27 Oktober 2009

Ejaan Al-Quran Baku


Paparan ini memperlihatkan lima cara pengejaan “al-Quran” dan jumlah perkataan yang berkenaan di Internet berdasarkan carian dengan Google pada 27 Oktober 2009. Keputusan carian ini berdasarkan frasa “kitab suci + VE”. VE ialah lima perkataan dalam paparan ini.

Ejaan yang pertama ialah “al-Quran”. Ini ialah ejaan baku, iaitu ejaan yang diterima pakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penyebarannya di Internet yang menjangkau dua juta, sesuai dengan tarafnya sebagai ejaan baku.

Ejaan ini terdapat dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua dan Kamus Dewan Edisi Keempat. Antara buku yang menggunakan ejaan ini termasuklah Tafsir Al-Quran di Radio oleh Ahmad Sonhadji Mohamad terbitan Pustaka Al-Mizan (1991), Epistemologi Islam: Teori Ilmu dalam Al-Quran oleh Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus terbitan DBP (1999), dan Apakah Itu Al-Quran? oleh Muzayyanah Abdullah terbitan PTS Islamika (2008).

Ejaan kedua, “al-Qur’an”, ialah ejaan lama. Penyebaran ejaan ini di Internet lebih kurang separuh daripada ejaan baku. Namun, berdasarkan tinjauan rawak, penyebaran ejaan ini di media cetak masih luas. Beberapa pihak masih menggunakan ejaan ini. Tindakan pihak yang berkenaan ada wajarnya kerana ejaan lama ini lebih tepat berbanding dengan ejaan baharu/baku.

Kebanyakan buku agama, termasuk buku terjemahan atau tafsir al-Quran, menggunakan ejaan ini. Antara buku yang menggunakan ejaan ini termasuklah Tafsir Fi Zilalil Qur’an terbitan Dian Darulnaim (1991) dan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Qur’an terbitan Darulfikir (1999). Malah, DBP masih menggunakan ejaan lama ini seperti yang terdapat pada tajuk buku Al-Qur'an dan Orientalisme (1993), Siri Pendidikan Al-Qur'an untuk Kanak-kanak Buku 41: Orang yang Sabar (2007) dan dan Al-Fatihah Ibu Al-Qur'an (2007).

Ejaan yang ketiga dan keempat mengandung dua vokal a yang menunjukkan vokal panjang [a:]. Kedua-dua ejaan ini ialah ejaan lama pada zaman mesin taip, iaitu sebelum kemunculan komputer. Penulis menggunakan dua huruf a kerana titik bertindih yang ada pada mesin taip dan dapat berfungsi mora, hanya difahami oleh mereka yang sudah mempelajari fonetik. Mata mesin taip pula tidak mempunyai huruf a yang bergaris di atas bagi menunjukkan vokal panjang. Pada masa ini juga ada kekangan untuk memaparkan huruf a yang bergaris di atas dalam blog, Facebook dan sebagainya.

Ejaan ketiga seakan-akan transliterasi seperti variasi kelima. Ejaan ketiga ini ialah transliterasi lama yang silap, iaitu tidak ada “koma di atas” selepas huruf r. Ejaan keempat ialah transliterasi lama yang betul. Ejaan kelima pula ialah transliterasi yang baku berdasarkan Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Rumi. Ejaan ini adalah untuk kegunaan khusus penerbitan ilmiah.

Dari segi penggunaan huruf, hanya huruf Q ditulis dengan huruf besar. Huruf a pada “al-” hendaklah ditulis dengan huruf kecil kecuali pada awal ayat, tajuk atau apa-apa situasi khusus yang mewajarkan a pada “al-” itu ditulis dengan huruf besar. Sebagai contoh, huruf a pada “al-” pada tajuk masukan ini dan tajuk buku dalam masukan ini ditulis dengan huruf besar. Sebagai penegasan, apabila kita menulis ayat “Dia membaca al-Quran”, huruf a pada “al-” dalam ayat ini kita tulis dengan menggunakan huruf kecil.

Nota pada 7 Disember 2009
"Namun begitu, bagi perkataan yang tergolong sebagai istilah keagamaan yang berkait dengan akidah dan al-Qur'an, bunyi-bunyi asal dikekalkan ejaannya. Contohnya:
Qur'an
qari
thani
fasakh" - Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 303.

Tiada ulasan: