPG

Keputusan Kementerian Pelajaran melanjutkan tempoh Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) mulai bulan Januari 2010 menjadi 18 bulan dijangka mampu meningkatkan kualiti latihan guru. Peningkatan kualiti latihan itu bergantung pada beberapa faktor seperti sistem pengambilan, struktur kurikulum dan kandungan kurikulum, sistem penyampaian dan sistem penilaian.
Kita percaya tenaga kerja di Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang sudah biasa dengan sistem kualiti MS-ISO mampu menangani perkara ini dengan berkesan. Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan empat perkara untuk renungan rakan-rakan di BPG.

Yang pertama, kandungan bidang pengajian profesional dan kurikulum persekolahan, khususnya aspek pedagogi seperti kajian sukatan pelajaran dan pengajaran mikro, hendaklah diselesaikan sebelum guru pelatih menjalani praktikum. Demi memudahkan pelaksanaan perkara ini, praktikum wajar diletakkan di akhir program. Sehubungan dengan hal itu, pengalaman penempatan terus seperti yang pernah dilaksanakan untuk satu ambilan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) pada suatu masa dahulu perlu direnungi kembali dan dimanfaatkan.

Yang kedua, kandungan masa untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Kini (BMK) dalam bidang asas dinamika perlu ditambah. Kandungannya pula perlu ditinjau agar lebih menepati keperluan kini dan akan datang. Kandungan BMK hendaklah berfokus pada keterampilan berkomunikasi sebagai guru secara berkesan, sopan dan indah.

Selain itu aspek komunikasi yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) hendaklah menjadi keutamaan. Tujuannya adalah supaya bakal guru itu mampu menggunakan bahasa yang betul dalam apa-apa komunikasi yang berasaskan TMK. Contohnya, mereka dapat menggunakan bahasa yang betul, baik, sopan dan berkesan apabila menulis di blog dan e-grup serta apabila menulis e-mel dan SMS.

Yang ketiga, kemungkinan kursus Literasi Bahasa Melayu (LBM) menjadi mata pelajaran yang mesti dipelajari oleh semua guru pelatih seperti yang terdapat dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) perlu difikirkan secara serius. Pelaksanaan LBM diyakini dapat membantu Kementerian Pelajaran mencapai beberapa fokus dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Oleh sebab di sekolah menengah pun masih ada pelajar yang “bermasalah membaca dan menulis”, kursus ini perlu juga diikuti oleh KPLI sekolah menengah.

Yang keempat, pemantauan pelaksanaan kokurikulum perlulah dilakukan di institut pendidikan guru (IPG) dari semasa ke semasa. Selain menentukan ketepatan pelaksanaannya dengan kurikulum, hendaklah juga dipastikan agar pelaksanaan kokurikulum tidak berlebih-lebihan sehingga menimbulkan masalah untuk melaksanakan kurikulum, termasuklah praktikum. Sebaik-baiknya, janganlah kedengaran ungkapan “kokurikulum meruntuhkan kurikulum” dalam kalangan warga IPG.

Demikianlah empat pandangan umum dan ringkas untuk renungan rakan-rakan di BPG. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

2 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Salam.

Saya bukanlah guru sekolah, tetapi kadangkala saya sangat berkecil hati apabila ada isu yang melibatkan guru sekolah dipaparkan di media.

Mengapa agaknya masyarakat hari ini tidak lagi hormat kepada guru? Apa sahaja kekurangan, kelemahan, kesilapan (biar sekecil zarah), pasti guru yang akan menjadi sasaran.

Sekarang wujud pula satu kecenderungan baru di pihak KPM. Setiap kali ada sistem atau dasar baru diperkenalkan, setiap kali itu jugalah guru yang menjadi 'mangsa'. Kononnya, guru masih belum cekap, belum cukup 'itu-ini' dan perlu dipanjangkan tempoh belajar atau perlu hadir kursus 'itu-ini' juga.

Gambaran yang diberikan seolah-olah guru kita 'teruk' sangat dan tidak pandai serba-serbi.

Saya yang bukan guru sekolah pun terasa 'lelah' dengan segala isu seperti ini. Kelemahan KPM ditutup dengan menimbulkan 1001 'kelemahan' guru dan pentadbir sekolah. Bagi saya, ia sesuatu yang keterlaluan.

Sebagai bekas pelajar sekolah, saya sangat bersimpati dengan guru-guru saya yang masih mengajar di sekolah.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam. Terima kasih atas pandangan ini. Dalam satu e-grup berapa banyak pandangan sudah dan dijangka akan terus diterima. Setiap pandangan dilihat dari sisi yang tersendiri. Ada juga pandangan yang bertumpang-tindih. Tidak kurang pula pandangan yang berasaskan pengalaman peribadi. Saya masih mengikuti pandangan pelbagai pihak. Wassalam.