Ada dua makna “berbahasa”. Maknanya yang pertama ialah “menggunakan bahasa”. Ungkapan “menggunakan bahasa” pula dapat bermakna bertutur atau menulis yang “biasa-biasa sahaja” dan dapat juga bermakna menggunakan bahasa baku dengan sopan dan bergaya. Malah, “menggunakan bahasa” juga dapat bererti menggunakan bahasa asal ada seperti menggunakan bahasa rojak dalam sembang di Facebook.
Makna “berbahasa” yang kedua ialah bersopan santun. Sopan santun terjelma semasa kita menggunakan bahasa dan terjelma juga melalui perlakuan atau unsur tanpa bahasa. Contohnya, kita mendengar pertuturan orang yang dilawan bercakap dengan penuh perhatian, memberikan respons yang kena pada tempatnya, bermuka manis dan mengangguk apabila perlu.
Dari segi kesantunan, pengguna boleh menggunakan bahasa baku, dialek atau bahasa bahasan. Yang penting, ciri kesantunan menyerlah sama ada dari segi pemilihan perkataan, penggunaan ungkapan, intonasi, mahupun perlakuan atau unsur tanpa bahasa. Misalnya, dalam majlis peminangan di Negeri Sembilan, dialek dan bahasa bahasan mungkin digunakan tetapi penglahirannya dilakukan secara santun dan indah.
Padi perak berdaun suasa,
Buahnya mengurai emas merah;
Sudah berbudi lagi berbahasa,
Itulah tanda bestari bertuah.
Sumber: Kurik Kundi Merah Saga
“Berbahasa” dalam pantun ini dapat bermakna menggunakan bahasa baku, sopan dan indah, iaitu bahasa orang bestari. “Bestari” dapat menjadi milik sesiapa sahaja yang pandai berbahasa. Kebestarian itu menyerlah dalam kalangan guru Bahasa Melayu, sasterawan dan pencinta bahasa.
Masyarakat kita mengharapkan agar guru Bahasa Melayu berperanan sebagai kumpulan contoh. Memang banyak guru Bahasa Melayu mampu memainkan peranan ini. Contohnya, kebanyakan pengacara yang dapat menggunakan bahasa baku, sopan dan indah dalam berbagai-bagai majlis rasmi ialah guru Bahasa Melayu.
Sayangnya, ada juga guru Bahasa Melayu yang kurang ambil endah tentang perkara ini. Seorang pencinta bahasa berkata, ada guru Bahasa Melayu kurang menjaga bahasa mereka. “Mereka menggunakan bahasa baku, bahasa percakapan, dialek dan bahasa asing secara bercampur aduk dalam majlis rasmi seperti bengkel, kursus dan seminar. Malah ada antara mereka kurang menghiraukan aspek kesantunan ketika berbahasa.”
Seorang penulis blog menyatakan, ada guru Bahasa Melayu atau guru Kesusasteraan Melayu lebih kerap menggunakan dialek atau bahasa rojak dalam situasi rasmi. Dalam satu bengkel pengajaran kesusasteraan yang beliau hadiri, beliau mendapati semua penceramah menggunakan bahasa baku, bahasa percakapan, dialek dan bahasa asing secara bercampur aduk. Ayat contoh yang beliau berikan adalah seperti yang berikut:
1. Dalam beg ni ada segala mak neka.
2. Tak dan nak make up.
3. Kita konar sikit no.
4. Dia bangkit, dia celapak pi.
5. Belum makan slow, lepas makan pun slow juga.
6. Semua dah warming up.
Seorang rakan yang aktif dalam perbincangan maya pula memberitahu, ada guru Bahasa Melayu menggunakan bahasa rojak dalam penulisan mereka di e-grup dan Facebook. Mereka membincangkan pelbagai isu, termasuk isu pendidikan dan isu bahasa Melayu, dengan menggunakan bahasa rojak. Antara mereka, ada juga yang menggunakan bahasa rojak versi sistem mesej singkat (SMS) yang tidak keruan. Segelintir daripada mereka pula menggunakan bahasa seolah-olah mereka ialah “cempedak di luar pagar”.
Seorang guru Bahasa Melayu sebuah sekolah menengah berkata, “Memang sukar untuk berbahasa dengan sebaik-baiknya. Namun, sebagai guru yang mengajarkan Bahasa Melayu, kita hendaklah sentiasa berusaha menggunakan bahasa yang baku, sopan dan indah. Guru Bahasa Melayu mesti menjadi kumpulan contoh. Kita perlu menjadi kumpulan contoh dalam pelbagai wahana komunikasi, termasuk melalui blog, e-grup dan Facebook.”
Harapan rakan kita ini wajar menjadi renungan semua guru Bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana guru Bahasa Melayu ibarat mata air yang menghasilkan air yang jernih untuk sungai bahasa kita. Harapan rakan kita ini juga wajar menjadi renungan semua guru dan semua pengguna bahasa kebangsaan.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan