04 November 2009

Satu Jenis Sekolah, Satu Bahasa Pengantar

Pandangan Profesor Dr. Teo Kok Seong tentang bahasa kebangsaan dalam majalah Pelita Bahasa keluaran Oktober 2009 wajar menjadi renungan kita. Dalam makalah yang bertajuk “Kepentingan Satu Bahasa Kebangsaan” itu, beliau mengemukakan pemikiran yang cukup menarik.

Fokus pemikiran beliau ialah fungsi bahasa kebangsaan untuk menyatupadukan rakyat. Beliau menyatakan, “Fungsi tersebut selalunya direalisasikan dalam sistem pendidikan nasional, melalui sistem satu jenis sekolah sahaja, yang hanya menggunakan bahasa kebangsaan sebagai satu-satunya bahasa pengantar dan/atau bahasa ilmu.”

Menurutnya, Amerika Syarikat memperoleh kesan positif dengan sistem satu jenis sekolah dan hanya satu bahasa pengantar. Amerika Syarikat berjaya membentuk satu identiti nasional dalam kalangan semua rakyatnya, termasuklah kaum imigran.

Sehubungan dengan hal itu, beliau meminta rakyat Malaysia agar menggunakan bahasa kebangsaan, yakni bahasa Melayu, sebagai bahasa utama pada setiap masa. Penggunaan itu hendaklah meliputi komunikasi rasmi dan tidak rasmi.

Beliau menyatakan, “Bagi golongan bukan Melayu, identiti nasional yang sama, melalui bahasa kebangsaan, boleh bermula dengan penyebutan dan intonasi yang terlepas daripada pengaruh dan gangguan bahasa ibunda masing-masing, semasa bertutur dalam bahasa Melayu setiap masa.”

Pada Dr. Teo, bahasa kebangsaan Malaysia ialah maruah negara dan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu beliau menegaskan, perbuatan meletakkan bahasa Melayu di bawah bahasa Inggeris dapat ditafsir sebagai menghina bahasa Melayu serta mengeji negara dan rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: