10 Julai 2009

Ucapan Salam – Salam Keagamaan

Masukan yang berkaitan
(1)
Ejaan Insya-Allah dan Lain-lain
(2) (a) Panduan Menulis E-Mel (b) Dahului e-mel dengan salam.
(3)
Ucapan Salam – Panduan Pelita Bahasa
(4) Ucapan Salam – Ungkapan Popular di Internet
(5) Ucapan Salam – Salam Berbasaan

Kategori salam yang kedua ialah salam keagamaan, iaitu salam yang berlandaskan ajaran agama Islam. Pengucap dan penerimanya ialah penganut agama Islam sahaja.

Ada beberapa banyak ucapan salam contoh terakam dalam al-Quran. Antaranya adalah seperti yang di bawah:
  • Allah mengucapkan bisalāmin (dengan selamat/salam) kepada Nabi Noh. (Surah Hud, ayat ke-48)
  • Malaikat mengucapkan salamun‘alaikum (selamat atas kamu) kepada orang yang beriman. (Surah al-Ra‘d, ayat yang ke-24)
  • Nabi Ibrahim mengucapkan salāmun (selamat) kepada ayahnya. (Surah Maryam ayat ke-47)
  • Rasulullah SAW mengucapkan salamun‘alaikum (selamat atas kamu) atas kedatangan orang yang menyatakan iman. (Surah al-An‘am ayat yang ke-54)
Berdasarkan salam contoh di atas, mengucapkan salam dengan sepatah perkataan “salam” sahaja boleh diamalkan. Namun, dalam komunikasi lisan, ucapan ini jarang kedengaran. Sebaliknya, dalam penulisan, ucapan “salam” sahaja mudah kita temukan dalam e-mel, e-grup dan dalam ruangan ulasan di blog.

Dua perkara penting dalam tatacara salam keagamaan ialah cara mengucapkannya dan cara menjawabnya. Susunan ucapan daripada yang baik kepada yang lebih baik ialah assalamualaikum, assalamualaikum warahmatullah dan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Peraturan menjawabnya pula terdapat dalam Surah al-Nisa’, ayat yang ke-86, maksudnya, “Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka jawablah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah (dengan cara yang sama).”

Hamka dalam Tafsir Al-Azhar menyatakan, apabila kita menerima ucapan assalamualaikum, maka balaslah dengan waalaikumussalam warahmatullah. Kalau kita menerima ucapan assalamualaikum warahmatullah, maka balaslah dengan ucapan waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Namun, berdasarkan firman Allah tadi, kita juga boleh membalas ucapan itu dengan ucapan yang sama. Misalnya, apabila seseorang mengucapkan assalamualaikum, boleh kita menjawabnya dengan waalaikumussalam sahaja.

Tatacara lengkap berkaitan dengan ucapan salam terdapat dalam beberapa sumber. Antara sumber yang dapat menjadi rujukan kita ialah tafsir al-Quran seperti Tafsir Al-Azhar dan koleksi hadis seperti Riadhus Shalihin. Di Internet, antara sumber yang dapat kita manfaatkan ialah Wikipedia Bahasa Melayu di bawah kata masukan “assalamualaikum”.

Tiada ulasan: