Ruangan Pintar Bahasa Dewan Pelajar keluaran Ogos 2009 mengetengahkan empat perkara sebagai panduan pelajar sekolah rendah. Blog ini memanfaatkan pemikiran penulis ruangan itu untuk menjelaskan satu perkara sahaja. Perkara itu ialah cara menggunakan perkataan “memberitahu” dan “memberitahukan” dalam ayat.
Ayat yang menggunakan perkataan “memberitahu” dan “memberitahukan” mesti diikuti oleh objek. Bagi perkataan “memberitahu”, objeknya adalah sesuatu yang bernyawa. Bagi perkataan “memberitahukan” pula, objeknya adalah sesuatu yang tidak bernyawa. Rumusannya adalah seperti yang di bawah.
memberitahu + objek bernyawa (siapa)
memberitahukan + objek tidak bernyawa (apa)
Objek bernyawa ialah orang atau sesuatu yang diperorangkan. Ayat contoh yang terdapat di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) adalah seperti yang di bawah.
1. Ibu memberitahu kakak cara membuat kuih itu.
2. Ia memberitahu tiap-tiap orang tempat penginapan masing-masing.
3. End of File (EOF) digunakan sebagai kod untuk memberitahu komputer tempat akhir fail. (komputer diperorangkan)
4. Ia tidak memberitahukan hal ini kepada sesiapa pun.
PRPM ada mencatatkan dua makalah untuk rujukan kita. Makalah “Memberitahu Seseorang untuk Memberitahukan Sesuatu” tersiar dalam majalah Dewan Siswa keluaran April 1989. Makalah “Siapakah yang Memberitahu?” tersiar dalam majalah Pelita Bahasa keluaran April 2007.
Hasil carian dengan Goggle pada 8 Ogos 2009 menunjukkan sebaran frasa “memberitahu + *objek tidak bernyawa (apa)”, iaitu rumus yang silap. Terdapat 640 frasa *memberitahu peristiwa, 3,370 frasa *memberitahu kejadian dan 11,300 frasa memberitahu perkara. Ketiga-tiga frasa ini silap. Frasa yang betul ialah memberitahukan peristiwa, memberitahukan kejadian dan memberitahukan perkara.
Mudah-mudahan masukan ini bermanfaat untuk pelajar sekolah menengah, guru dan pengguna bahasa Melayu.
Pemikiran asal daripada Azhar Salleh, “Menyangkul atau Mencangkul?”, Dewan Pelajar, Ogos 2009, halaman 32.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan