11 Julai 2009

Penulisan Teks Ucapan: Mengekalkan Tumpuan Perhatian Pendengar

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

(Petikan teknik penulisan teks ucapan rasmi ini dapat dimanfaatkan oleh para penulis, termasuk penulis blog.)

Ucapan untuk didengar oleh khalayak. Khalayak dianugerahi sepasang telinga, iaitu satu kiri dan satu kanan. Sepasang telinga itu dapat ditadah secara serentak untuk menerima apa-apa yang diucapkan dan seterusnya untuk diproses oleh otak dan untuk diserap oleh hati. Apabila khalayak tersenyum pada tempatnya, ketawa kecil pada tempatnya dan mengangguk-angguk pada tempatnya, itu sebahagian daripada tanda bahawa tumpuan perhatian mereka sudah ditawan oleh keistimewaan ucapan kita.

Sepasang telinga itu mungkin juga mempunyai fungsi yang berlainan. Telinga kanan dapat berfungsi menerima mesej dan telinga kiri melakukan fungsi yang bertentangan, iaitu menjadi jalan keluar mesej itu. Antara sebab hal ini terjadi ialah ucapan yang kita tulis itu kurang sedap didengar oleh telinga. Tegasnya, penulis teks ucapan kurang upaya membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan pendengaran khalayak.

Kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian khalayak dengan dua cara. Cara pertama ialah menghidangkan isi yang bernas, berkualiti dan terkini. Cara yang kedua ialah menggunakan gaya bahasa yang sesuai untuk pendengaran. Jika kita memanfaatkan kedua-dua cara ini, insya-Allah, kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian khalayak.

Cara yang kedua mungkin kurang mendapat perhatian kita kerana lazimnya kita menulis untuk dibaca, bukan untuk didengar. Sebagai penulis teks ucapan rasmi, kita perlu memanfaatkan penggunaan gaya bahasa yang sesuai untuk pendengaran. Kita perlu menggunakan, menggarap dan memanipulasi gaya bahasa untuk pendengaran. Kita perlu menggunakan gaya bahasa untuk pendengaran dalam teks ucapan rasmi kita dengan bersungguh-sungguh dan sebaik-baik yang mungkin. Dengan cara ini, insya-Allah, kita dapat membantu pengucap memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian pendengar.

Secara umumnya, bahasa yang sesuai untuk pendengaran ialah bahasa yang baku, tepat, indah dan berkesan. Apabila kita menggunakan bahasa baku, pendengar akan memahami ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang tepat, mereka lebih memahami ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang indah, mereka akan terpegun mendengar ucapan kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang berkesan, mereka akan memberikan reaksi yang bersesuaian dengan ucapan kita. Mereka tersenyum, ketawa kecil, mengangguk-angguk dan bertepuk sebagai tanda mereka memahami, merasai, menikmati, menghayati dan menghargai ucapan kita. Situasi ini menunjukkan mereka menghargai pengucap. Secara tidak disedari sebenarnya mereka juga menghargai penulis teks ucapan itu.

Sebagai contoh, dari segi penggunaan bahasa baku – iaitu baku dari segi penggunaan perkataan, baku dari segi penggunaan ungkapan, dan baku dari segi struktur ayat – memungkinkan komunikasi melalui pendengaran berjalan dengan lancar dan berkesan. Sebaliknya, penggunaan bahasa yang tidak baku – yang perkataan-perkataannya hanya difahami oleh kelompok atau pengguna dialek, yang susunan ungkapannya lintang-pukang, dan yang binaan ayatnya bercelaru – menyebabkan komunikasi kurang berkesan atau terhalang.

Satu contoh lagi, dari segi penggunaan bahasa yang indah – bahasa yang sedap didengar oleh telinga, bahasa yang ada rentak irama, dan bahasa yang puitis – memungkinkan khalayak mendengar ucapan kita dengan teliti perkataan demi perkataan, ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan hingga ucapan kita selesai dan mereka sambut pula dengan tepukan yang bergemuruh. Sesungguhnya, secara tidak langsung, tepukan gemuruh dapat dikongsi bersama oleh penulis teks ucapan.

Panduan yang berikut perlu dimanfaatkan oleh penulis teks ucapan untuk memikat dan mengekalkan tumpuan perhatian pendengar.

  1. Memperbanyak penggunaan perenggan deduktif.
  2. Mempelbagaikan penggunaan perenggan, iaitu ada banyak perenggan deduktif, ada sedikit perenggan induktif dan ada sedikit sahaja perenggan eklektik.
  3. Mengelakkan penggunaan perenggan yang kacau atau tidak dapat dikenal pasti sistem penyusunannya.
  4. Menggunakan ayat yang jelas subjek dan predikatnya.
  5. Mematuhi format penulisan teks ucapan rasmi.
  6. Menggunakan teknik pengulangan tema, frasa dan perkataan.
  7. Memperbanyak pengulangan tiga serangkai seperti “demi pensyarah IPTS, demi staf IPTS dan demi pelajar IPTS”, “pensyarah yang berilmu, berkemahiran dan berdedikasi”, dan “antara ilmu, kemahiran dan sikap”.
  8. Menggunakan teknik peralihan yang jelas seperti “seterusnya marilah sama-sama kita renungi satu faktor lagi” sebagai menggantikan “satu faktor lagi” dan “untuk mengatasi masalah disiplin yang kritikal seperti yang saya huraikan tadi” sebagai menggantikan “untuk mengatasi masalah itu”.
  9. Mengelakkan penggunaan kata ganti seperti ini dan itu, dan menggantikannya dengan frasa seperti “faktor keikhlasan guru ini” untuk “faktor ini” dan “kelima-lima faktor yang saya nyatakan tadi” untuk “kelima-lima faktor itu”.
  10. Menggunakan perkataan atau frasa yang menunjukkan urutan.
  11. Menggunakan kata ganti diri yang dapat mengintimkan pengucap dengan pendengar seperti saya, kita, dan anda. (Hati-hati menggunakan kata ganti ini.)
  12. Menggunakan mutiara kata seperti madah pujangga, lidah pendeta, peribahasa dan simpulan bahasa.
  13. Menggunakan kata ulama, hadis dan ayat al-Quran untuk menyokong hujah.
  14. Menggunakan penanda wacana.
  15. Menggunakan contoh yang dapat menghidupkan suasana seperti anekdot ringkas yang melucukan tetapi mempunyai maksud yang mendalam seperti “haram makan ayam yang tidak disembelih” dan “mencuci kaki lima kali sehari”.

2 ulasan:

Mohd Firdaus HAS berkata...

Assalamualaikum wbt Tuan Haji.

Alhamdulillah kami sihat di sini.
Seperti biasa sibuk dengan pelatih yang sentiasa bertambah tetapi pensyarah kekal bilangannya. Bayangkan sahajalah...beban kami sekarang. Saya redha sahaja dan terus melaksanakan tanggungjawab semampu yang terdaya.

Saya minta maaf kerana semakin jarang berinteraksi di maya. Tenaga saya amat terbatas, minda saya juga terbatas setelah memegang tanggungjawab sebagai ketua di sini. Walau bagaimanapun banyak nasihat dan panduan Tuan Haji yang saya amalkan untuk menerajui JPM.

Sebenarnya saya juga mohon Tuan Haji kalau tidak keberatan memuatnaik Panduan Praktikum IPKS secara digital untuk rujukan saya dan panduan kami di sini. Bahan tersebut secara digital tidak ada dalam simpanan saya rupa-rupanya. Walhal, ramai pelatih dan guru yang mahukan panduan tersebut.

Akhir sekali saya doakan Tuan Haji terus berkarya dan berkongsi idea di blog ini. Semoga dianugerahkan kesihatan yang baik dan ketajaman minda sentiasa.

Sekian dan Assalamualaikum

Mohd Firdaus b Abd Salam
JPM
14 Julai 2009

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, saya juga sihat.

Saudara wajar bertindak lebih agresif untuk memastikan nisbah pensyarah-pelatih menepati peraturan yang sedia ada. Saudara tidak patut mengalah. Kalau saudara mengalah, kualiti latihan akan terjejas.

Bahan dalam buku panduan edisi percubaan itu perlu dikemas kini. Edisi sebenar/terkini perlu diterbitkan. Usaha mengemaskinikannya menepati sasaran kerja organisasi dan membantu pencapaian PIPP. Memuat naik bahan lama (apalagi oleh individu di luar organisasi) dapat menjatuhkan citra organisasi dan berkemungkinan mempunyai implikasi undang-undang.

Walau bagaimanapun, saya akan cuba mengemaskinikan bahagian tertentu bab 3 kerana bab itu hasil usaha kita. Apabila edisi kemas kini itu siap, insya-Allah saya akan memanfaatkan blog ini dan Scribd sebagai wadahnya.

Saya berminat untuk mengemas kini (mengubah suai) tajuk portfolio dan penulisan jurnal dalam bab 18. Namun saya khuatir tindakan saya akan dipersoal oleh penulis/sumber asal, terutamanya jikalau saya memuat naik lampiran yang berkenaan.

Beberapa tajuk lain dalam bab 18 juga dapat dikuat naik dengan izin penulis/sumber asal.

Saya berasa gembira apabila saudara masih sudi menghubungi saya. Terima kasih saya ucapkan atas harapan dan doa saudara itu. Saya juga mendoakan agar saudara terus bertenaga untuk mengurus jabatan dan mendidik anak bangsa.
Wallahuaklam. Wassalam.