Pada tahun 2009, sebanyak 67 peratus kanak-kanak di negara kita berpeluang mengikuti kelas prasekolah. Pada tahun 2012, kerajaan menyasarkan 87 peratus kanak-kanak mendapat peluang untuk mengikuti kelas prasekolah. Sasaran ini berupa peningkatan sebanyak 20 peratus.
Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan perkara ini dalam sesi soal jawab di Parlimen. Berita Harian Online (BHO) melaporkan perkara ini pada 3 September 2009.
Menurut satu sumber, pada tahun 2009 murid prasekolah berjumlah 342,706 orang. Peningkatan sebanyak 20 peratus pada tahun 2012 menjadikan pelajar prasekolah di negara kita berjumlah 447,556 orang.
Pada 12 September 2009, BHO menyiarkan berita “35,000 Murid Tak Tahu Baca, Menulis”. Angka dalam tajuk berita itu silap. Dalam intro berita itu dinyatakan bahawa sebanyak 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis.
Dalam berita 12 September 2009 itu juga BHO melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Fuad Zarkashi. Beliau berkata, kerajaan menyasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus pada tahun 2009.
Ada perbezaan dua peratus antara berita yang bersumber daripada Menteri Pelajaran dengan timbalannya. Mungkin ini hanya kesilapan laporan atau akibat sikap kurang serius mana-mana pihak. Namun, yang pasti, pada tahun 2009 antara 33 hingga 35 peratus kanak-kanak di negara kita tidak berpeluang untuk menjadi murid prasekolah. Berdasarkan angka tadi, pada tahun 2012 antara 13 hingga 15 peratus kanak-kanak di negara kita dijangka tidak berpeluang menjadi murid prasekolah.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPM), Datin Asariah binti Mior Shaharuddin berkata, KPM menetapkan agar semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) ketika melangkah ke tahun empat sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Zon Sabah di Kota Kinabalu pada awal Oktober 2009.
Sukatan pelajaran prasekolah, antara lain, bertujuan untuk mencelikhurufkan murid. Ada guru Bahasa Melayu beranggapan bahawa semua murid yang diterima masuk ke kelas tahun satu sudah celik huruf. Apabila anggapannya itu meleset, mereka mengeluh. Mereka berasa berat untuk mengajarkan a-b-c kepada beberapa orang murid yang tidak berpeluang mengikuti kelas prasekolah.
Ada juga murid yang sudah mengikuti prasekolah tetapi masih belum celik huruf. Murid-murid ini menokok jumlah murid yang perlu dicelikhurufkan oleh guru Bahasa Melayu tahun satu.
Dahulu, pada semester pertama, memang ada program khas. Mulai tahun 2006 KPM memperkenalkan pula program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 menyatakan, KIA2M bertujuan untuk memastikan murid-murid tahun satu menguasai kemahiran 2M selepas enam bulan belajar di sekolah. Tujuan ini tidak tercapai apabila pada akhir Ogos 2006 hampir 100 ribu murid tahun satu belum celik huruf. Pada akhir September 2009 pula sebanyak 85,000 murid tahun satu belum menguasai 2M.
Berdasarkan sasaran yang diuar-uarkan oleh Menteri Pelajaran dan timbalannya dalam BHO, pada tahun hadapan dan tahun 2011 jumlah murid tahun satu yang belum celik huruf pada akhir tahun dijangka masih dalam lingkungan 50,000 orang. Malah, apabila kita mengambil kira jumlah kelahiran yang semakin meningkat, jumlah ini tidak banyak berubah pada akhir tahun 2012. Jadi, penetapan sasaran 85 hingga 87 peratus kanak-kanak berpeluang mengikuti prasekolah pada tahun 2012 itu rendah.
Penetapan sasaran yang rendah ini pasti menghampakan pendukung PIPP yang ingin melihat murid-murid tahun satu menguasai kemahiran 2M selepas enam bulan belajar di sekolah. Kenyataan bahawa semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran 3M selepas melangkah ke tahun empat pula bagaikan mengesahkan kehampaan pendukung PIPP.
Apa-apa pun, pihak yang menggubal dan melaksanakan kurikulum mesti mengambil berat perkara ini. Hal yang terpenting ialah mengubah suai Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun Satu. Semua pihak perlu mengambil kira situasi yang dinyatakan ini ketika merancang pendekatan modular. Guru Bahasa Melayu tahun satu memerlukan modul yang pelbagai dan luwes agar mereka dapat mencelikhurufkan murid tahun satu dengan lebih berkesan.
Baik juga jikalau pihak IPGM meninjau dan menyemak kurikulum pengkhususan Pengajian/Bahasa Melayu, Prasekolah, dan Pemulihan Khas. IPGM wajar mengetengahkan kandungan kursus dan strategi pelaksanaan yang lebih bersepadu.
Antara maksud bersepadu di sini ialah memungkinkan ketiga-tiga program itu menghasilkan guru yang berkemahiran untuk melaksanakan program celik huruf sama ada kepada murid prasekolah, tahun satu atau pemulihan. Tembok pemisah pengkhususan, sekiranya ada, mesti dipecahkan. Selain itu, aspek perkaedahan bacaan asas juga dimantapkan.
Masukan yang berkaitan: (1) Kemahiran 2M: Kita Memerlukan Gambaran yang Lebih Jelas (2) Pandangan tentang Pendekatan Modular Bahasa Melayu (3) Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Contoh KIA2M
Lampiran
Selasa, 2009 November 03
Guru Berkelulusan Ijazah Diambil Ajar Prasekolah
Oleh Sariha Mohd Ali, Syuhada Choo Abdullah dan Khairul Azran Hussin bhnews@bharian.com.my, Berita Harian Online, 3 September 2003
KERAJAAN akan mengambil guru berkelulusan ijazah untuk mengajar prasekolah pada masa depan dalam usaha menyediakan guru terlatih bagi pendidikan awal kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kementerian Pelajaran turut mengambil langkah menyediakan guru berijazah untuk semua sekolah rendah bagi mendidik murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.
Muhyiddin berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di kalangan pelajar.
"Ini satu pendekatan yang kita percaya boleh mengubah situasi pendidikan dalam negara untuk meningkatkan kualiti pembelajaran prasekolah dan sekolah rendah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).
Berikutan itu, Muhyiddin berkata, pengusaha prasekolah swasta juga perlu mematuhi kualiti guru yang disediakan di institusi masing-masing.
Katanya, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa, termasuk mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap prasekolah sektor swasta bagi memastikan ia mematuhi dasar serta menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang dikuatkuasakan sejak 2003.
"Bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat menyekat sebarang usaha penambahbaikan dilakukan pengusaha prasekolah swasta selagi ia tidak bercanggah dengan dasar," katanya.
Menjawab kekeliruan Dr Tan mengenai perbezaan antara pendidikan prasekolah dan Permata Negara, Muhyiddin berkata, Permata Negara adalah program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mereka memasuki prasekolah.
"Projek contoh sudah dijalankan di beberapa tempat di seluruh negara dan hasilnya memang baik, malah kementerian akan mengembangkannya secara berperingkat.
"Ini satu lagi cabaran besar kepada kementerian menyediakan tenaga pengajar terlatih bagi membimbing anak yang masih kecil, bukan saja untuk prasekolah tetapi juga pendidikan awal kerana mereka memerlukan bimbingan khusus," katanya.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah menjadikan pendidikan prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah menetapkan prasekolah antara bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran.
Bagi mencapai sasaran itu, katanya, strategi komprehensif dirancang, termasuk menambah baik kurikulum prasekolah dan cadangan 50 peratus waktu interaksi dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata, sebanyak 4,194 kelas prasekolah baru akan dibina menjelang 2012.
Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan meningkatkan 67 peratus penyertaan kanak-kanak berumur lima tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta tahun ini kepada 87 peratus menjelang 2012.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Assalamualaikum,
Secara peribadi saya berasa amat kesal dengan bilangan murid yang tidak tahu membaca.Itu masa tahun 1 belum lagi yang di tahun 2, Th 3 , sehingga ke tahun 6.
Mungkin agak keterlaluan kalau saya mengatakan punca keciciran murid ini adalah disebabkan guru yang kurang komitmen,banyak alasan dan manja. Bukan semua tetapi siapa yang makan lada dialah terasa pedas.
Antara alasan yang diberikan saya baru tiada pengalaman, Saya tidak pandai mengajar murid tahun 1, Saya tidak mengikuti krusus ini, saya buka guru pemulihan.......yang paling parah lagi masa di IPG dulu saya tidak pernah belajar bab ini. WAJARKAH?
Kealpaan pihak pengurusan kurikulum sekolah juga adalah salah satu punca penyebab keciciran murid di tahun 1 kemudianya dibawa ke tahun 2 seterusnya ke tahun 6.
Maksud saya kealpaan pengurusan kurikulum itu adalah ketidak pekaan pentadbir terhadap perkembangan pendidikan masa kini. Contoh yang jelas di sekolah saya murid pemulihan terdiri daripada murid tahun 1 hingga tahun 6. Kelas pemulihan hanya ada sebuah , jadinya kepadatan berlaku. Bagaimana P&P yang berkesan dapat dijalankan?
Sedangkan program celik baca & menulis oleh KPM ada kategorinya ialtu:
KIA2M untuk murid tahun 1 , Pemulihan untuk murid Th 2 &Th 3, PROTIM untuk th 4 hingga 6
satu hal lagi bagi pendapat saya murid tahun 1 sepatutnya kena akrab dengan guru kelas. Tetapi pada masa kini kebanyakan guru kelas hanya mengajar 1 subjek sahaja dalam kelasnya dan beredar ke kelas lain. masa bersama muridnya kurang. Jadi bagaimana nak kenal rapat dengan murid? Bagaimana hendak menangani masalah murid?
saya berpeluang mengajar tahun 1 selama 2 tahun (1999 & 2000) ketika itu saya mengajar kebanyakan mata pelajaran di dalam kelas tersebut. Saya mengajar BM, Matematik, PSV, muzik dan PJK. Hasilnya agak lumayan 45 orang murid pada akhir tahun 1, 40 orang lancar membaca dan menulis dan 5 orang sekadar mampu mengeja dahulu kemudian menyebut perkataan. Bukan kah itu satu bukti keperihatinan guru boleh mencelikkan muridnya?
Kalau pentadbir yang mengalami kecelaruan bagaimana kakitangan yang lain?
Pucuk atau pangkal semuanya terletak pada pentadbir dan jati diri dalam individu guru itu .... saya bukalah guru yang terbaik tetapi saya sentiasa berusaha untuk membaiki keadaan teutamanya dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Mungkin di negeri ini kita terlepas kerana menzalimi kanak-kanak dan menidakkan hak mereka tetapi ingatlah di negeri yang satu lagi kita bakal berdepan dengan semuanya...
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, Cikgu Siu Eng @Amoi.
Terima kasih saya ucapkan kepada cikgu kerana cikgu sudi memberikan respons terhadap catatan saya. Setakat ini, ulasan cikgu ini merupakan ulasan terpanjang dan terbaik.
Dalam catatan ini, antara lain, cikgu mengemukakan tiga faktor yang mengekang program celik huruf. Faktor pertama ialah kurangnya komitmen guru, faktor kedua ialah kealpaan pihak pengurusan, dan faktor ketiga ialah latihan di institut pendidikan guru Malaysia (IPGM).
Pada tahun 1999 dan 2000, cikgu memperlihatkan usaha yang cemerlang apabila cikgu berjaya mencelikhurufkan 40 orang (88 peratus) murid cikgu. Walaupun lima orang murid “sekadar mampu mengeja dahulu kemudian menyebut perkataan”, hal ini tetap merupakan satu kejayaan.
Pada tahun 1997, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) (kini Bahagian Perkembangan Kurikulum, BPK) menyatakan, murid yang celik huruf ialah murid yang boleh membaca, menulis dan memahami satu ayat mudah selepas tiga bulan berada dalam tahun satu. Ada kemungkinan murid cikgu yang lima orang itu juga celik huruf.
Seperkara lagi, kejayaan cikgu itu sangat bermakna jikalau sekolah itu terletak di pedalaman seperti SK Pantai Boring, SK Sililiran dan SK Terian di Sabah.
Saya mohon agar cikgu membenarkan saya menyunting ulasan cikgu ini dan menjadikannya masukan blog saya. Apabila ulasan cikgu ini sudah menjadi masukan blog, insya-Allah, saya akan cuba merinci ulasan saya ini sebagai satu masukan juga.
Sekadar makluman, atau ulangan sekiranya cikgu sudah maklum, masukan blog mudah diakses oleh “pengikut” dan rakan yang mempunyai pautan yang berkenaan di blog masing-masing. Masukan blog juga dapat menjadi pautan yang berkesan sebagai sumber rujukan berbanding dengan catatan dalam ruangan ulasan.
Jikalau cikgu segan untuk memberikan respons di sini, gunakan e-mel saya mohdisa_abdrazak@yahoo.com. Melalui e-mel, cikgu mungkin berasa selesa untuk menyatakan nama sekolah dan beberapa butiran lain kepada saya.
Wassalam.
Catat Ulasan