10 Ogos 2009

Mengajar + Penerima, Mengajarkan + Perkara

Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) memberikan empat makna perkataan mengajar. Makna yang pertama, menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sebagainya kepada orang lain. Perkataan lain bagi maksud ini ialah mendidik, melatih atau memberikan petunjuk kepada seseorang. Frasa contohnya ialah mengajar orang menggunakan senjata.

Makna mengajar yang kedua ialah membaiki kelakuan orang dengan memberi nasihat dan sebagainya. Perkataan lain bagi maksud ini ialah mendidik. Ayat contohnya ialah Ia mengajar anaknya supaya jangan nakal.

Makna mengajar yang ketiga ialah membuat seseorang melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman dan sebagainya yang telah diperolehnya. Ayat contoh yang pertama ialah Musim kemarau ini akan mengajar kita supaya tidak menggunakan air dengan membazir. Ayat contoh yang kedua ialah Kesulitan hidup mengajar orang lebih berusaha.

Makna mengajar yang keempat ialah memarahi atau memukul seseorang supaya jera, iaitu tidak melakukan lagi sesuatu perbuatan. Frasa contohnya ialah peribahasa itik diajar berenang. Peribahasa ini sama maknanya dengan peribahasa tak usahlah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai. Bentuk aktif peribahasa ini ialah mengajar itik berenang dan tak usahlah mengajar anak buaya berenang.

Dalam frasa atau ayat contoh di atas, orang, anaknya dan kita ialah manusia. Itik dan anak buaya pula ialah haiwan. Manusia atau haiwan ini berfungsi sebagai objek bagi kata kerja transitif mengajar. Kesimpulannya objek atau penyambut kata kerja transitif mengajar ialah manusia atau haiwan.

Apabila kita teliti huraian yang di atas, kita mendapati manusia atau haiwan itu ialah penerima perbuatan mengajar. Oleh itu kita dapat membuat kesimpulan bahawa mengajar diikuti oleh penerima atau, ringkasnya, mengajar + penerima.

Perkataan mengajarkan pula bermakna memberi sesuatu pelajaran (ilmu, kemahiran) kepada seseorang. Perhatian ayat-ayat contoh yang di bawah.

1. Cikgu Latif mengajarkan Bahasa Melayu kepada kami.
2. Ustaz Muaz mengajarkan Bahasa Arab kepada mereka.
3. Cikgu Abdullah mengajarkan teknik bercerita kepada murid-muridnya.

Objek kata kerja transitif mengajarkan dalam ayat contoh ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan teknik bercerita. Objek ini bukan manusia atau haiwan. Sebaliknya, objek ini ialah perkara yang diajarkan. Oleh itu kita dapat membuat kesimpulan bahawa mengajarkan diikuti oleh perkara atau, ringkasnya, mengajarkan + perkara.

Berdasarkan penjelasan yang di atas, kini kita dapat membetulkan frasa yang di bawah.

1. *mengajar bahasa →
2. *mengajar mata pelajaran →
3. *mengajar ilmu →
4. *mengajar sains →
5. *mengajar agama →
6. *mengajarkan adik →
7. *mengajarkan murid →
8. *mengajarkan orang kampung →
9. *mengajarkan itik →
10. *mengajarkan orang tua →

Tiada ulasan: