Orang Melayu di Semenanjung menamakan ikan ini kelah. Kaki pancing menggelarinya raja ikan air tawar. Dalam bahasa Inggeris nama umumnya ialah mahseer yang bermaksud tiger among fish. Nama ini dikatakan berasal dari India dan hampir sama maknanya dengan raja ikan.
Kelah atau mahseer tergolong dalam genus Tor. Genus Tor yang lazim ialah Tor spp., Tor tambroides dan Tor tambra. Wikipedia mencatatkan lebih 20 genus Tor. Maklumat ringkas tentang kelah terdapat juga dalam Wikipedia Bahasa Melayu.
Di Semenanjung, satu blog mencatatkan, harga kelah hidup pada bulan Februari 2009 adalah antara RM10.00 hingga RM500.00 (lima ratus ringgit sahaja). Kelah hidup yang berharga RM10.00 seekor bersaiz tiga inci, iaitu lebih kurang sebesar anak seluang. Kelah hidup yang berharga RM500.00 seekor bersaiz 16 inci atau beratnya dianggarkan lebih sedikit sekilo. Jadi, sekilo kelah yang sudah tidak bernyawa berharga lebih kurang RM300.00.
Di Sarawak, kelah dikenali dengan nama emperau. Tidak lama dahulu akhbar perdana pernah melaporkan bahawa harga emperau ialah antara RM350.00 hingga RM380.00 sekilogram.
Di Sabah, kelah dikenali dengan nama pelian. Harganya di kawasan pedalaman dianggarkan lebih kurang RM30.00 sekilogram. Jadi harga kelah di Semenanjung dan emperau di Sarawak terlalu mahal apabila dibandingkan dengan harga pelian di Sabah.
Pada tahun 2004, saya pernah membeli pelian hidup di tamu Tenom. Beratnya lebih kurang setengah kilogram. Harganya RM10.00 (sepuluh ringgit sahaja). Antara tahun 1989 hingga tahun 2007, saya sudah membeli beberapa banyak pelian di tamu Tenom. Saya menganggarkan harganya lebih kurang RM25.00 sekilogram.
Dalam tempoh yang sama saya dan keluarga sudah menghadam berpuluh kilogram pelian yang dibeli di tamu Keningau. Saya menganggarkan harganya lebih kurang RM30.00 sekilogram – sedikit lebih mahal daripada harga di tamu Tenom. Semua harga itu dianggarkan sahaja kerana di tamu Keningau dan Tenom pelian dijual seekor atau secucuk. Timbangan tidak digunakan kerana semua penjual itu ialah orang kampung yang tidak memiliki alat untuk menimbang.
Kali pertama saya membeli pelian adalah pada tahun 1981. Orang kampung yang baru memperolehnya daripada sebatang sungai di kawasan pedalaman Ranau menawarkan pelian seberat kira-kira dua kilogram itu kepada saya dengan harga RM5.00 (lima ringgit sahaja). Peristiwa itu tidak mungkin berulang.
Inilah catatan pertama saya tentang pelian. Oleh sebab dari tahun 1989 hingga akhir tahun 2002 saya pernah gila-gila memburu pelian, mungkin ada catatan lain pada masa hadapan.
Citra menarik pelian (carian dengan kata “mahseer”):
pelian keemasan
pelian keperakan
pelian Sabah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan