21 Oktober 2009

Dahulukan Program untuk Mengukuhkan Martabat Bahasa Kebangsaan

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu berlangsung di Johor Bahru pada 28 – 30 September 2009. Antara laporan tentang persidangan itu yang menarik perhatian saya ialah tulisan yang bertajuk “Menjadikan Bahasa Melayu Bahasa Dunia” oleh Encik Sahbulah Darwi. Utusan Online menyiarkan laporan itu pada 3 Oktober 2009.

Antara kandungan laporan itu ialah penegasan Datuk Dr. Hassan Ahmad bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa pada zaman kesultanan Melayu. Penegasan ini penting. Saya berkata demikian kerana saya pernah bertemu dengan rakyat Malaysia yang tidak menyedari perkara ini. Mereka ialah pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti program praijazah di sebuah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Pada suatu ketika, saya mengajarkan tajuk “Sejarah Ringkas Bahasa Melayu” kepada pelajar pelbagai kaum itu. Dalam sesi perbincangan, mereka menyatakan rasa terkejut apabila mengetahui bahawa bahasa Melayu sudah melalui sejarah yang begitu panjang. Kata mereka, melalui tajuk yang saya dedahkan, mereka memperoleh banyak maklumat baharu.

Seorang pelajar berkata, “Baru saya tahu bahawa bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa pemerintahan, bahasa ilmu dan lingua franca. Selama ini saya menganggap bahasa Melayu hanya bermartabat apabila kita merdeka. Rupa-rupa anggapan saya itu meleset.”

Selepas mempelajari tajuk itu, mereka semakin ghairah untuk mendalami selok-belok bahasa Melayu. Keghairahan mereka itu termasuk untuk mempelajari tulisan Jawi. Tegasnya, semangat dan kebanggaan mereka untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu yang mempunyai sejarah yang panjang itu semakin menyerlah. Pengalaman ini meningkatkan keyakinan saya akan kebenaran ungkapan “tak kenal, maka tak cinta”.

Seorang rakan pernah mengutarakan hal yang seakan-akan sama. Menurutnya, ada apek, nyonya, amoi, aya, aci, dan tambi tidak fasih berbahasa Melayu baku. Katanya, mereka itu mungkin tidak berapa kenal dengan bahasa Melayu. Sebab itulah mereka kurang berusaha untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu baku. Sekali lagi, ungkapan “tak kenal, maka tak cinta” menyerlahkan kebenarannya.

Selain itu, saya pernah membaca beberapa banyak pandangan tentang sikap endah tak endah rakyat Malaysia terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baku dan sopan. Ada rakan menganggap sikap endah tak endah itu sudah berstatus penyakit. Penyakit itu menular dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira golongan tua, separuh umur atau muda, terutamanya dalam era pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Perkara ini ada kaitan dengan makalah “Transformasi Gerakan Bahasa” tulisan Encik Ismail Dahaman. Makalah itu tersiar dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Oktober 2009.

Antara lain, dalam makalah itu Encik Ismail menyatakan, dalam tempoh 52 tahun merdeka, kita sudah mengadakan berbagai-bagai gerakan untuk memperkukuh martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Namun, matlamat gerakan itu belum tercapai sepenuhnya, baik dari segi penggunaan mahupun kualitinya. Bahasa kebangsaan kita masih mengalami kepincangan fungsi.

Pandangan Encik Ismail Dahaman itu tepat. Jikalau tidak, masakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan gerakan untuk memperkukuh martabat bahasa kebangsaan dengan nama lama, iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). BBK mengobarkan semangat lama agar rakyat berasa megah mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai “bahasa jiwa bangsa”.

Sehubungan dengan hal ini dan sesuai dengan gagasan Satu Malaysia, saya berkeyakinan bahawa pemahaman tentang sejarah bahasa Melayu dapat memperkukuh kecintaan rakyat terhadap bahasa kebangsaan kita. Saya percaya, DBP, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan pihak yang berkaitan ada cara untuk merakyatkan perkara ini.

Sehubungan dengan hal ini juga, di sini saya ulangi pandangan yang saya utarakan dalam beberapa kesempatan yang terbatas ketika saya masih menjadi warga KPM dahulu. Pada saya, KPM perlu memasukkan tajuk “Sejarah Ringkas Bahasa Melayu” dalam kurikulum Bahasa Melayu Dinamika (Komunikasi, Kontekstual) (BMK) atau nama lain bagi BMK di IPGM. Dengan cara ini semua pelajar IPGM berpeluang mengenali sejarah bahasa kebangsaan kita. Kita berharap, sesudah kenal, maka cinta.

Kita memang suka bahasa Melayu kembali menjadi bahasa antarabangsa. Namun, kita jangan lupa mendahulukan program yang membolehkan rakyat berasa megah mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan. Ya, rakyat kita dahulukan dan peningkatan prestasi rakyat kita utamakan!

Lampiran
Menjadikan Bahasa Melayu Bahasa Dunia
Oleh Sahbulah Darwi, pengarang@utusan.com.my, 3 Oktober 2009

PERSIDANGAN Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru selama tiga hari dan berakhir Rabu lalu, menyemarakkan lagi keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti.

Pada masa ini terdapat lebih kurang 6,000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang. Dan bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu.

Jika dicampur pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura serta di negara lain maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (1 bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur) dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur).

Namun begitu, bukanlah bilangan jumlah penutur semata-mata yang sepatutnya dijadikan ukuran sebaliknya terdapat ciri-ciri lain yang perlu dipenuhi untuk melayakkannya dipanggil bahasa dunia.

Apatah lagi, bahasa Melayu tidak terlepas daripada melalui pelbagai cabaran, hambatan dan krisis keyakinan hingga pada satu tahap *ia cuba diperkecil dan dipinggirkan akibat putaran ganas politik, sosial dan ekonomi.

Tokoh bahasa dan budaya, Datuk Dr. Hassan Ahmad memberi pandangan cukup menarik terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa dunia kerana jumlah penutur bahasa tidak begitu penting tetapi *apa yang penting ialah pengaruh bahasa itu untuk memajukan sesuatu bangsa.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa apabila pemerintah zaman dahulu terutama raja dan sultan tetap tegas menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan. *Ia termasuk dalam soal diplomatik antara pedagang atau kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis.

Melalui bukti-bukti kukuh antaranya dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang dan Hikayat Raja Pasai antara abad ke-14 hingga ke-17 jelas menunjukkan pemerintah tidak berkompromi dalam soal bahasa.

Mengambil iktibar dalam aspek ini, kerajaan yang menjadi pemerintah kini perlu memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong usaha pengembangan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk muncul sebagai bahasa utama dunia dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi jika semua pihak bersungguh-sungguh memastikan impian itu menjadi kenyataan.

Persidangan yang dihadiri 410 peserta membabitkan pembentangan 16 kertas kerja itu menunjukkan suara optimistik untuk menggerakkan usaha ke arah itu.

Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya terhenti sekadar dalam persidangan sahaja sebaliknya resolusi yang mengandungi tiga perkara yang dikemukakan perlu diusahakan dengan berkesan.

Tidak keterlaluan jika dicadangkan agar persidangan berkenaan perlu diadakan lagi pada masa depan dengan penyertaannya turut membabitkan orang politik dan pemimpin kerajaan berkaitan.

Ia bagi memastikan golongan yang terlibat dengan penggubalan dasar kerajaan memahami hasrat dan pandangan ahli akademik dan tokoh bahasa dalam persidangan berkenaan.

Lebih-lebih lagi, jika dilihat tiga perkara dalam resolusi itu separuh daripadanya adalah mendesak kerajaan melakukan sesuatu untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Tiada ulasan: