Oleh Rasmi Safar, Kota Kinabalu
Sinar Usia, 20 Julai 1973
SUDAH lebih sebulan Hitam dikebumikan. Ke syurga atau ke neraka, Tuhan sahaja yang tahu. Namun kisahnya belum hapus daripada ingatan kami. Waktu cuti begini kami memutar cerita yang hampir basi itu. Bahaudin, ahli bilik kami yang baharu -- bilik 202 ini -- ingin mendengar kisah itu. Kami sepakat untuk menceritakan hal itu sebagai pemula rancangan kami terhadap Bahaudin.
Syamsudin hendak menjadi jadi pencerita. Aku membangkang. Aku khuatir dia bercerita secara mendatar. Setelah mendapat sokongan daripada Tawil dan Alias, aku mula bercerita.
“Sebenarnya, sebelum meninggal, Hitam sudah melakukan taubat sambal belacan. Kata Syamsudin, taubat Hitam dapat juga disebut taubat arak.”
Kulihat punggung Syamsudin terangkat. Alias dan Tawil tersenyum. Bahaudin belum mengerti.
“Malam itu makam Jumaat dalam bulan Januari. Hitam pergi ke parti hari jadi Donggo di Jalan Pahat. Alias pun pergi.”
Alias mengangguk. Bahaudin ikut mengangguk. Aku menyambung kisah, “Hitam kuat minum. Kata Alias, Hitam sebat tapai hampir segelen. Alias lain. Katanya, katanyalah, dia minum dua gelas sahaja.”
“Aku baru pulang dari kampung dan membawa banyak buah durian. Kami sedang makan durian ketika Hitam dan Alias sampai di bilik kita ini. Kami pelawa mereka makan. Hitam sapu tiga biji durian seorang diri. Dia kemengahan dan tertidur.
“Anehnya, pada pukul satu malam Hitam bangun. Dia muntah sampai habis isi perutnya keluar. Mukanya pucat pasi. Badannya lemah macam timah. Dua hari dia tidak berganjak dari tempat tidur.
“Akhirnya kami tahu bahawa durian panas. Apabila bergaul dengan arak, perut Hitam menggelegak.”
Aku tidak dapat meneruskan cerita kerana Syamsudin ketawa. Dia gagal menunjukkan muka sedih atau simpati. Keadaan Bahaudin sebaliknya. Kerut mukanya membayangkan perasaan hairan dan rasa ingin tahu.
“Tindak balas pun berlakulah. Aku tidak tahu sama ada tindak balas kimia atau fizik,” aku cuba berlawak tetapi tiada sesiapa menunjukkan reaksi bahawa kata-kataku itu lucu. Aku hampa. Kubiarkan kisah itu tergantung.
Lama kemudian, Bahaudin menyoal, “Kesudahannya?”
Aku menyambung, “Hitam serik; betul-betul serik, katanya. Masakan tidak kerana semasa durian dan tapai bergaul dalam perutnya, dia berasa macam air panas menggelegak. Jadi, dia bertaubat. Dia tidak mahu minum arak lagi. Dia tidak mahu pergi ke parti lagi. Kenallah dia tikar sembahyang.
“Oleh sebab taubatnya cuma taubat sambal belacan atau taubat arak, tidak lama kemudian dia ke parti lagi. Aku bukanlah alim. Yang penting aku Islam. Kita sesama Islam patutlah nasihat-menasihati. Namun Hitam tidak makan nasihat. Apabila kami menasihatinya, dia hanya sengeh. Kami tidak kuasa lagi. Kami sibuk dengan kegiatan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran tahun ini. Apabila lulus peperiksaan itu, gaji naik.”
Aku berhenti lagi kerana Syamsudin mengganggu Alias.
“Aku taubat betul, taubat!” kata Alias.
“Taubatlah sebelum terlewat,” ujar Tawil.
Bahaudin kehairanan. Aku meneruskan kisah, “Begini, dahulu Alias terikut-ikut perangai Hitam. Antaranya, dahulu rambutnya panjang dan pakaiannya groovy.”
Alias tersenyum. Bahaudin turut menghadiahkan sebuah senyuman yang tidak bererti kepada Alias. Senyuman Alias pun meleret. Syamsudin dan Tawil ketawa kecil. Senyuman Alias semakin lebar.
“Tentang amalanku, tuan penglipur lara?” Ali naik junjung.
“Oh, ya! Dahulu Alias ini tidak kenal sejadah. Orang sembahyang Maghrib, dia keluar tengok wayang. Sekarang dia alim. Alim kurang atau alim buaya, aku tidak tahu,” aku melucu. Kawai ketawa.
“Apakah yang menyebabkan aku berubah?” Alias mengemukakan soalan apabila ketawa kami reda. Tanpa menanti jawapan kami, dia meneruskan, “Keinsafan … aku insaf!”
“Insaf?” aku memekik.
“Ya, insaf,” tegasnya.
“Bukan takut?” aku menduganya.
“Takut? Taku akan apa?” soalnya.
“Takut akan Tuhan dan takut dikutuki oleh masyarakat,” jelasku.
“Itu abstrak!” Syamsudin membangkang. “Kaulihat mayat Hitam dahulu, bukan?”
Alias mengangguk.
“Bagaimanakah keadaannya?” Syamsudin menyoal aku pula.
“Kata doktor, urat perut dan jantung Hitam terbakar.”
“Lebih baik jangan kauteruskan,” potong Tawil. “Kau ceritakan dahulu kepada Encik Bahaudin kita ini sebab Hitam mati.”
Aku memahami maksud Tawil. Aku meneruskan kisah, “Pada suatu malam, Hitam dan Alias pergi ke parti. Kerana dicabar, Hitam menghabiskan sebotol arak. Urat-urat perutnya terbakar. Langsung dia mati.”
“Ringkas dan padat,” Tawil memujiku.
“Sekarang puas hati?” aku menyoal Bahaudin. Dia mengangguk.
“Dan sekarang giliran kau pula. Ini rumah pangsa. Ini bilik kita. Sebelum kau datang, kami sudah menghuni bilik ini. Adatnya, orang-orang yang baru masuk ke dalam bilik ini mesti dibuli. Hitam pernah kena buli. Alias juga pernah kami buli. Kau tidak mahu kami buli teruk-teruk. Cukup kau bercerita. Sekarang kau ceritakan kisah apa sahaja. Kisah kau dengan kekasih kau pun boleh. Tetapi panjangnya mesti tidak kurang daripada setengah jam.”
Syamsudin, Tawil dan Alias yang sudah berpakat dengan aku, kini bermuka garang. Bahaudin menggeletar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan