Pada pertengahan bulan Jun 2009, media di negara kita melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memutuskan untuk melanjutkan tempoh latihan program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI). Latihan yang hanya memakan masa setahun sejak sedekad yang lalu akan dilanjutkan menjadi setahun setengah atau 18 bulan mulai tahun 2010. Agensi di bawah KPM yang bertanggungjawab menguruskan perubahan ini ialah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Keputusan KPM melanjutkan tempoh latihan program KPLI itu dijangka mampu meningkatkan kualiti latihan guru. Namun, peningkatan kualiti latihan itu bergantung pada beberapa faktor seperti sistem pengambilan, struktur dan kandungan kurikulum, sistem penyampaian dan sistem penilaian. Kita berkeyakinan tenaga kerja di BPG yang sudah biasa dengan sistem pengurusan kualiti MS-ISO mampu menangani perkara ini dengan berkesan.
Unit Kurikulum BPG pasti sudah mula sibuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan peninjauan semula dan pengubahsuaian struktur dan kandungan kurikulum. Pasukan di unit ini perlu melaksanakan tugas mereka dengan berdasarkan sistem kualiti yang sedia ada. Para petugas, termasuk panel daripada kalangan kakitangan akademik IPG, mesti mematuhi akta, peraturan dan sistem pengurusan kualiti demi memastikan struktur dan kandungan kurikulum untuk latihan 18 bulan itu mampu menjana guru yang lebih bermutu berbanding dengan latihan setahun. Sehubungan dengan hal itu, panel yang bertugas meninjau, mengubah suai dan memantapkan kurikulum yang berkaitan dengan bahasa Melayu juga perlu memerah fikiran demi menghasilkan kandungan kurikulum yang menepati keperluan kini dan akan datang.
Dalam program KPLI ada tiga kursus yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Yang pertama ialah kursus Bahasa Melayu Kini atau Bahasa Melayu Komunikasi (BMK) yang mesti diikuti oleh semua pelajar. Yang kedua ialah kursus Bahasa Melayu (Major) yang ditawarkan untuk pelajar pengkhususan sahaja. Yang ketiga ialah kursus Bahasa Melayu (Minor) yang berupa kursus pilihan untuk pelajar pengkhususan tertentu, selain pengkhususan Bahasa Melayu. Antara ketiga-tiga kursus ini, BMK-lah yang terpenting. Hal ini demikian bukan semata-mata disebabkan oleh kursus ini mesti diikuti oleh semua pelajar. Perkara yang lebih penting ialah pencapaian matlamat kursus ini, iaitu untuk membolehkan guru KPLI menguasai sistem bahasa Melayu dan kemahiran berbahasa agar mereka dapat mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Sejak sedekad yang lalu, BMK bernilai satu kredit sahaja, iaitu interaksinya berjumlah hanya 15 jam sepanjang tempoh kursus. Nilai kredit ini amatlah daif berbanding dengan matlamat yang hendak dicapai dan kepentingannya yang begitu besar dalam profesion keguruan. Keadaan ini dapat digambarkan dengan peribahasa “berselimut kain cukin; ditutup kepala kaki terbuka, ditutup kaki kepala terdedah” atau “kain panjang empat, ditarik ke atas ke bawah tak sampai”. Penambahan tempoh latihan KPLI sewajarnya membuka jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Kredit BMK perlu ditambah menjadi sekurang-kurangnya dua kredit.
Dalam program latihan perguruan yang bukan KPLI, semua pelajar mesti mengikuti kursus yang tujuannya sama dengan BMK. Cuma nama kursus itu berbeza. Ada kursus dinamakan Bahasa Melayu Dinamika (BMD) dan ada pula kursus yang dinamakan Bahasa Melayu Kontekstual yang ringkasannya BMK juga. Semua kursus itu bernilai dua kredit atau lebih. Sebagai contoh, dalam program Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM), BMK bernilai tiga kredit. Jadi, penambahan BMK KPLI menjadi dua kredit sangat munasabah.
Seperkara lagi, kurikulum BMK yang sedia ada dan sudah berusia sedekad itu perlu dikemaskinikan secara menyeluruh. Oleh sebab bahasa Melayu sedang menghadapi cabaran yang hebat dalam dekad ini dan dijangka menghadapi cabaran yang lebih hebat lagi pada dekad mendatang, kurikulum BMK yang akan dikemaskinikan itu perlulah direka agar mampu menghadapi cabaran yang hampir berupa krisis keyakinan itu. Antara lain, hal yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu tinggi, kesantunan bahasa atau tatabahasa sosial, cabaran mutakhir dan masa hadapan bahasa Melayu, komunikasi berkesan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, serta latar belakang dan sistem ejaan Jawi mutakhir wajar mendapat perhatian panel yang berkenaan.
Seperkara lagi, kemungkinan kursus Literasi Bahasa Melayu menjadi kursus yang mesti dipelajari oleh semua pelajar KPLI seperti yang terdapat dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) perlu difikirkan dengan serius. Kursus ini sangat penting untuk membolehkan guru KPLI melaksanakan program celik huruf di sekolah.
Menurut Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), lebih 115,000 atau 7.7 peratus murid Tahap 1 sekolah rendah belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) pada tahun 2004. PIPP juga mencatatkan, pada tahun 2005, 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum menguasai 3M. Jadi, mulai tahun 2006 KPM memperkenalkan Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) bagi memastikan murid-murid Tahun 1 dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis selepas enam bulan mengikuti persekolahan. Kursus Literasi Bahasa Melayu PISMP memang bertujuan membolehkan semua guru (tanpa mengira pengkhususan) menyelesaikan kemelut tidak celik huruf. Guru KPLI dijangka dapat memberikan sumbangan yang seiring dengan lepasan PISMP atau lebih baik lagi jika mereka dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran mencelikhurufkan murid melalui kursus Literasi Bahasa Melayu.
Sesungguhnya, tamadun sesuatu bangsa hanya dapat diperkukuh oleh masyarakatnya yang mengamalkan budaya ilmu. Wadah budaya ilmu itu ialah bahasanya. Jika guru kurang cekap berbahasa, penyampaian ilmu tentu kurang lancar. Jika guru cekap berbahasa tetapi murid tidak celik huruf, pemindahan ilmu mustahil dapat dilakukan. Oleh hal demikian, pihak yang berwajib wajar memanfaatkan perubahan tempoh latihan KPLI untuk memantapkan kurikulum BMK dan memulakan kurikulum Literasi Bahasa Melayu.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan