09 Oktober 2009

Pandangan tentang Pendekatan Modular Bahasa Melayu

Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu memang wajar bermula di bangku sekolah rendah. Antara usaha itu ialah meningkatkan kadar celik huruf. Jadi, kita menyambut baik rancangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk meningkatkan kadar celik huruf melalui pelbagai program.

Program terkini KPM yang bertujuan untuk meningkatkan kadar celik huruf ialah pendekatan modular. KPM akan menggunakan pendekatan itu mulai tahun 2012. Kumpulan sasar utama pendekatan itu ialah murid prasekolah. Mereka akan menggunakan modul penguasaan asas berbahasa yang bermula dengan aktiviti kesediaan dan diikuti dengan aktiviti bacaan asas.

Dalam berita tentang perkara ini pada 25 September 2009, Berita Harian Online menggunakan ungkapan “Kurikulum Standard Bahasa Malaysia” dan “Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia”. Dalam ungkapan itu terdapat penggunaan istilah “bahasa Malaysia”. Kita berharap penggunaan istilah “bahasa Malaysia” ini bukan bersumber daripada KPM.

Pada hemat saya, nama program ini mestilah menggunakan istilah “bahasa Melayu”. Penggunaan istilah “bahasa Melayu” menunjukkan kita menghayati Rukun Negara, bukan sekadar menghafal prinsipnya.

Apabila kita menggunakan istilah “bahasa Melayu”, hal itu menunjukkan bahawa kita menghayati prinsip “Keluhuran Perlembagaan” dalam Rukun Negara. Kita tahu, Perkara 152 wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita mengetahui dan memahami kandungan Perkara 152 itu. Kita akur dengan peruntukan dalam Perkara 152 itu yang menyatakan bahawa “bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”.

Apabila kita menggunakan istilah “bahasa Melayu”, hal itu juga menunjukkan bahawa kita menghayati prinsip “Kedaulatan Undang-undang” dalam Rukun Negara. Antara undang-undang yang kita hayati termasuklah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Kemas Kini 2006). Akta ini menggunakan istilah “bahasa kebangsaan” dan penjelasannya terdapat dalam Perkara 152.

Satu lagi akta yang kita hayati ialah Akta Pendidikan 1996. Akta ini menyatakan, “bahasa kebangsaan ertinya bahasa Melayu sebagaimana yang ditentukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan”.

Jelaslah bahawa penggunaan istilah “bahasa Melayu” menyerlahkan semangat patriotik, sekali gus menunjukkan penghayatan kita terhadap satu daripada empat kontrak sosial. Penggunaan istilah “bahasa Melayu” juga menunjukkan kita menjadi pendukung pembudayaan bahasa kebangsaan, iaitu kita menggunakan bahasa Melayu (termasuk istilah “bahasa Melayu”) dengan penuh kebanggaan dan kecintaan yang disebabkan oleh kedalaman patriotisme.

Kita berharap pendekatan modular dapat menangani kemelut tidak celik huruf. Pada 12 September 2009, Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M).

Kita berharap, pada bulan September 2012 akhbar yang sama melaporkan “hampir semua” pelajar tahun satu sudah menguasai 2M. Kita berharap pada masa itu murid tahun satu yang belum menguasai 2M berjumlah kurang daripada 1,000 orang. Murid ini pula mungkin menguasai 2M setelah mengikuti program pemulihan khas atau pendidikan khas.

Kita yakin KPM mengambil kira fakta bahawa 35 peratus kanak-kanak di negara kita tidak berpeluang untuk mengikuti kelas prasekolah. Perkara ini tersirat dalam laporan Berita Harian Online pada 12 September itu.

Dalam laporan itu juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, kerajaan mensasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012. Hal ini bermakna, apabila KPM memulakan pendekatan modular, 15 peratus kanak-kanak di negara kita belum menguasai 2M.

Rumusannya, pendekatan modular itu hendaklah mengambil kira faktor-faktor ini. Guru Bahasa Melayu memerlukan modul yang sesuai dengan situasi setempat dan semasa. Jadi, kandungan modul itu perlu pelbagai dan luwes. Hal ini membolehkan guru untuk memilih modul yang sesuai dengan keperluan murid.

LampiranPendekatan Modular Dilaksana Tingkatkan Pembelajaran BM
Oleh Khairina Yasin, Berita Harian Online: 25 September 2009

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan pendekatan modular dalam Kurikulum Standard Bahasa Malaysia sebagai satu daripada strategi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermula 2012.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Dr Haili Dolhan, berkata pendekatan itu satu daripada usaha penambahbaikan kurikulum sedia ada yang lebih menekankan konsep huraian sukatan pelajaran.

Menerusi pendekatan modular, katanya, kurikulum digubal dan disampaikan mengikut bahagian dan unit lengkap dengan gabungan pengetahuan, kemahiran dan nilai bersepadu yang seimbang serta holistik.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan kurikulum BM di semua peringkat sekolah sentiasa relevan dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang.

“Ia juga satu mekanisme mantap, bestari dan berkesan bagi memastikan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah terus kukuh,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada murid prasekolah menerusi modul penguasaan asas berbahasa dimulai dengan pradengar, prabaca dan pratulis, selain mengenal abjad serta perkataan.

Katanya, modul itu bertujuan memastikan murid mendapat asas dan landasan kukuh untuk menguasai kemahiran berbahasa merangkumi kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur dalam BM dengan baik.

“Pelaksanaan secara berstruktur dan sistematik menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara berkesan diyakini dapat membantu murid memantapkan kefahaman dan penggunaan BM yang tepat.

“Setiap kemahiran akan didedahkan menerusi modul masing-masing yang dibangunkan menepati keperluan penguasaan BM murid,” katanya.

Selain itu, Haili berkata, elemen seni bahasa juga akan diketengahkan menerusi aplikasi kemahiran bahasa dan pendekatan didik hibur yang menyeronokkan.

Pendekatan didik hibur, katanya, akan dijelmakan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi mewujudkan proses P&P interaktif dan menyeronokkan.

“Malah elemen sastera BM kontemporari kepada murid tahap dua sekolah rendah juga akan diperkenalkan sejajar dengan pelaksanaan komponen sastera BM atau KOMSAS di sekolah menengah sejak tahun 2000,” katanya.

4 ulasan:

Pendidikmy berkata...

Assalamualaikum Tuan.

Sekadar makluman: Laman Pendidik sudah berpindah tapak ke http://www.pendidikmy.net

Terima kasih.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih atas makluman tuan. Saya membaca masukan di laman tuan, dari semasa ke semasa.

Wassalam.

CikGu onie@kakLoNG berkata...

terima kasih..isu yang dipaparkan banyak membantu saya..

CikGu onie@kakLoNG berkata...

thanks...isu yang dipaparkan banyak membantu saya.