Satu lagi aspek penggunaan bahasa dalam tajuk ialah penggunaan tanda baca. Senarai yang di bawah ini memperlihatkan kepelbagaian penggunaan tanda baca dalam tajuk. Semua tajuk ini pernah digunakan dalam media cetak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), terutamanya majalah Dewan Bahasa, Pelita Bahasa dan Dewan Siswa.
1. Terima Kasih, Cikgu
2. Guru Cemerlang, Pelajar Gemilang, Sekolah Terbilang
3. Runtuh, Roboh, Jatuh, dan Gugur
4. “Barang” yang Hilang
5. Anda “Gila” yang Mana Satu?
6. Kata Ganda dalam Cerpen “Menjelang Pemilihan”
7. “Kembalinya Seorang Pejuang”
8. “Wow!” untuk SK Cheras Indah
9. Analisis Bahasa Bukan Sehala!
10. Ibu, Ayah, Itu Syurga!
11. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
12. Oh, Bahasaku! Diluah Mati Ibu, Ditelan Mati Bapa
13. Mmm… Sedapnya Makanan Warisan!
14. Bukankah Kita Orang Melayu?
15. Goreng Pisang atau Pisang Goreng?
16. Yang Manakah Satu? Kerana Budaya, Terpaut Bahasa? Kerana Bahasa, Terpaut Budaya?
17. Kosa Kata: Bandusa dan Tirkah
18. Sebagai: Yang Nakal, Bahasa dan Politik
Kita tidak perlu membubuh noktah di hujung tajuk. Jadi, jikalau kita membubuh noktah di hujung apa-apa tajuk seperti tajuk karangan dan tajuk surat kiriman, perbuatan itu merupakan satu kesilapan. Pengguna bahasa Melayu, khususnya para pelajar, perlu mengambil berat perkara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana segelintir pengguna bahasa Melayu, khususnya pelajar, masih membubuh noktah di hujung tajuk karangan atau surat kiriman mereka.
Saya sudah meneliti lebih kurang seribu tajuk dalam media cetak terbitan DBP. Setakat ini, saya menemukan hanya satu tajuk yang terdapat noktah di hujungnya. Tajuk “Oh Ibu. Oh Guru.” mungkin berupa gaya sahaja. Tajuk ini dapat diubah menjadi “Oh Ibu, Oh Guru” atau “Oh Ibu, Oh Guru!” atau “Oh Ibu! Oh Guru!” Pada pandangan saya, pengguna bahasa Melayu, khususnya para pelajar, wajar menggunakan tajuk alternatif yang tidak menggunakan noktah di hujungnya.
Seperti yang diperlihatkan dalam tajuk contoh di atas, tanda tanya dan tanda seru boleh digunakan di tengah dan di hujung tajuk. Tajuk contoh di atas juga memperlihatkan bahawa tiada tanda baca lain selepas tanda tanya dan tanda seru. Namun dalam keadaan tertentu, penutup tanda petik mungkin juga berada selepas tanda tanya dan tanda seru. Tajuk contoh kelapan menunjukkan penutup tanda petik berada selepas tanda seru.
Tajuk contoh di atas juga memperlihatkan penggunaan koma, tanda petik, titik bertindih, dan elipsis. Tajuk contoh pertama, kedua, ketiga dan beberapa tajuk yang lain menunjukkan penggunaan tanda koma. Tajuk ketiga menunjukkan huruf pertama kata sendi dan tetap menggunakan huruf kecil. Perlu diingat, tanda koma tidak mungkin berada di hujung tajuk.
Tajuk contoh keempat hingga kelapan menunjukkan berbagai-bagai cara menggunakan tanda petik. Tajuk contoh kelapan istimewa. “Wow!” dianggap sebagai satu perkataan biasa, iaitu tanda seru dianggap satu unit dengan ‘Wow!” yang diapit oleh pengikat kata. Oleh itu, kata sendi untuk bermula dengan huruf kecil.
Beberapa tajuk contoh di atas menunjukkan bahawa tanda tanya dan tanda seru dapat berada di tengah atau di hujung tajuk. Semua perkataan selepas tanda tanya dan tanda seru bermula dengan huruf besar, kecuali perkataan yang tanda bacanya dianggap seunit dengan perkataan yang berkenaan seperti “Wow!” dalam tajuk contoh kelapan.
Akhirnya, tajuk contoh ketujuh belas dan kelapan belas menunjukkan penggunaan titik bertindih. Sila perhatikan bahawa huruf besar digunakan sebagai huruf pertama perkataan selepas titik bertindih, termasuk kata sendi seperti yang.
Sebagai pencinta bahasa kebangsaan atas dasar cinta akan negara, kita hendaklah menggunakan tanda baca yang betul dalam tajuk. Bagi tajuk latar pentas sesuatu majlis, sebarang kesilapan bahasa, termasuklah penggunaan kesilapan tanda baca mesti dielakkan. Hal ini dikatakan demikian kerana sebarang kesilapan kecil dapat menjadi bahan perbincangan apabila tajuk itu menjadi fokus lensa kamera pihak media.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan