Dia terhantar ke sini
demi sepinggan rojak
kegemaran orang banyak.
Apabila dia mula mengunyah
sehelai rambut menggelisah
dalam pinggan rojak basah.
Rambut itu dipinggirkannya sahaja
dia meneruskan kunyahan tanpa selera.
Kini matanya terbeliak
di dalam pinggan seekor kacoak
berlumuran kuah rojak.
Dari langit-langit rumah
ada suara mendesah:
“Jangan gelisah
ramuan itu dicuci sudah
digarami, dilumuri rempah
makanlah!”
Dia meneruskan kunyahan
dengan seribu rasa enggan
penuh kepayahan.
Dia terpandang pula
objek yang luar biasa
pada baki rojak utara.
Apabila diamati-amatinya
memang cebisan ekor celurut
rojak menggelodak dalam perut.
Dari langit-langit rumah
ada suara ramah tuan rumah:
“Cencangan halus celurut itu
perencah utama hidanganku.”
Rojak mamak terus dihabiskan
rasa mual ditahan-tahan
muntah di sini, janganlah jangan.
Sebelum dia melangkah pergi
dilihat pinggan rojak tadi
masih penuh berisi
persis belum disentuhi!
Mohd Isa bin Abd Razak
Seremban
25 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan