Kita sudah sangat biasa dengan ungkapan “Satu Malaysia”. Kita sudah memahami bahawa gagasan “Satu Malaysia” berusaha mengentalkan perpaduan kebangsaan. Setiap hari kita mendengar, bahkan mengucapkan salam “Satu Malaysia”. Dalam pada itu, ada satu perkara kita terlepas pandang. Perkara itu ialah penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa perpaduan, dalam gagasan Satu Malaysia.
Kita mungkin tidak perasan bahawa frasa nama khas “1Malaysia” janggal dan menyalahi hukum tatabahasa. Pakar ejaan dan sebutan bahasa Melayu, Encik Ismail Dahaman menyedari perkara ini. Menurutnya, perkataan “satu” lebih sesuai digunakan daripada nombor “1”. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan, nombor “1” sesuai digunakan sebagai logo “Satu Malaysia”. Beliau menyatakan hal ini dalam makalahnya “Lakuan Bahasa dalam Satu Malaysia”. Makalah itu tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat keluaran September 2009.
Pihak Khidmat Nasihat Bahasa (KNB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai pendapat yang hampir sama. Pihak KNB menerima dua cara penulisan, iaitu "1 Malaysia" ataupun "Satu Malaysia".
Kebanyakan majalah terbitan DBP menerima pakai ejaan "Satu Malaysia", kecuali majalah Pelita Bahasa yang memilih untuk menggunakan ejaan "1 Malaysia". Pilihan majalah Pelita Bahasa selaras dengan penjelasan KNB tetapi bertentangan dengan pandangan Encik Ismail Dahaman dan amalan biasa penulisan frasa nama.
Sebagai contoh, bagi frasa nama am, kita menulis satu negara (bukannya *1 negara, apalagi *1negara), satu daerah (bukannya *1 daerah, apalagi *1daerah) dan satu kampung (bukannya *1 kampung, apalagi 1kampung). Demikian jugalah halnya apabila kita mencipta frasa nama khas. Kita wajar mematuhi amalan ini. Jadi, ungkapan yang persis ialah “Satu Malaysia”, bukannya “1 Malaysia”, apalagi “1Malaysia”.
Nampaknya pembudayaan bahasa kebangsaan masih belum merata. Perkara ini mendapat perhatian mantan Ketua Jabatan Bahasa, DBP, Puan Hajah Noresah Baharom. Beliau membutirkan perkara ini dalam makalahnya “Pembudayaan Bahasa Kebangsaan dalam Meningkatkan Patriotisme Rakyat Malaysia” yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa keluaran September 2009.
Menurut Puan Hajah Noresah, pembudayaan bahasa kebangsaan ialah penggunaan bahasa Melayu oleh seluruh rakyat Malaysia dalam ranah yang luas dengan penuh kebanggaan dan kecintaan terhadap bahasa itu. Hal yang mendasari pembudayaan itu ialah rasa cinta terhadap tanah air. Pembudayaan juga bermaksud, pengguna bahasa mengamalkan ciri-ciri bahasa itu, termasuk nilai, budi, kesantunan, dan sistem linguistiknya.
Kesilapan penggunaan frasa kata nama khas seperti “1Malaysia” nampaknya bukan perkara kecil. Kesilapan itu dapat menjadi petunjuk tahap kemegahan kita terhadap bahasa kebangsaan. Malah kesilapan itu dapat menjadi petunjuk tahap patriotisme kita, termasuk penghayatan kita terhadap prinsip keluhuran perlembagaan seperti yang tersurat dalam Rukun Negara.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Saya minta izin untuk siarkan rencana tuan ini di blog saya. Teruskan menulis perkara yang memandaikan bangsa.
Suka juga saya maklumkan, blog saya sudah berpindah ke domain baru iaitu http://yahamim.com
Wallahualam.
Salam.
1. Keizinan memang sudah/sentiasa diberikan. Sebar luaskanlah. Mudah-mudahan bermanfaat.
2. Alamat baharu blog tuan sudah saya kemas kini. Reka letak blog itu cukup kemas. Saya belum berkesempatan memanipulasi reka letak blog ini.
Wassalam.
Catat Ulasan