Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
(Pelita Bahasa, Julai 2009)
“Atuk, papan tanda tandas masjid kita ini sudah patut ditukar,” kata Awang memulakan perbualan.
Tuk Lamin yang bertenggong di atas anak tangga kelima masih diam. Dia memerhatikan papan tanda tandas lelaki yang masih elok sambil membetulkan kedudukan kakinya pada anak tangga keempat. Awang yang duduk pada anak tangga ketiga mendongak. Dilihatnya kerut pada wajah Tuk Lamin bertambah. Atuk sedang berfikir, kata hatinya. Dia menunggu sambutan Tuk Lamin terhadap pandangannya.
“Sebab apa perlu ditukar? Sebab papan tanda itu dalam tulisan Jawi?” tanya Tuk Lamin. Suaranya agak keras.
“Bukan ...,” Awang tidak dapat menghabiskan kata-katanya kerana Tuk Lamin mencelah.
“Budak-budak sekarang tidak berapa pandai membaca tulisan Jawi,” gerutu Tuk Lamin.
Awang diam. Dia mendongak. Dilihatnya muka Tuk Lamin menghala ke arah tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan masjid, di sebelah kanan mereka. Mungkin atuk bergurau. Sebab itu dia memandang ke arah lain, katanya dalam hati.
Angin semilir petang mengelus tubuh mereka. Suasana sepi. Wajah Tuk Lamin masih menghala ke tanah perkuburan. Matanya bergerak dari satu batu nesan kepada satu batu nesan yang lain. Pandangan Awang pun bertukar-tukar antara batu nesan di tanah perkuburan dengan papan tanda tandas. Otaknya ligat merencanakan sambutan terbaik terhadap rungutan Tuk Lamin.
Kemudian, dengan suara yang jelas dan teratur Awang berkata, “Bukan begitu, atuk. Tulisan Jawi memang sesuai untuk papan tanda di masjid. Kami, murid-murid sekolah memang menyokong penggunaan tulisan Jawi. Cuma kami harap tulisan Jawi itu biarlah ....”
Kalimat Awang dipotong oleh Tuk Lamin, “Kamu mahu dimasukkan juga tulisan Rumi?”
“Bukan begitu, atuk. Ejaan Jawi itu silap.”
“Kamu jangan memandai-mandai, Awang. Sejak atuk kecil lagi ejaan itulah yang digunakan. Sudah dua kali papan tanda itu ditukar, ejaannya tetap sama.”
“Ejaan Jawi sekarang sudah berubah, atuk. Ejaan tandas sudah ada ….”
“Sudah ada apa? Memandai-mandai sahaja kamu ini. Ustaz Faiz itu guru tulisan Jawi. Berulang-ulang dia keluar masuk ke tandas masjid kita ini. Tiada pun dia mengatakan ejaan itu salah!”
“Ustaz Faizlah yang mengatakan ejaan itu silap, atuk.”
“Yakah? Walau macam manapun, biar atuk tanya Ustaz Faiz sendiri dan Tuan Imam.”
Tuk Lamin menutup perbualan mereka. Dia bangun. Sambil mengibas-ngibas butir-butir pasir di punggungnya dia berkata, “Mari kita pulang. Atuk ada kerja di rumah.”
Awang tidak puas hati. Tuk Lamin menoktahkan perbualan mereka tanpa keputusan. Namun dia tetap mengekori Tuk Lamin menuruni bukit masjid itu. Apabila sampai di pintu gerbang, Tuk Lamin membelok ke kiri. Awang menghala ke kanan.
Awang mempercepat langkahnya menuju ke rumahnya yang kira-kira empat ratus meter sahaja dari pintu gerbang masjid itu. Dia tiba di rumahnya beberapa minit kemudian. Kakaknya, Cikgu Dayang, sedang membaca novel di beranda. Awang duduk di sofa yang berhadapan dengan kakaknya.
“Mengapakah kamu ini tersengih-sengih, Awang?”
“Tiada apa-apalah, kakak. Cuma, Ustaz Faiz kata, ejaan Jawi sekarang sudah banyak berubah.”
“Ha, betullah itu,” kata Cikgu Dayang. Dia kembali menatap barisan aksara dalam novel itu.
“Eh, kakak pun tahu?”
Apabila mendengar pertanyaan adiknya itu, Cikgu Dayang meletakkan novel itu di atas meja. Kakak ini guru Bahasa Melayu. Tentulah kakak juga tahu serba sedikit tentang tulisan Jawi,” katanya.
Awang tersengih. “Kalau betul kakak tahu, cuba eja perkataan tandas.”
“Ta-nun-dal-sin.”
“Ha, kakak ketinggalan komuter! Banyak ejaan Jawi sekarang sudah berubah, kakak. Antaranya ialah ejaan perkataan tandas,” balas Awang sambil ketawa.
“Kamu jangan memandai-mandai, Awang. Ustaz Faiz itu sama sahaja dengan kakak. Kami seinstitut dahulu.”
“Ustaz Faiz guru j-QAF. Kakak guru Bahasa Melayu. Tidak sama. Lagipun, Ustaz Faiz itu pengkaji. Dia mengkaji perbezaan ejaan Jawi dahulu dengan ejaan Jawi sekarang. Dia ada buku ejaan yang sangat tebal.”
“Buku apa? Buku Daftar Kata Bahasa Melayu? Kalau itu, kakak pun ada.”
“Yakah? Bilakah kakak beli buku itu?”
“Sudah lama. Kakak beli di Kota Kinabalu pada bulan Disember tahun lalu lagi.”
“Awang tidak pernah nampak pun.”
“Buku itu masih kakak simpan di dalam kotak. Kotak itu ada di bawah katil kakak.”
“Patutlah Awang tidak pernah nampak buku kakak itu. Awang hendak pergi ambil.”
Apabila melihat Awang bangun, Cikgu Dayang segera berkata, “Di bawah katil itu ada banyak kotak. Nanti kamu selongkar pula khazanah kakak di dalam kotak-kotak itu. Biarlah kakak sendiri mengambil buku itu.”
Cikgu Dayang masuk ke dalam ruang tengah rumah. Awang termagu melihat belakang kakaknya. Sebentar kemudian Cikgu Dayang kembali ke serambi. Di tangannya ada sebuah buku yang tebal. Pada kulit buku itu tertulis Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi.
“Cuba kakak lihat ejaan tandas dalam buku itu,” kata Awang.
Cikgu Dayang menyelak-nyelak halaman buku itu. Dia berhenti pada halaman 1674. Dia mendapati ejaan tandas ialah ta-alif-nun-dal-sin dan bukannya ta-nun-dal-sin. Dia mendapati alif pertama dalam perkataan itu hidup. Padahal, menurut peraturan yang diketahuinya, huruf alif dalam suku kata yang di hadapan sepatutnya digugurkan. Jadi, ejaan yang betul ialah tan-nun-dal-sin. Huruf alif antara ta dengan nun digugurkan. Inilah ejaan di masjid kampungnya. Ejaan ini juga yang tertera di beberapa buah masjid yang pernah disinggahinya.
“Awang, mungkin buku ini silap,” katanya perlahan-lahan. Kata-katanya itu seolah-olah ditujukannya pada dirinya sendiri tetapi cukup jelas didengari oleh Awang.
Apabila melihat mata kakaknya masih bertumpu pada halaman buku itu, Awang hanya diam. Dia terus memerhatikan gelagat kakaknya. Mata Cikgu Dayang masih lekat pada kedua-dua halaman buku yang terbuka.
###
Kelas tambahan Tahun 5 Alif petang itu usai awal. Semua murid keluar dari kelas. Awang di belakang sekali. Kini dia sudah berada kira-kira lima meter dari bangunan kelas. Dia sengaja melambat-lambatkan langkahnya. Dia yakin Ustaz Faiz ingin memperoleh maklumat daripadanya.
“Awang, tunggu! Ustaz mahu berbincang dengan kamu.”
Betul, kata hatinya. Dia berpatah dan menuju ke pondok di sebelah bangunan kelas. Di bawah bumbung konkrit berbentuk payung cendawan itu ada meja bulat. Dia duduk di hadapan Ustaz Faiz yang menunggu di situ.
“Kecoh sedikit di masjid selepas solat Subuh tadi,” Ustaz Faiz memecah kesunyian yang menguasai pondok itu beberapa minit.
Awang diam. Dia cuba memahami maksud “kecoh”. Dia berasa gusar. Mungkin tindakannya dibantah oleh Tuk Lamin. Mungkin Tuan Iman dan Ustaz Faiz serupa sahaja dengan Tuk Lamin.
“Kamu tahu siapa yang menukar papan tanda tandas masjid kampung ini?” tanya Ustaz Faiz.
Awang tunduk. Kekhuatiran masih menguasai dirinya. Dia berasa debar jantungnya bertambah. Kesunyian semakin terasa. Dia dapat mendengar degup jantungnya yang semakin kencang.
“Tuan Iman dan Tuk Lamin ingin bertemu dengan orang yang menukar papan tanda tandas itu,” kata Ustaz Faiz.
Ustaz Faiz menyedari kegelisahan anak muridnya itu, lalu dia berkata, “Ustaz cuma ingin tahu. Ustaz yakin kamu tahu orang yang menukar papan tanda tandas itu. Pihak masjid ingin akan kepastian. Awang, beritahulah ustaz, siapa yang menukar papan tanda tandas itu?”
“Adakah ejaannya masih silap?” tanya Awang.
“Tidak. Ejaannya betul,” jawab Ustaz Faiz dengan suara yang lembut.
“Saya dan Amin yang menukar papan tanda itu,” kata Awang lambat-lambat. Dia masih menundukkan mukanya.
“Oh, betul sangkaan kami. Bilakah kamu tukar papan tanda itu, Awang?” Ustaz Faiz mengajukan soalan itu dengan suara yang lebih lembut.
Hati Awang menyerap kelembutan suara ustaznya itu. Dia melihat wajah ustaznya. Ustaz Faiz melebarkan senyuman.
“Selepas Isyak malam tadi.”
“Kamu tidak sempat menunggu siang. Patutlah pemasangannya senget sedikit. Tetapi tidak mengapa. Pihak masjid akan membetulkannya.”
Kini Awang mula yakin bahawa Ustaz Faiz, Tuan Iman dan Tuk Lamin menerima perubahan yang dilakukannya.
“Awang, cuba ceritakan kepada ustaz di mana kamu dapat wang dan kamu tempah papan tanda itu.”
“Sebenarnya, kakak saya yang menaja kedua-dua papan tanda itu. Dia yang menempahnya di bandar.”
“Kakak kamu? Kamukah yang memintanya?”
“Saya minta maaf, ustaz.”
“Tidak mengapa, Awang. Ustaz cuma ingin tahu.”
“Saya minta maaf, ustaz. Saya berbohong.”
“Berbohong? Baiklah, ustaz maafkan. Tetapi, beritahulah ustaz bagaimana kakak kamu boleh menjadi penaja?”
“Saya beritahu, ustaz yang minta ….”
Suara Awang semakin perlahan. Wajahnya ditundukkan. Dia sempat melihat wajah Ustaz Faiz semakin ceria.
“Berbohong itu tidak baik, Awang. Walau bagaimanapun, tidak mengapalah. Perkara sudah berlalu. Ustaz maafkan Awang. Ustaz juga minta maaf kerana seolah-olah menakut-nakutkan Awang.”
“Jadi, bagaimana pula dengan Tuk Lamin dan Tuan Imam?” tanya Awang.
“Alhamdulillah. Ustaz sudah terangkan kepada Tuan Imam bahawa ejaan ta-alif-nun-dal-sin itu betul. Tuk Lamin pun menerima pandangan kami.”
Wajah Awang bercahaya.
“Sebenarnya ada berita baik, Awang. Pihak masjid akan memberikan penghargaan kepada mereka yang menukar papan tanda tandas itu.”
Wajah Awang semakin bercahaya.
“Baiklah, Awang. Ustaz ada urusan di bandar. Sampaikan ucapan tahniah ustaz kepada kakak kamu kerana menaja papan tanda itu. Katakan ustaz kirim salam.”
Awang melihat ada cahaya girang pada wajah Ustaz Faiz.
Tamat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan